KolumnisUtama

Perbalahan ulama akan merugikan Umat Islam

ulama quranTiada siapa dapat menafikan bahawa kedudukan ulama dalam masyarakat kita jauh lebih tinggi berbanding pemimpin politik. Jika pemimpin politik hanya dijadikan sebagai rujukan sekadar dalam hal ehwal kenegaraan, ulama dijadikan rujukan dalam pelbagai perkara daripada urusan kehidupan yang kecil hinggalah kepada urusan-urusan besar kehidupan.

Peranan ini telah wujud jauh berzaman lagi. Atas sebab itulah jika kita perhatikan sejarah, setiap kebangkitan yang berlaku itu pasti didahului atau pun diiringi bersama dengan kebangkitan kelompok ulama itu sendiri. Kisah kebangkitan umat menentang monggol, kisah pembukaan kota konstantinopel dan pelbagai kisah lagi menjadi suatu petanda bahawa ulama adalah nadi kepada umat ini.

Kita juga belajar daripada sejarah bani Israel bagaimana keruntuhan tamadun itu berlaku bermula daripada sikap membisu golongan ulama terhadap kemungkaran yang sedang berlaku.

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (surah Al-Maidah :78-79)

Setiap apa yang ulama lakukan atau katakan diperhatikan oleh masyarakat itu sendiri, jika seruan serta qudwah itu kearah kebaikan maka masyarakat berbondong-bondong mengikuti semboyan tersebut. Namun jika ianya sekadar seruan tetapi memberi contoh yang buruk maka masyarakat turut sama akan jatuh ke dalam lembah kehinaan.

Bagi saya mungkin atas sebab itulah Allah swt sangat membenci kelompok yang cakap tidak serupa bikin, kerana tindakannya itu sangat memberi fitnah yang besar terhadap masyarakat sekeliling.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (Surah Al-Saff: 2-3)

Kedudukan ini sepatutnya dilihat dan disedari oleh ulama itu sendiri. Ketikamana dia menyeru kearah perpaduan serta penyatuan umat Islam, dia hendaklah menjadi orang yang pertama sekali menterjemahkan perkara ini di dunia realiti. Sifat berlapang dada, sikap terbuka dalam menghadapi kepelbagaian dikalangan ulama serta sikap profesional dalam menyelesaikannya perlu diperlakukan secara serius.

Bukanlah maksud saya ulama perlu berdiam diri apabila sesuatu kesalahan dilakukan oleh golongan ulama yang lain, tetapi sepatutnya setiap perbalahan antara ulama itu perlu diselesaikan secara bijak dan tersusun supaya akhirnya tidak terjadi daripada perbalahan itu fitnah yang jauh lebih besar iaitu perpecahan antara umat itu sendiri.

Memerhatikan apa yang sedang berlaku dikalangan mereka yang merupakan “pewaris nabi” pada hari ini amat memilukan. Sudahlah umat ini sedang menghadapi keruntuhan dalam pelbagai perkara samada dalam hal sosial, ekonomi, kenegaraan dan lain-lain. Ditambah lagi dengan penderitaan melihat pergaduhan yang tidak berpenghujung dikalangan mereka yang Rasulullah umpamakan sebagai bintang kepada umat ini.

Jika bintang pun sudah tidak ada lagi di langit, maka apa lagi yang akan menjadi panduan kita dalam menyelusuri keadaan umat yang penuh dengan kegelapan ini?

Sedarlah, tugas seorang ulamak bukanlah sekadar memyampaikan ilmu semata-mata,ulamak bertanggungjawab untuk meneguhkan dan menyatukan ummah. Sebagai ulama wariskanlah kepada ummah serta pemimpin kepada generasi hadapan ini kesatuan dan kekuatan daripada ilmu yg disampaikan, bukan mewarsikan perbalahan yg menantikan perpecahan serta kehancuran.

Wallahua’lam

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *