Demokrasi Barat : Projek mengilmiahkan pembohongan

 

democracy_2

Dewasa ini frasa kebebasan dan demokrasi begitu hangat di-hightlight-kan oleh media massa dan begitu sering dihamburkan oleh suara awam terutamanya dari kalangan anak muda. Suara demokrasi dan kebebesan tidak terkawal ini dilihat menjadi arus perdana sehingga ianya mendorong keberanian kelompok-kelompok jahiliyah yang sebelumnya tersembunyi kemudiannya semakin berani menzahirkan batang tubuh dan organisasi mereka atas dasar tuntutan hak kebebasan dan kesamarataan.

Kumpulan-kumpulan ngo dan juga gerakan pertubuhan asing seperti LGBT, Sister In Islam (SIS) , IRF dan juga gerakan aliran pemikiran pluralisme yang menuntut hak kesamarataan agama dilihat senada dan seirama dalam mengetengahkan agenda mereka dengan mengenakan topeng yang sama iaitu hak asasi manusia dan juga kebebasan.

Seringkali kita melihat frasa liberalisme ataupun juga kebebasan disinonimkan dengan realiti pengamalan demokrasi  sesebuah negara. Liberalisme dan demokrasi boleh disifatkan seperti sekeping syiling yang memiliki dua muka iaitu depan dan belakang,dilihat seakan berbeza pada kedua-duanya namun hakikatnya adalah syiling yang sama (وجهين في عملة واحدة ). Liberalisme dan demokrasi dari sudut takrifan dan lapangan praktikaliti dilihat berbeza zahirnya namun hakikat kedua-duanya saling berkait dan tidak terpisah.

DEMOKRASI DAN PENA’RIFAN

Pengkaji sejarah sepakat mengatakan Greek dan juga Yunani merupakan negara yang menjadi ibu kepada demokrasi,yang juga merupakan sistem yang diterima dan diguna pakai di kebanyakan negara di seluruh dunia,termasuklah di negara – negara umat Islam seperti Mesir,Tunisia, Pakistan, Yaman dan tidak terkecuali juga di negara kita Malaysia.

Frasa demokrasi adalah lafaz murakkab(gabungan) yang berasal daripada bahasa yunani,dan ia terbentuk daripada dua kalimah iaitu  ‘demos’ dan ‘crates’ ,yang membawa makna :sya’ab (bangsa) dan juga sultoh (kuasa)

Manakala apabila kedua-dua kalimah tersebut digabungkan, maka ia membawa makna : kuasa rakyat ataupun kepimpinan rakyat (hukumati asy-sya’ab). Ia juga boleh diertikan negara demokrasi sebagai sebuah negara yang meletakkan kuasa rakyat sebagai sebahagian daripada pemerintahan dan juga pentadbiran kenegaraan.

Masyarakat dalam negara demokrasi memiliki pilihan untuk memilih wakil yang akan membawa idea dan yang akan bertanggungjawab menjaga maslahah masyarakat yang diwakili mereka.

Kepimpinan rakyat yang tidak ‘merakyat’

Demokrasi ini sekalipun dilihat dari sudut pengistilahannya adalah baik dan meraikan maslahah secara umumnya,namun realiti pengamalan sistem ini disepanjang sejarah  sehingga ke hari ini lebih cenderung untuk disalahgunakan bagi memenangkan keinginan sesetengah pihak berkepentingan.

Ustaz Abbas Aqqad,seorang pemikir muslim Mesir di dalam makalah penulisannya ‘demokrasi dalam Islam’ menyebutkan:

“Pentadbiran rakyat yang total tidak pernah wujud,dan mustahil akan pernah wujud sampai bila-bila,sekalipun ia dipraktikkan dalam populasi masyarakat yang kecil sebagaimana yang berlaku di Bandar-bandar kecil Yunani (Ibu demokrasi)”

Greek atau Yunani yang didakwa sebagai Ibu Demokrasi dunia hakikatnya mereka sendiri telah gagal memartabatkan kuasa rakyat di bandar-bandar mereka.

Hak untuk memilih dan memenangkan calon dalam Bandar mereka adalah lebih kepada bersifat terhad kepada kelompok tertentu sahaja dan tidak menyeluruh,sebagaimana wanita dan golongan kasta rendah dikecualikan daripada hak tersebut. Hak suara majority pula hanyalah sekadar terbatas pada pemilihan pegawai pelakasana ataupun kuasa eksekutif dalam negara  semata,manakala polisi dalam negara pula adalah lebih  berpusat kepada individu yang memegang tampuk kepimpinan tertinggi, sebagaimana yang berlaku di Bandar Athena dan Sparta,iaitu dua buah bandar terawal di Greek yang mengasaskan demokrasi. Kuasa legislatif dan tanggungjawab menggariskan polisi dalam kawasan jajahan adalah bersifat mutlak kepada individu tertentu,iaitu Solon di Athena,dan Lycurgus di Sparta.

Orang awam mahupun kepimpinan eksekutif (pelaksana) pula tidak berhak untuk mempersoalkan dasar dan juga polisi yang diletakkan oleh individu yang memiliki autoriti legislatif. Kesan daripada monopoli kuasa yang berlaku di dalam sistem pentadbiran tersebut kemudiannya membawa kepada perpecahan di kalangan pemegang kuasa pimpinan dalam Bandar dan membawa kepada dendam dan permusuhan.

Maka tidak hairan apabila pemikir-pemikir filosof Yunani besar seperti Aristotle dan Plato mengkritik keras amalan Demokrasi dengan mendakwa ianya akan membawa kepada pemerintahan kuku besi dan diktator.

Liberalisme

Petadbiran demokrasi dalam mana-mana negara tidak dapat dipisahkan dengan kebebasan mutlak ataupun librelisme dalam pengamalan sistem sosial. Kebanyakan pendokong agenda liberalisme menggelarkan diri mereka sebagai reformis ataupun pendokong ‘renaissance’ yang kononnya cuba membawa perubahan dan tajdid dalam masyarakat. Empat tonggak kebebasan yang diperjuangkan oleh pendukung liberisme ini ialah kebebasan politik, kebebasan berfikir,kebebasan individu dan kebebasan ekonomi (iqtisod).

Empat tonggak kebebasan ini adalah bersifat mutlak atas setiap individu dan bersifat infiniti iaitu tiada batas yang menghalang. Satu-satunya redline (garisan merah) yang membataskan kebebasan individu ialah apabila sekiranya ianya mengancam kebebasan individu lain. Penekanan kepada maslahah  individu dirasakan sebagai asas kepada maslahah masyarakat secara umumnya dalam pengamalan negara demokrasi.

Kebebasan tanpa batas dan doktrin liberalisme melampau ini secara tidak langsung  membawa kepada pemahaman relativisme, iaitu merasakan tiadanya kebenaran mutlak dan mengiktiraf kebenaran sebagai bersifat nisbiyyah ataupun relatif.

Doktrin kebebasan ini jelasnya adalah bersifat paradoks dan khayalan semata,kerana mustahil wujudnya kebebasan mutlak tanpa berlakunya percanggahan ke atas hak dan maslahah individu lain. Dan sering kalinya kita lihat dalam realiti kehidupan masyarakat sosial tidak dapat lari daripada berlakunya pertembungan antara keinginan individu dan maslahah umum,sehingga membawa kesan mudarat kepada pihak tertentu sekiranya gagal dikawal.

Maka jelasnya doktrin kebebasan mutlak yang dicanangkan pendokong liberalisme tidak mampu membawa manusia kepada kebahagian yang dinginkan daripada mafhum asal tercetusnya falsafah liberty. Kebebasan individu haruslah diraikan dalam skop terbatas yang dibolehkan oleh syara’ demi menjamin keadilan dan maslahah semua pihak.

 Nas sakral di atas suara majority

Walaupun istilah demokrasi bukanlah berasal daripada kalimat bahasa arab,dan manakala silsilahnya pula bukanlah berakar umbi bermula daripada zaman nabi s.a.w,namun hak suara majoriti sangat diraikan dalam praktikal pentadbiran Islam samada dalam bentuk pengamalan syura ataupun pandangan umum. Sebagaimana dicatatkan dalam kebanyakan kitab sirah menunjukkan bahawa nabi s.a.w sangat menggalakkan para sahabat r.a untuk turut serta memberi pandangan dalam perkara ijtihadiyah yang tidak dibahaskan oleh nas qatie’.

Hak suara majoriti dan kedudukannya disisi nas sakral (wahyu) berpandukan praktikal sirah nabawiyah:

Diriwayatkan dalam sirah masyhur,sewaktu pertama kali nabi dan rombongan sahabat seramai 1400orang  keluar dari Madinah dalam percubaan pertama kali mereka untuk menziarahi baitul haram(selepas peristiwa hijrah),baginda telah dimaklumkan oleh Utbah Al-Khuzaie tentang perancangan kelompok musyrikin Mekah yang bersiaga dengan kelengkapan tentera dan senjata untuk menyekat rombongan umat Islam.

Maka pada ketika itu nabi meminta pandangan para sahabat yang menyertai rombongan tersebut samada untuk meneruskan perjalanan mereka atau membatalkan niat asal mereka.

Maka para sahabat sepakat menyatakan keazaman mereka untuk melanjutkan perjalanan tanpa menghiraukan sekatan puak musyrikin.  Abu bakar berkata: “Sesungguhnya kita datang dengan tujuan yang aman,bukan untuk membunuh atau berperang,teruskan lah langkah kita,barangsiapa yang menyekat rombongan ini maka wajib ke atas kita memerangainya”.

Lalu nabi menyahut persepakatan itu dengan bersabda:  “Majulah kita dengan Bismillah..”.

Sehingga rombongan tersebut tiba di suatu perlembahan,unta yang dinaiki oleh nabi tiba-tiba terhenti dengan sendirinya dan terbukalah hijab yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa melainkan hanya khusus kepada insan yang memiliki tanda kenabian ,iaitu Muhammad s.a.w.

Lalu bersabda nabi s.a.w:  “Sesungguhnya tiada tangan yang mampu menghentikan unta ini,melainkan ianya adalah tangan sama yang telah menghentikan tentera bergajah (ashabul fil),dan demi diriku yang berada di dalam tangan nya tidaklah setelah ini sekiranya orang quraisy datang kepada ku dengan perjanjian untuk berdamai melainkan hendaklah aku mengikuti perjanjian mereka”.

Muhammad Al-Ghazali di dalam ta’liq-nya (komentarnya) yang terkandung di dalam makalahistibdad as-siyasi (sebuah rencana politik)menyebutkan bahawa peristiwa unta tersebut merupakan titik permulaan berubahnya pendirian nabi daripada pandangan umum (majority opinion) kepada petunjuk ilahiyat (wahyu). Sehinggalah kemudiannya boleh dilihat bagaimana umat Islam akhirnya membatalkan tujuan asal mereka untuk menziarahi baitullah setelah daripada termaktubnya perjanjian Hudaibiyah antara Quraisy dan juga Nabi s.a.w.

Sirah nabawi ini jelas sekali menunujukkan bagaimana Islam tidak sama sekali menafikan pandangan majoriti bahkan meraikannya sebagai sebahagian daripada wasilah menjaga maslahah umum. Namun medan ijtihad ataupun pandangan umum adalah terbatas sekadar di dalam skop yang diharuskan oleh syara’,dan terbatal sekiranya jelas bertentangan dengan teks nas sakral yang qatie.

Maka jelasnya,pandangan umum ataupun majority opinion haruslah berpayungkan syariat dan bukan sebaliknya. Pandangan umum ataupun suara majoriti bukanlah bersifat mutlak untuk diraikan ataupun diterima pakai,bahkan sebaliknya tertolak sekiranya jelas menyalahi syariat.

Jika sekiranya kehendak majoriti dan hak Allah bercanggah,maka tentu sahaja hak Allah yang mesti dahulu ditunaikan,kerana tidak ada ketaatan terhadap makhluk dalam kederhakaan kepada Al-Khalik (pencipta).

demokrasi Projek mengilmiahkan pembohongan

Dunia hari ini dikaburi oleh propaganda barat yang mengetengahkan pendekatan kebebasan dan toleransi mutlak sebagai pendekatan yang dikatakan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian dan juga solusi untuk menghapuskan pemahaman ekstremisme dan radikalisme. Maka kesannya hari ini kita dapat melihat bagaimana umat Islam seolah-olah memiliki dua pilihan,samada untuk mengikut jalan tasyaddud (keras) iaitu dengan menggunakan pendekatan radikalisme dan juga ekstrim seperti yang dicanangkan oleh media dengan apa yang berlaku di Syria,ataupun memilih pendekatan tasahhul (bermudah-mudah) iaitu bersikap dengan keterbukaan dan meraikan kebebasan mutlak hak milik individu.

Projek mengilmiahkan pembohongan ini akhirnya berjaya mengaburi umat Islam daripada ruh wasatiyah yang dibawa oleh Islam,dan kesannya dapat kita lihat ramainya umat Islam yang cair jati diri muslimnya dan lebih cenderung kepada pendekatan tasahhul (bermudah-mudah) dan bersifat apologetik kerana dirasakan ianya lebih dekat dengan kecenderungan masyarakat masa kini.

Realiti tidak dapat dikaburi dengan laungan slogan dan propaganda. Lihatlah saja barat, sekalipun dilihat sebagai jaguh yang paling lantang melaungkan syiar demokrasi dan kebebasan,namun mereka itu jugalah yg memekakkan telinga apabila hak demokrasi umat Islam di Mesir,Pakistan  dan Syria di cabuli.

 Rujukan

  1.  Al-Quran Al-Karim
  2.  Nazorot fit taiyarat al-muasoroh
  3.  Istibdad As-Siyasi: Muhammad Al-Ghazali
  4.  Fikrul Islamiy wa qadayana as-siyasah al-muasiroh : Dr.Muhammad Ar-Raisouni
  5.  Fikh daulah: Dr.Yusof Al-Qardhawiy

Ustaz Ahmad Zaki Mursyid Bin Ahmad Shairazi,
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir,
Kuliah Usuluddin Tahun 3,2014/2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *