Al-Qur’an dan Hadis dibacakan oleh orang kafir
SOALAN:
Saya ingin bertanya tentang topik soalan di atas yang dilihat agak kurang menyenangkan di pihak saya.
Saya bimbang tentang orang bukan Islam yang berlakon alim yang seolah-olah hendak mengajar orang Islam dan cuba mempermainkan ayat suci al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Terima kasih banyak Ustaz.
JAWAPAN:
Dalam soalan di atas, terdapat dua persoalan:
1. Adakah orang kafir boleh membaca ayat Al-Quran?
Adalah diharuskan bagi orang kafir untuk membaca, mendengar, mempelajari dan mengulangi bacaan Al-Quran dengan niat untuk mendapat hidayah Islam.
Orang kafir tidak dibenarkan untuk menyentuh Al-Quran, sebaliknya mereka diharuskan untuk menyentuh Al-Quran terjemahan jika mahu mendalami Al-Quran dan Islam.
Adapun jika Al-Quran dibaca oleh orang kafir dengan niat berlakon alim dan seolah-olah hendak mengajar orang Islam dan mempermainkan ayat suci Al-Quran, maka ia diharamkan.
Apa yang kerap berlaku ialah ada ahli politik bukan Islam berceramah dan berhujah menggunakan dalil ayat Al-Quran bagi memenangkan pendirian politik mereka sedangkan ayat itu digunakan dalam konteks yang salah.
Sebaiknya, rakannya yang beragama Islam mengajarkan ahli politik kafir itu ayat-ayat Al-Quran supaya dia mendapat hidayah, bukannya untuk mengangkat ahli politik kafir itu nampak hebat di mata orang Islam dengan kebolehannya berhujah tetapi digunakan untuk tujuan yang salah.
Sekiranya ada ahli politik bukan Islam yang membaca ayat Al-Quran dan menjelaskan sistem Islam adalah yang terbaik dalam politik dan pemerintahan, maka ia dibenarkan.
2. Adakah orang kafir boleh membaca hadis baginda SAW?
Orang kafir dibenarkan membaca hadis baginda SAW untuk tujuan mendapat hidayah.
Jika tujuannya lain daripada itu, maka ia diharamkan.
Namun, niat adalah satu perkara yang tidak diketahui kecuali Allah.
Wallahu a’lam
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin
Graduan Usuluddin (Tafsir) Al-Azhar
Ahli Majlis Ulama ISMA