KolumnisUtama

Hakikat mereka menentang Hudud kerana ia Projek Islami

dap-tolak-hudud-pas

Melihat situasi hangat membincangkan isu hudud yang berlaku pada hari ini adakalanya menyebabkan saya berasa pelik. Pelik bukan sekadar sebab melihat umat Islam sendiri yang menentang hudud, tetapi saya lebih pelik melihat sebahagian dikalangan bukan Islam yang bersungguh-sungguh menentang pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan itu sendiri.

Sedangkan kita sudah jelas serta umum mengetahui undang-undang jenayah syariah Islam yang cuba dipinda di negeri Kelantan adalah berkait undang-undang untuk orang Islam sahaja, langsung tidak melibatkan bukan Islam.

Bukankah itu suatu perkara yang pelik? Adakah ini menunjukkan musuh Islam yang selama ini lantang menentang Islam namun secara tiba-tiba mengambil berat serta mengambil kesah urusan umat Islam? Benarkah mereka tidak mahu orang Islam dihukum dengan hukuman yang berat serta ingin menjaga kebajikan kita?

Hakikatnya adalah tidak, mereka menentang hudud bukanlah disebabkan mereka ambil berat umat Islam. Mereka bersungguh menolak hudud kerana mereka melihat isu ini bukanlah sekadar isu perundangan, ia bukanlah sekadar isu negeri Kelantan, juga bukanlah isu perlembagaan serta jauh sekali demi kebajikan umat Islam. Hakikat penentangan mereka adalah kerana isu ini berkait dengan projek Islami yang selama ini mereka tentang.

Penentangan mereka adalah kerana mereka tidak mahu cahaya Allah SWT kembali menyinari seluruh dunia ini yang kemudiannya akan membebaskan seluruh manusia daripada belenggu hawa nafsu. Mereka sudah lama memahami serta beriman dengan sifir pertembungan ini, lalu segala tindak tanduk, perancangan kesemuanya akan berasaskan tasawur ini.

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As Saff: 8)

Lihatlah dalam isu Comango, isu LGBT, isu kalimah Allah, isu agama anak, isu penyebaran Al-Quran serta banyak lagi isu lain yang kesemuanya jelas menunjukkan hakikat perjuangan mereka adalah berasaskan hawa nafsu serta menentang sebarang usaha kearah pembangunan projek Islami. Isu Hudud ini hanyalah salah satu rantaian daripada rantai-rantai isu yang telah berlaku sebelum ini, bagi mereka tiada beza antara semua isu tersebut.

hududMereka berjaya melihat dalam kerangka ini, tidak kira kelompok mereka yang berdiri atas pentas politik, ekonomi, perundangan atau sosial itu sendiri kesemuanya berpegang kepada cara fikir yang sedemikian. Bahkan sebehagian umat Islam yang bersungguh menentang hudud pun hakikaktnya dia takut kepada projek islami, bukanlah atas sebab-sebab teknikal lain. Bagi mereka yang ada hanyalah samada projek Islami atau projek jahili.

“Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka,” (Surah Al-Anfal : 36)

Cuma yang menyedihkan adalah suasana umat Islam yang wujud dalam isu ini, kita masih lagi gagal memahami pertembungan ini. Kita hanya selalu melihat segala isu yang berlaku secara terpecah-pecah serta gagal menghubung kait antara satu sama lain. Lalu apabila timbul sesuatu isu, kita hanya fokus kepada perbincangan yang kononya akademik dan ilmiah namun jauh daripada memahami hakikat realiti serta suasana yang terjadi.

Kita gagal memahami bahawa ianya adalah sebuah projek untuk menghancurkan Islam serta menegakkan jahiliyyah maka atas dasar itu kita terus menjadi umat yang naif. Akhirnya kita terus bertelagah dan musuh terus merencana perancangan mereka untuk terus menjatuhkan kita.

Bangkitlah umatku! kita sepatutnya mula melihat isu ini dalam konteks ia adalah sebahagian proses dalam mengenengahkan projek Islami terhadap masyarakat serta tanah air kita yang tercinta ini. Maka atas landasan projek-projek islami inilah kita akan bersepakat demi mendaulatkan Islam.

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *