Sambutan Aidilfitri: adakah kita bersyukur?

raya_2

Hari raya Aidulfitri adalah suatu perayaan yang Allah swt anugerahkan kepada kita selaku umat Muhammad saw pada setiap tahun. Ianya adalah satu ibadah yang sudah tentu terdapat padanya maqasid dan pembentukan yang mengesani daripada sambutan ini. Melaluinya saban tahun dengan pelbagai suasana dan budaya masyarakat yang wujud pada hari ini adakalanya mempengaruhi bagaimana ibadah ini dihayati oleh kita semua.

Sudah pasti sambutan perayaan ini yang dilakukan pada zaman salafussoleh yang penuh dengan suasana keimanan pastilah jauh berbeza dengan sambutan pada zaman kita hari ini yang penuh dengan fitnah dan kemaksiatan yang berleluasa.

Keadaan ini sebenarnya menuntut kepada kita untuk sentiasa kembali memperbetulkan beberapa gambaran berkenaan sambutan ini supaya ianya benar-benar menjadi suatu anugerah ibadah dan bukan pesta kemaksiatan serta semakin jauh daripadaNya.

Dalam memahami disebalik anugerah aidulfitri ini kita hendaklah merujuk kepada Al-Quran yang merupakan sumber terutama bagi kita. Allah swt dalam satu ayat menceritakan bagaimana perayaan ini adalah satu ibadah yang dihiasi dengan takbir dan tahmid sebagai satu lambang kesyukuran

وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)

Syukur atas anugerah mampu menyempurnakan puasa Ramadan bersama segala keberkahan pemberian di bulan tersebut , mengenang akan segala nikmat hidayah yang telah dikurniakan kepada kita umat Islam samada nikmat iman dan Islam ataupun nikmat taqwa dan jihad. Syukur itulah maksud serta tujuan utama kepada anugerah ini.

الله أكبر.. الله أكبر.. لا إله إلا الله.. والله أكبر الله أكبر ولله الحمد)

Syiekh Muhamad Soleh bin Uthaimin dalam satu tulisan beliau mengambarkan bahawa budaya sambutan yang hidup dikalangan umat Islam pada hari ini dengan segala perkara lagha yang melampau, sambutan yang bercampur baur ikhtilat lelaki dan wanita hinggakan diabaikan solat-solat fardhu yang selama ini dipelihara di bulan Ramadan, jauh sekali amalan sunat atau bacaan al-Quran. Beliau menggambarkan hal ini seolah-olah mereka ini berasa terseksa atau terkurung dengan Ramadan lalu merayakan syawal sebagai hari pembebasan dari segala belenggu ini, mereka kembali memperbaharui janji taat setia mereka bersama syaitan yang selama ini telah dikurung sebulan yang lalu.

Adalah suatu perkara yang pelik sebenarnya bagaimana kita boleh menyatakan kita bersyukur padaNya namun dalam masa yang sama kita sedang melakukan maksiat kepadaNya. Kita bermaksiat dengan membiarkan isteri, anak-anak dan saudara-mara kita merayakan, berpakaian, berakhlak dalam bentuk yang jauh sangat daripada lambang kesyukuran. Sedih tetapi itulah hakikat diri kita pada hari ini.

Cara kita menyambut perayaan ini sebenarnya adalah satu lambang terhadap siapakah diri kita yang sebenarnya. Seorang yang benar-benar menjadi hamba Rabbani atau sekadar menjadi hamba kepada Ramadan.

ما فرح أحد بغير الله إلا بغفلته عن الله، فالغافل يفرح بلهوه وهواه، والعاقل يفرح بمولاه"

Tidaklah seseorang itu bergembira tanpa mengingati Allah melainkan dia sebenarnya telah dilupakan oleh Allah swt. Seorang yang lalai akan bergembira dengan hawa nafsu mereka sedangkan seorang yang berakal akan gembira ketika mana dia semakin dekat kepadaNya.

Walaupun sambutan satu syawal telah berlalu, isu ini masih tetap releven untuk kita sama-sama fikirkan kerana perayaan ini akan kita sambut saban tahun  serta kita masih lagi berada di bulan Syawal yang mulia ini. Adakalanya muhasabah setelah melalui sesuatu peristiwa itu lebih mengesani jiwa kita berbanding peringatan sebelum menghadapinya.

Laluilah saki baki syawal yang ada ini dengan segala amalan yang menjadi lambang kepada kesyukuran. Hiasilah hari-hari syawal berbaki ini dengan gambaran sebagai seorang yang baru sahaja keluar daripada madrasah Ramadan yang memberi kesan terhadap segala sudut diri kita. Percakapan, pemakaian, akhlak serta hati yang telah dibasuh bersih dengan air keimanan selama sebulan.

Ketika mana salafussoleh dan para sahabat berpakaian baru pada hari raya ianya bukanlah bermaksud sekadar mencantikkan diri pada hari perayaan, tetapi ianya adalah satu lambang peribadi yang telah kembali suci menjadi satu insan yang baru setelah dibersihkan dalam kolam keberkatan Ramadan.

Antara tanda kesyukuran kita terhadap anugerah Ramadan tersebut ialah kita menyempurnakan puasa itu dengan menambah enam hari di bulan Syawal. Di mana pahalnya adalah seperti puasa sepanjang tahun.

"من صام رمضان وأتبعه ستًّا من شوال كان كصيام الدهر"

Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti enam hari syawal maka seolah-olah dia berpuasa selama setahun (riwayat Muslim)

Saya akhiri dengan satu kata-kata oleh Syiekh Khalid Abu Saleh yang memperingatkan kita akan hakikat perayaan ini:

“Bukanlah raya itu dengan engkau berpakaian degana pakaian baru, tetapi ianya adalah dengan meningkatnya ketaatan engkau kepadaNya, bukanlah raya itu dengan engkau mencantikkan kasut dan pakaian, tetapi ianya adalah untuk mereka yang telah mencantikkan dirinya dengan dibersihkan segala dosanya, bukanlah perayaan itu dengan engkau diberi wang dan duit, tetapi ianya adalah untuk mereka yang dikurniakan pengampunan dari Yang Maha Pengampung.”

Lalu dimanakah diri kita dalam perayaan ini?

 

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *