Nuzul Al-Quran : Lailatul Qadar atau 17 Ramadhan ?
Nuzul al-Quran ataupun penurun Al-Quran telah dibincang secara begitu mendalam oleh para ulama’ terdahulu. Walaupun terdapat pelbagai pendapat tentang tarikh diturunkan Al-Quran, namun kesemua ulama bersepakat bahawa ianya diturunkan pada sebuah malam di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan iaitu lailatul qadar berdasarkan nas yang jelas daripada Al-Quran sendiri.
Di dalam surah Al-Baqarah ayat 185, Allah s.w.t berfirman :
﴿ شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ﴾
“ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah “
Didalam surah Al-Dukhan pula, ayat 1-3, Allah s.w.t memberikan petunjuk bahawa ianya telah diturunkan pada malam yang penuh keberkatan, firman-Nya :
﴿ حم * وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ * إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴾
[1]Haa, Miim. [2]Demi Al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. [3]Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab)
Akhir sekali didalam ayat 1 surah Al-Qadar pula, Allah s.w.t menyatakan secara jelas nama malam diturunkan Al-Quran :
﴿ إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴾
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar
Namun timbul sedikit khilaf (perselisihan) dan kekeliruan apabila wujud pendapat ulama’ yang mengatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada 17 Ramadhan. Tambahan pula, di Malaysia, tarikh 17 Ramadhan telah diisytiharkan sebagai hari Nuzul al- Quran dan diwartakan cuti umum kepada semua rakyat jelata.
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa lailatul qadar itu pada 10 malam yang terkahir didalam bulan Ramadhan berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
عن عائشة رضي الله عنها قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجاور في العشر الأواخر من رمضان ويقول : تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان
(رواه البخاري)
“ Daripada Aisyah r.a, katanya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadhan dan bersabda : “ carilah Lailatul Qadar di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan.”
(Hadith riwayat Bukhari)
Sekilas pandang, solah-olah pendapat ini ; (iaitu Al-Quran diturunkan pada tanggal 17 Ramadhan) jauh tersasar daripada nas Al-Quran dan Hadith yang jelas mengatakan ia turun pada malam lailatul-qadar. Bererti, Nuzul Al-Quran sepatutnya jatuh pada malam kedua puluh dan keatas, bukannya 17 Ramadhan.
Bagi menghilangkan kekeliruan ini, satu perkara penting perlu difahami bahawa disisi ulama’, terdapat tiga peringkat di dalam proses penurunan Al-Quran kepada Nabi s.a.w. Peringkat yang pertama adalah daripada Allah azza wa jalla ke Luh Mahfuz. Peringkat yang kedua pula adalah daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia). Manakala peringkat yang ketiga adalah daripada Baitul Izzah kepada Nabi s.a.w selama lebih kurang 23 tahun.
Memahami peringkat-peringkat ini memberikan kita jawapan kepada perselisihan yang timbul dalam penentuan tarikh penurunan Al-Quran. Menurut para ulama’, yang diturunkan pada lailatul qadar itu adalah Al-Quran secara keseluruhan daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia). Manakala pertama kali Al-Quran tersebut diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w daripada Baitul Izzah (langit dunia) adalah pada 17 Ramadhan dan berterusan selama lebih kurang 23 tahun sejak baginda s.a.w dilantik menjadi Rasul.
Walaupun terdapat riwayat lain tentang tarikh pertama kali Al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, namun riwayat daripada Ibnu Katheer (bahawa Al-Quran diwahyukan pada 17 Ramadhan) adalah diantara riwayat yang paling masyhur dalam penentuan tarikh tersebut.
قال ابن كثير في البداية والنهاية نقلاً عن الواقدي عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين لسبع عشرة خلت من رمضان وقيل من الرابع والعشرين. انتهى.
Berkata Ibnu Katheer didalam kitabnya Al-Bidayah wa Al-Nihayah yang diriwayatkan daripada Al-Waqidi daripada Abi Ja’far Al-Baqir : “adapun permulaan turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah pada hari isnin tanggal 17 Ramadhan. Dalam riwayat yang lain tanggal 24 Ramadhan”
Maka jelas disini bahawa tiada percanggahan diantara nas Al-Quran dan Hadith dengan pendapat ulama’ tentang tarikh penurunan Al-Quran itu sendiri.
Apa yang lebih pasti adalah,Allah s.w.t melalui Nabi Muhammad s.a.w menyeru kaum muslimin untuk mengejar lailatul-qadar iaitu sebuah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Perkara ini adalah lebih penting untuk kita sama-sama kejar dan rebut sebaik mungkin, selagi masih diberi peluang untuk hidup diatas muka bumi ini.
Moga Ramadhan kali ini menjadikan kita benar-benar diampunkan oleh Allah s.w.t sekaligus tergolong di dalam hamba-Nya yang berjaya memburu lailatul-qadar. Allahuma Amiin.
Wallahua’lam.
Ust Izzat Husman Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)