Antara Usaha dan Qada’ Qadar
Apakah maksud Qada’ dan Qadar? Mengapa Allah menyuruh kita berusaha sedangkan Allah telah menetapkan segalanya?
Jawapan:
Bagi kita sebagai seorang mukmin, beriman dengan Qada’ dan Qadar adalah salah satu rukun Iman yang enam. Bermaksud iman kita tidak akan sempurna tanpa adanya keimanan terhadap perkara ini. Ianya adalah perkara mendasar dan sangat asas bagi kita.
Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:
Lelaki itu bertanya kepada baginda Rasulullah, “Beritahu kepadaku apakah itu Al-Iman?” Rasulullah menjawab, “Engkau beriman dengan Allah, Malaikat, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, dan Hari Akhirat dan engkau beriman dengan Qadar Allah sama ada baik mahupun buruk.” (Hadis Riwayat Muslim).
Ulama mendefinisikannya seperti berikut:
Qada’ – Allah mewujudkan atau melaksanakan apa-apa yang telah ditetapkan sebelum ini berdasarkan ilmu-Nya dan iradah-Nya.
Qadar – Ilmu Allah berkenaan sesuatu perkara, ia telah tercatat di Luh Mahfuz bahawa sesuatu perkara akan berlaku pada masa akan datang.
Maksud beriman dengan Qada’ dan Qadar ialah:
- Beriman dengan Ilmu Allah.
- Beriman bahawa segalanya telah ditulis di Luh Mahfuz.
- Beriman dengan kehendak Allah dalam melaksanakan, dan Qudrah-Nya yang meliputi semua perkara.
- Beriman bahawa Allah mewujudkan segalanya, kerana Allah Maha Pencipta, selain daripada-Nya adalah makhluk.
Lalu mengapakah Allah menyuruh manusia berusaha sekiranya Allah telah menetapkan semua perkara?
Berimannya kita terhadap wujudnya suatu ketentuan (qada’ dan qadar) tidak menafikan perlunya kita kepada tawakal atau mengambil sebarang asbab terhadap sesuatu urusan. Seseorang yang kelaparan, wajib mencari makanan dan menyuap makanan ke dalam mulutnya, ini kerana mustahil perutnya akan kenyang secara tiba-tiba.
Juga berimannya kita terhadap perlu mengambil asbab tidak sepatutnya sehingga kita menafikan perlunya beriman disana ada suatu Kuasa yang menentukan segala urusan. Kedua elemen ini perlu diimbangi sepenuhnya supaya tidak berlaku kepincangan dalam memahami keimanan qada’ dan qadar.
Inilah keindihan cara fikir bagi seorang mukmin. Kita berusaha, kita bertawakal namun kita menyerahkan urusan akhirnya kepada Allah SWT.
Dalam sebuah hadis, seorang lelaki datang bertemu Rasulullah dan mahu meninggalkan untanya. Lelaki itu bertanya kepada Rasulullah, “Adakah perlu aku mengikatnya atau cukup sekadar bertawakkal?” Jawab baginda, “Ikatlah ia dan bertawakkallah.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban).
Memang benar Allah telah menetapkan segala urusan makan, minum, jodoh dan ajal kita. Pada masa yang sama Allah menyuruh kita berusaha mengejar apa yang kita kehendaki serta mencela sesiapa yang hidup dalam keadaan pasrah tanpa membuat sebarang usaha.
Kita juga wajib mengimani bahawa kejayaan kita itu bukanlah disebabkan usaha kita, namun ia adalah ketetapan Allah. Hal ini kerana kita mengimani bahawa Allah Maha Pencipta segala perkara termasuk ‘asbab’ yang kita ambil.
Apabila seseorang ditimpa sakit, dia wajib mengambil ubat sebagai salah satu kaedah rawatan. Bukanlah ubat itu yang menyembuhkan, sebaliknya Allah yang menyembuhkan. Usahanya bertemu doktor dan memakan ubat itu hanyalah usaha dan dijanjikan pahala.
Qada’ Qadar ini adalah antara rahsia-rahsia Allah SWT yang tidak diketahui oleh kita sabagai hamba-Nya yang penuh dengan kelemahan. Beriman akannya dengan sebenar-benarnya akan menjadikan kita merasa tenteram akan segala ketentuan setelah kita berusaha kerana kita yakin pengakhiran itu adalah yang terbaik untuk kita.
“Aku kagum terhadap urusan orang yang beriman, kerana seluruh urusannya merupakan kebaikan baginya. Jika mendapat kesenangan ia bersyukur, maka syukur adalah kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan ia bersabar, maka sabar itu merupakan kebaikan baginya. Hal seperti ini tidak akan didapati pada seseorang kecuali orang yang beriman.” [HR Muslim]
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin Usuluddin (Tafsir) Universiti Al-Azhar Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)