K-pop bakal meruntuhkan nilai agama dan budaya dalam jiwa umat
1. Suasana Malaysia yang masih belum reda dari musibah banjir , tiba – tiba timbul gadis -gadis muslimah yang tenggelam dan hanyut dengan gelombang K-pop selepas Gangnam Style rela diperlakukan dengan kelakuan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh Islam dan budaya timur.
2. Sesungguhnya tragedi ini telah membuktikan arus ganas liberalisme yang menjadikan kehendak serta hawa nafsu manusia menjadi fokus utama penganut aliran ini walaupun ianya bakal meruntuhkan nilai – nilai agama dan budaya dalam jiwa.
3. Apa juga agensi yang ditubuhkan untuk menguatkuasakan undang-undang yang menghadkan kehendak individu akan dikritik dengan hebat kerana bagi mereka agensi ini akan menghalang gelombang ini daripada terus berkembang.
4. JAKIM telah mengeluarkan satu Garis Panduan Hiburan Dalam Islam semenjak tahun 2007 lagi, tetapi arus liberalisme ini menganggap garis panduan ini tidak berhak menghadkan kebebasan individu bahkan sebelum tragedi ini berlaku , JAKIM telah dituduh melalui khutbah – khutbah nya menganjurkan fahaman ekstremisme.
5. Plot cerita ini akan berterusan dengan penampilan barisan peguam – peguam pejuang hak asasi (dibaca pejuang nafsu) manusia yang akan terus menentang Islam selagi mana tidak ada apa – apa tindakan terhadap individu mahupun syarikat yang terbabit. Juga selagi mana kita diam membisu.
6. Kepada anak-anak gadis muslimah yang terlibat , kembalilah kepada Allah dan sesali perbuatan lampau dan nekad untuk tidak mengulanginya . Jangan jadikan perbuatan kalian menjadi fitnah kepada rakan -rakan muslimah lain yang bertudung .
Sesungguhnya wanita yang bertudung sepatutnya menjaga maruahnya. Sesungguhnya wanita muslimah itu telah mulia dengan Islam, ia tidak memerlukan kepada kerendahan serta kehinaan hawa nafsu.
7. Kepada ibu bapa awasi lah anak-anak daripada teruja dengan budaya K-pop ini. Ambil lah budaya yang baik daripada orang-orang Korea seperti rajin bekerja , sayangkan identiti diri dan lain-lain. “Hikmah itu adalah suatu perkara yang hilang daripada orang mukmin, dimana engkau mendapatinya maka sebenarnya engkau berhak ke atasnnya”
8. Kepada kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan , budaya bollywood mahupun Hollywood ataupun budaya hiburan import dari Korea ini membawa pakej yang merbahaya kepada jati diri umat Islam jika tidak dikawal selia dengan baik . Kalau budaya bollywood membawa fahaman pluralism agama maka k pop membawa sekali fahaman liberalisme dan Kristianisasi .
Kajian rambang yang dilakukan oleh A. Karim Omar mendapati hampir 80% dari artis K-pop beragama Kristian . Selebihnya terdiri dari golongan atheis , budha dan kepercayaan animisme. Kebanjiran filem Korea di stesen tv di Malaysia juga menyumbang kegilaan remaja wanita kepada artis artis ini.
Hakikatnya sedar atau tidak sedar, kita sendirilah yang sedang menanggalkan satu demi satu batu bata tembok keimanan dalam jiwa umat hari ini.
9. Sedih kita melihat suasana ini, Rasulullah SAW memerah segala keringat demi mengajarkan sebuah kemuliaan kepada umat Islam dan dunia sehingga Baginda dihina tanpa pembelaan namun ada di kalangan umat Baginda SAW sendiri yang rela menghina agama dan dirinya sendiri.
Sekadar demi sebuah kepuasan hawa nafsu.
Ust Zamri Hashim Timbalan Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)