Hukum gugurkan bayi dalam kandungan
Assalam Ustaz,
Sya ingin bertanya, saya baru je bersalin. Anak saya sekarang berumur 4 bulan dan bersalin ceoser. Saya belum datang haid. Bolehkah saya mengadung? Sekarang merasa pening2 dan rasa mual2. Macam saya nak kira hari kandungan saya kalua x tahu waktu haid. Sebab ikutkan kalua saya xnak, saya kene keluarkan sebelum capai 40 hari. Terima kasih. Wassalam.
- Bolehkah mengandung jika belum datang haid selepas bersalin?
- Bagaimana nak kira hari kandungan jika tak tahu waktu haid?
- Jika nak gugurkan, kena gugur sebelum 40 hari?
Waalaikumussalam wbt.
Puan,
Dari sudut perubatan, sukar untuk menentukan waktu yang tepat untuk seorang wanita didatangi haid semula selepas bersalin. Ada yang didatangi haid cepat dan ada yang lambat, bergantung keadaan seorang wanita itu dan bagaimana cara beliau menyusukan anaknya. Rentetan daripada haid yang belum datang selepas bersalin, timbul persoalan adakah boleh seorang wanita itu mengandung? Ada wanita yang mengandung semula selepas bersalin walaupun belum didatangi haid kerana proses ovulasi telah berlaku. Saya menasihatkan puan untuk merujuk doktor atau pakar perubatan berhubung isu ini. Puan juga boleh melakukan sendiri ujian untuk menentukan kehamilan atau berjumpa doktor untuk memastikan adakah puan benar-benar mengandung.
Sekiranya puan mengandung dan bercadang untuk menggugurkan kandungan tersebut kerana baru sahaja melahirkan anak melalui pembedahan ceaser, adalah lebih baik puan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu berkenaan sejauh mana bahaya kandungan tersebut kepada kesihatan diri puan dan adakah menggugurkan kandungan itu satu pilihan yang terbaik.
Berdasarkan hukum syarak, ulama bersepakat mengatakan bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan setelah ditiup ruh tanpa sebab-sebab yang dikategorikan sebagai darurat. Usia kandungan yang ditiupkan ruh itu adalah selepas kandungan itu berusia empat bulan atau 120 hari kehamilan. Ini berdasarkan hadis ke-4 yang direkodkan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Hadis 40 nya:
“Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Sesungguhnya setiap kamu terkumpul kejadiannya dalam perut ibumu selama 40 hari dalam bentuk nutfah, kemudian dalam bentuk ‘alaqah selama itu pula, kemudian dalam bentuk mudghah selama itu pula, kemudian ditiupkan roh kepadanya.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)
Sekiranya roh belum ditiupkan, iaitu sebelum kandungan mencapai 120 hari atau 4 bulan, ulama’ berbeza pandangan dalam hukum menggugurkan janin.
Pendapat pertama: Haram secara mutlak kerana persenyawaan telah berlaku dan ia akan hidup. Imam al-Ghazali mengatakan ia adalah satu bentuk jenayah ke atas benda wujud yang akan terjadi. Manakala Ibnu Jauzi mengatakan perbuatan itu tetap dikira berdosa walaupun tidaklah sama dengan menggugurkannya setelah ditiupkan ruh.
Pendapat kedua: Hukumnya makruh. Apabila sampai pada waktu peniupan roh, maka hukumnya menjadi haram. Dalilnya bahwa waktu peniupan ruh itu tidak diketahui secara pasti, maka tidak boleh menggugurkan janin jika telah mendekati waktu peniupan ruh sebagai langkah berjaga-jaga. Pendapat ini dipegang oleh sebagian ulama mazhab Hanafi dan Imam Romli yang merupakan salah seorang ulama dari mazhab Syafie .
Pendapat ketiga: Harus hukumnya kerana dalam tempoh ini kandungan masih tidak bernyawa. Namun ada pendokong pandangan ini meletakkan syarat tertentu seperti kandungan akan memudaratkan isteri jika diteruskan, putus susu kepada anak yang sedia ada disebabkan kandungan yang baru sedangkan suami tidak berkemampuan untuk mengupah orang lain menyusukan anaknya, mendapat persetujuan suami isteri, pengguguran ini tidak membahayakan nyawa ibu dan lain-lain.
Jika puan mengandung dan bercadang untuk menggugurkannya sebelum sampai tempoh 40 hari, saya berharap agar puan melihat dahulu tujuan dan sebab mengapa puan ingin menggugurkan kandungan tersebut. Jika puan meletakkan sebab-sebab ekonomi sebagai alasan untuk menggugurkan kandungan, pada pandangan saya – wallahu a’lam- adalah alasan yang tidak kukuh dalam syara’.
Antara firman Allah SWT:-
“Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka” (QS al-An’am 151)
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (QS al-Isra’ 31)
Sekiranya puan ingin menggugurkannya atas sebab kesihatan, sekali lagi saya menasihatkan agar puan merujuk pakar perubatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jika pengguguran adalah keputusan yang diambil, harus hukum menggugurkannya sebelum sampai tempoh 40 hari kerana ia hanyalah gumpalan darah dan belum membentuk sifat-sifat paling minima sebagai manusia.
Namun sekiranya puan tidak mengandung setelah diperiksa, saya menasihatkan puan untuk mengambil perancang kehamilan kerana masih belum bersedia untuk memiliki lagi cahaya mata dalam waktu terdekat. Dalam Islam, mengambil perancang kehamilan adalah dibenarkan dan ia adalah satu langkah yang lebih baik daripada menggugurkan kandungan kerana menggugurkan kandungan ertinya telah membunuh satu kehidupan.
Walahua’lam.
Lihat juga: http://muis.org.my/2011/01/hukum-menggugurkan-kandungan/
Unit Wanita dan Kekeluargaan MUIS
Rujukan:
- Ihya’ Ulumuddin
- Hasyiyah Ibnu Abidin
- Nihayatul Muhtaj
- Hadis 40 Imam Nawawi
bagaimana hukum gugurkan kandungan kerana doktor kata anak akan lahir cacat?