Perbezaan niat antara Imam dan Makmum

muslim-solat-sujud

Soalan : Sahkah seseorang sembahyang witir berimamkan seorang imam solat terawih?

Ulama telah berselisih pendapat dalam hal perbezaan niat antara imam dan makmum, sebahagian membenarkannya dan sebahagian lain tidak.

Punca perbezaan (محل النزاع) pendapat dalam isu adalah kerana perbezaan dalam memahami hadis Rasulullah SAW :

إنما جعل الإمام ليؤتم به فلا تختلفوا عليه

“Sesungguhnya adanya imam adalah untuk diikuti, maka janganlah kalian menyelisihinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Pandangan pertama: Imam  as-Syafi’e antara yang mengharuskan sahnya solat walaupun terdapat perbezaan niat antara imam dan makmum.

Beliau memahami bahawa persamaan yang dituntut antara imam dan makmum di dalam hadis tersebut hanya pada pergerakan solat sahaja, tidaklah termasuk dalam hal niat.

Oleh itu, sah solat fardhu berimamkan imam solat sunat atau imam solat fardhu yang lain.

Namun Imam Syafie meletakkan pengecualian dalam hal solat fardhu atau sunat berimamkan imam solat gerhana atau solat jenazah maka ia tidak harus, kerana terdapat perbezaan pada pergerakan solat.

Pendapat ini dikuatkan juga dengan hadis dari Jabir bin Abdullah beliau meriwayatkan :

“Bahawa Muaz bin Jabal RA telah solat Isya’ bersama Nabi SAW dan para sahabat, kemudian dia pulang kepada kaumnya lalu mengimamkan solat Isya’ bersama mereka. Solat itu baginya solat sunat dan bagi kaumnya adalah solat wajib.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

 Pandangan kedua: Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad berpendapat, tidak harus berbeza niat antara imam dan makmum.

Mereka memahami bahawa persamaan yang dituntut dalam hadis yang disebutkan diawal tadi adalah termasuk jenis solat, nama, waktu dan pergerakannya.

Maka tidak sah solat sunat berimamkan solat fardhu atau solat fardhu berimamkan solat fardhu yang lain kerana wujudnya perbezaan pada jenis-jenis yang disebutkan tadi.

Namun Imam Abu Hanifah mengecualikan solat sunat berimamkan imam solat fardhu kerana solat sunat lebih ringan daripada solat fardhu. Juga harus solat sunat di belakang imam solat sunat.

Maka dengan itu, saya cenderung mengatakan bahawa sah seseorang solat sunat witir berimamkan imam solat sunat tarawih kerana :

1) Hujahan Imam Syafie dalam hal ini dilihat lebih kukuh samada dalam memahami hadis jangan menyelisihi imam serta hadis lain yang dijadikan sebagai sandaran. Mazhab ini jugalah yang menjadi rujukan utama di dalam kehidupan masyarakat kita di Malaysia.

2) Berdasarkan kejelasan hadis Mua’z bin Jabal yang solat sunat mengimamkan kaumnya solat fardhu. Dalam hal ini, solat witir dan solat tarawih kedua-duanya adalah sunat, maka ia lebih ringan.

3) Imam Abu Hanifah juga secara jelas mengatakan bahawa harus solat sunat berimamkan seorang imam solat sunat, maka ini menunjukkan Mazhab Hanafi setuju dalam persoalan yang ditimbulkan.

Wallahu a’lam

Rujukan:
1)Al-Majmu’ fi Syarh al-Muhazzab
2)As-Syarh as-Soghir
3)Syarh al-Qadir
4)Fiqh Islami Wa Adillatuhu
 
Ustazah Zainab Husna
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
 
 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *