Menunggu giliran berdasarkan sistem kuota Tabung Haji

tabung haji

Hari ini untuk mengerjakan haji perlu berdaftar dengan tabung haji. Saya sudah mendaftar dan banyak kali rayuan saya ditolak kerana mungkin faktor usia saya yang masih muda baru mencecah 40 tahun dan masih bujang.

Soalan saya ustaz, jika kita telah  mampu menunaikan haji tetapi dihalang dengan sistem kuota dan giliran, dan dalam masa sama kita juga tidak tahu bila ajal akan menjemput seseorang untuk kembali kepadaNya.  Apakah kita dikatakan gagal menunaikan rukun Islam ke lima itu dan berdosakah saya?

SURAYA SHAHARILDIN, Mentakab, Pahang

Haji adalah antara ibadah yang menjadi kewajipan seperti yang termaktub dalam rukun-rukun Islam. Bermaksud kewajipannya adalah suatu perkara yang sudah jelas dan tidak dapat dinafikan lagi. Namun kewajipan dalam ibadah Haji berbeza dengan ibadah-ibadah lain, ianya bergantung kepada kemampuan mukallaf (orang yang dipertanggungjawabkan tersebut).

Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Surah Ali Imran: 97)

Jelas dalam ayat diatas kewajipan itu terikat kepada sesiapa yang mampu. Ulama juga bersetuju bahawa penilaian maksud “mampu” dalam ayat tersebut meliputi pelbagai perkara. Ianya bukan sekadar penilaian dari sudut kemampuan harta sahaja, tetapi ianya meliputi pelbagai perkara yang boleh memberi kesan terhadap keadaan seseorang itu bagi melakukan haji secara sempurna.

Atas dasar itulah ulama zaman silam telah menggariskan pelbagai syarat bagi memenuhi maksud “mampu” ini. Antaranya berkaitan harta, perjalanan yang aman daripada ancaman, bekalan makanan yang cukup sepanjang perjalanan, kesihatan tubuh badan yang membolehkan ibadah ini disempurnakan, teman atau mahram bagi wanita yang belum berkahwin dan banyak lagi. Kesemua perkara inilah yang dilihat bagi menilai kemampuan (istita’ah) seseorang itu.

Begitu juga maksud kemampuan ini berkembang mengikut suasana serta keadaan yang wujud pada hari ini. Pertambahan bilangan yang sangat mendadak dikalangan umat Islam di dunia masa kini untuk mengerjakan Haji menuntut supaya Negara Arab Saudi menetapkan kuota tertentu bagi setiap negara dengan tujuan supaya keselasaan serta keselamatan (maslahat) Jemaah Haji setiap tahun terjamin.

Jadi penantian nombor giliran setiap tahun akibat kuota yang terhad bagi Jemaah haji daripada setiap negara juga termasuk dalam lingkungan kemampuan yang dimaksudkan. Kerana perkara ini adalah diluar kuasa kita serta sistem ini bertujuan menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

Maka dalam hal ini puan adalah tidak berdosa kerana usaha puan mendaftar di Lembaga Tabung Haji serta menyediakan wang secukupnya sudah menunjukkan puan bersungguh dalam menunaikan rukun haji yang kelima ini.

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *