Menggunakan istilah-istilah Syarak untuk menghapuskan Islam

pkr hudud

Sebahagian kelompok umat Islam suka mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu yang sebenar kepada isu yang direka-reka, agar masyarakat dialihkan perhatian daripada isu pokok yang sedang dibincangkan.

Baru-baru ini PKR telah mengeluarkan kenyataan menolak hudud atas dasar maqasid syarak, fiqh awlawiyat dan maslahat umat. Mereka menganggap istilah syarak dalam Bahasa Arab mampu mengalihkan pandangan masyarakat terhadap agenda sebenar yang mereka sedang lakukan.

Bagi saya ini semua adalah terma-terma yang seringkali disalahguna oleh golongan yang berkepentingan. Mereka menggunakan istilah-istilah yang bombastik yang tidak berapa difahami oleh masyarakat untuk tunjuk pandai, lalu masyarakat yang tidak memahami istilah tersebut akan terdiam dan bersetuju dengan minda “mereka yang gunakan istilah arab itu pasti lebih tahu dan banyak mengkaji berbanding masyarakat awam”.

Ini adalah taktik-taktik buruk yang biasa digunakan oleh pihak-pihak Barat, liberal dan jahiliyah yang lain. Mereka menggunakan istilah-istilah syarak tetapi bertujuan menghapuskan syarak. Seperti kata Saidina Ali ; “Kalimah yang benar tetapi digunakan atas tujuan kebatilan”.

Ada di kalangan mereka yang menggunakan istilah maqasid syarak yang mengiktiraf kebebasan beragama, lalu melahirkan kesimpulan bahawa murtad itu harus kerana manusia bebas memilih. Ada pula yang mendakwa maqasid syarak mendorong kesamarataan dan keadilan, jadinya hukum faraid yang mana bahagian lelaki adalah 2 kali ganda berbanding wanita juga perlu dihapuskan kerana itu menafikan kesamarataan dan keadilan.

Ada pula di kalangan mereka yang menyatakan bahawa maqasid syarak tidak membenarkan penafian hak beragama orang kafir, lalu menyatakan bahawa hak menggunakan kalimah Allah dalam terbitan Kristian mesti diberikan kepada golongan Kristian Evangelis walaupun ia sudah terbukti mempunyai syubhat pendakyahan dan Kristianisasi.

Ini hanyalah sekelumit contoh bagi para pejuang keadilan yang tersempang siur hujahnya dan jelas matlamatnya adalah menolak pelaksanaan syariah.

Jadi, apabila kita melihat komentar PKR dalam menangani isu hudud, mereka hakikatnya tidak pernah memperjuangkan apa-apa agenda Islam secara jelas. Mereka mendakwa-dakwa mencari keadilan dan maslahat umat, namun perjuangan mereka sebenarnya adalah berkiblatkan fahaman Liberal yang bertentangan dengan Islam serta menjadikan DSAI sebagai Perdana Menteri. Langkah Kajang, isu pemilihan pemimpin PKR dan banyak lagi kenyataan mereka sudah membongkarkan kepada kita siapa mereka dan apa yang mereka mahu.

Oleh itu, dalam perkara ini kita harus melihat dari dua sudut. Sudut yang pertama adalah ; sejauhmana kita mahu hudud dilaksanakan dan apakah langkah menuju perkara tersebut. Sudut yang kedua adalah ; isu maslahat umat mesti dilihat dari ruang lingkup kepentingan umat, bukan kepentingan parti sendiri.

PAS pada hari ini makin menyedari seruan pihak yang menyeru kesepakatan Muslim dan Melayu apabila isu hudud dijadikan kayu ukur. Kenapa kita hanya menghadkan pada satu isu, sedangkan berapa banyak lagi isu-isu lain yang harus dijadikan paksi kesepakatan tanpa mengira parti politik ?

Kenapa isu hudud sahaja yang kita harus lihat dari sudut kepentingan Islam dan umatnya, sedangkan isu kalimah Allah, kristianisasi, ancaman Barat, agenda Chauvinis Cina, syiah dan sebagainya itu kita masih mengambil pendirian berdasarkan kepentingan kelompok masing-masing ?

Ia sebenarnya adalah gabungan isu-isu yang menuntut kita membuat pendirian atas pentas sebuah umat Islam yang bersaudara, mengenepikan sentiment politik kepartian, bagi menyelamatkan umat yang sedang dilanda musibah akhir zaman.

Wallahua’lam

 ust syamil
 
Ust Ahmad Syamil Mohd Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *