Kebebasan di sisi Islam : Kebebasan Terpimpin

sentuhalquran

Ajaran para nabi datang dengan 2 tujuan utama :

  1. Mempertegaskan kewujudan Allah dan keesaanNya
  2. Membebaskan manusia dari segala bentuk perhambaan

Ajaran Islam ini datang untuk membebaskan dari sebarang bentuk ikatan dan belenggu melainkan ikatan iltizam terhadap usul iman dan undang-undang awam manusia, adat istiadat setempat dan juga pemeliharaan terhadap kemuliaan manusia serta menjamin kesamarataan, keadilan dan tolong-menolong.

Di dalam sistem pemerintahan Islam, Islam sangat mengiktiraf kebebasan menyuarakan pandangan dengan seluas-luasnya. Bahkan ianya suatu kemestian dan kewajipan hak yang mesti ditunaikan.  Perundangan Islam sendiri menjadikan sistem pemerintahan sebagai perkongsian antara pemerintah dan rakyat.

Pemerintah itu wujud demi tugasan asasinya iaitu menjamin kemaslahatan masyarakat. Manakala rakyat pula wujud sebagai batu-bata asas binaan bagi terwujudnya pemerintahan yang soleh. Jadilah kedua-dua elemen ini (pemerintah & rakyat) saling melengkapi satu sama lain.Dengan itu rakyat bebas menyatakan pandangan mereka terhadap binaan negara mereka. Itu adalah hak yang diiktiraf bagi mereka.

Kebebasan bersuara : Islam menyeru kepada kebebasan yang hakiki

Kebebasan menurut istilah syar’ie ialah apa yang membezakan manusia dari selainnya, manusia mampu mempraktikan segala perbuatannya, kata-katanya dan tingkah-lakunya dengan sukarela dan menurut pilihan mereka tanpa sebarang halangan dan paksaan tetapi dibawah batasan tertentu.

Dengan demikian dapatlah difahami 2 perkara :

  • kebebasan ini bukanlah kebebasan mutlaq, tetapi dibataskan dengan tidak memberi mudharat kepada orang lain
  • kebebasan disisi agama adalah hak pada semua orang tanpa membezakan satu sama lain

Sebahagian ulama pula menambah,sesungguhnya kebebasan disisi Syariat Islam diikat dengan 2 perkara:

  • ikatan dalaman. Kebebasan menusia dibatasi dengan larangan mengikuti hawa nafsu dan syahwat. Ikatan ini dinamakan juga sebagai ikatan keimanan
  • ikatan luaran. Kebebasan manusia dibatasi dengan undang-undang yang dijalankan. Batasan ini wujud disebabkan lemahnya ikatan dalaman (iman). Hakikatnya ia bukanlah batasan bahkan ia wujud demi memelihara kebebasan itu sendiri.

Imam As-Sakhowi menyebut ada 5 ikatan terhadap kebebasan :

“ Islam memberi manusia kebebasan dan diikatnya dengan 5 perkara. Kebebasan itu diikat dengan,

  1. kemuliaan akhlak demi mengelak sebarang penyelewengan
  2. Keadilan demi mengelak dari berlakunya kezaliman
  3. Kebenaran (al-haq) demi mengelak dari terjerumus ke lembah hawa nafsu
  4. Nilai kebajikan demi membendung ananiah (penting diri) yang mendatangkan fitnah
  5. Jauh dari sebarang dharar (mudharat) “

Justeru dapatlah disimpulkan kebebasan yang dinyatakan disisi agama merupakan satu kebebasan terpandu dan terpimpin. Segalanya bertujuan menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat.

Disiplin (dhowabit) kebebasan bersuara di sisi Islam

Islam telah pun meletakkan disiplin tertentu dalam memastikan kebebasan yang dilaungkan menjadi sebuah kebebasan yang terpimpin demi memastikan kesejahteraan dan kestabilan masyarakat terjamin.  Demikian jua dalam isu kebebasan bersuara semestinya menerima pengiktirafan syara’, aqal, hikmah dan ‘uruf yang sohih. Tanpa melanggari prinsip menghormati sesama masyarakat

Matlamat kebebasan yang terpimpin ini tidak akan tercapai melainkan dengan mencukupi dhowabit (disiplin) tertentu. Berikut merupakan disiplin asasi sebagai panduan kepada kita keseluruhan :

  • Beriltizam dengan asas-asas adab dan undang-undang am yang terkandung dalam syariat seperti Rukun Iman dan Rukun Islam.
  • Menjadi asas dalam memelihara ummah dari terjadinya perpecahan. Tidak dibenarkan sama sekali mempertikaikan perkara pokok dalam aqidah Islamiah. Dilarang mempersendakan Allah dan RasulNya serta Kitab Suci Al-Quran samada bagi Muslimin atau bukan Muslimin.
  • Dilarang juga mempertikaikan segala yang fardhu di dalam agama seperti solat, puasa, haji dan lain-lain kerana ianya merupakan Rukun Islam. Juga merupakan syi’ar agama Islam. Setiap pertikaian merupakan satu bentuk permusuhan terhadap agama disisi Islam.

إن الذين وؤذون الله ورسوله لعنهم الله في الدنيا والآخرةوأعد لهم عذابا مهينا

“ sesungguhnya orang yang melakukan sesuatu yang tidak diredhai Allah dan RasulNya,  Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat. Dan disediakan bagi mereka azab yang pedih

  • Mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya

Firman Allah Taala :

يآ أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

“ wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul, dan juga kepada ulil amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu ”

  • Perintah didalam ayat menunjukkan wajib. Ulil amri dalam keilmuan ialah ulama, dalam siasah (politik) pula ialah pemerintah

 

يآ ايها الذين ءامنوا لا تخونوا الله والرسول وتخونوا أمنتكم وانتم تعلمون

wahai orang beriman jangan lah engkau mengkhianati amanah Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”

  • Bebas dari sebarang penzahiran kefasadan dan kerosakan di muka bumi

ولا تبغ الفساد في الأرض إن الله لا يحب المفسدين

dan janganlah kamu melakukan kerosakan dimuka bumi, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan”

  • Disiplin ini menuntut terhindarnya sebarang ancaman terhadap sistem dan perundangan negara dan pemeliharaan keselamatan, keamanan dan maslahat awam. Dituntut untuk menggunakan uslub sederhana yang penuh dengan hikmah tanpa sebarang kekerasan yang membawa kemudharatan yang lebih besar.

Kesimpulan

Berkadaran dengan huraian ringkas berkenaan ini, bertujuan memberi gambaran kasar sedikit sebanyak beza seruan di sisi Islam dari sebarang seruan kebebasan palsu yang kita lihat pada hari ini. Seruan kebebasan yang tidak dibatasi dengan segala ikatan (dalaman dan luaran) serta dhowabit (disiplin-disiplin) ini, hanyalah menatijahkan hasil yang lebih buruk bercanggah dengan nilai kebebasan sebenar seperti perhambaan, penindasan kepada yang lain serta kerosakan yang tersebar dalam kalangan masyarakat.

Kebebasan barat hanyalah lahir daripada setelah terjadinya krisis yang berbagai seperti krisis tekanan hidup, krisis politik, krisis sosial dan krisis ekonomi. Kebebasan suara yang dilaungkan di dalam sistem demokrasi barat khususnya di US hanyalah semata-mata seruan yang dilaung-laungkan sahaja. Begitu juga di dalam sistem komunis tiada tempat bagi kebebasan bersuara. Kebebasan social, media massa kesemuanya terpaksa tunduk bawah cengkaman penguasa komunisme. Natijahnya, kebabasan barat hanyalah satu bentuk kebebasan terpilih dan bias, serta merupakan satu bentuk perhambaan dan penjajahan hakikatnya kepada satu sama lain.

Majlis Ulama ISMA Cawangan Mesir

Rujukan :

  1. حق الحرية في العالم (د ۔ وهبة الزحيلي)
  2. الإمام السخاوي – د ۔ سيد محمد الساداني
  3. التشريع الجنائي الإسلامي ، المرحوم عبد القادر عودة
  4. الحريات العامة : د ۔ كريم كشاكش

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *