Iktikaf dan Solat Tahiyyatul Masjid di khemah

sujud-ibu

Assalamualaikum ustaz, saya tinggal di negeri serambi mekah (kelantan). Biasanya saya akan bersolat terawih di Khemah Terawih di Qaryah Ramadhan yang telah dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam. Soalan saya: adakah sah jika saya niat iktikaf di khemah tersebut dan adakah solat tahiyyatul masjid boleh dilakukan di situ?

Harus untuk beriktikaf dan solat tahiyyatul masjid di khemah tambahan yang dibina di kawasan masjid kerana kawasan itu mengambil hukum masjid,,

Kata an-Nawawi rahmatullah alaih; as-syafie dan para ashabnya rahmatullah alaihim telah menyatakan bahawa sah iktikaf di kawasan lapang masjid dan diatas bumbung serta sah solat makmum yang mengikut imam yang berada didalam masjid..( lihat al-majmuk 2/202).

Adapun jika khemah itu tidak disandarkan kepada masjid atau berasingan dengan kawasan masjid atau solat itu diadakan di kawasan tanah lapang dan imam solat di kawasan itu juga maka tidak sah iktikaf dan solat tahiyyatul masjid kerana ia bukan masjid dan tidak mengambil hukum masjid.

Kata al-muwaffaq Ibn Qudamah;” asal bagi iktikaf itu ialah berdasarkan firman Allah ;

ولا تباشروهن وأنتم عاكفون في المساجد
Maksudnya ; dan janganlah kamu menggauli isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.

Allah mengkhususkan masjid bagi iktikaf. Jika sah iktikaf di selain masjid, maka sudah tentu Allah tidak mengkhususkan larangan menggauli isteri di masjid.”(lihat al-Mughni 3/65)

Wallahu’alam.

Ustazah Maryam Jameelah
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *