Rahmat Allah SWT di dalam Sistem Perundangan Islam
Pada hari ini, kita banyak mendengar ramai pihak yang menyeru bahawa Islam sebagai sebuah agama rahmat. Saya tidak nafikan akan kebenaran perkara tersebut kerana perkara itu jelas disebut di dalam Al-Quran. Namun persoalan yang timbul, apakah rahmat yang kita maksudkan dan serukan padanya? Bagaimanakah kerahmatan yang ingin kita iklankan pada seluruh alam itu?
Atas persoalan ini, saya berminat untuk mengulas serba sedikit bagaimana rahmat Allah swt di dalam sistem perundangan yang diturunkan oleh-Nya kepada manusia. Sebagai asas, adalah amat penting untuk kita memahami bahawa tujuan pensyariatan undang undang jenayah bukanlah suatu dendam dari Tuhan kepada hambaNya, ianya tidak berdiri atas perasaan marah. Bahkan ianya adalah suatu tarbiyyah (didikan) seperti didikan seorang ibu kepada anaknya juga satu rahmat supaya keamanan dan kedamaian negara terjamin.
Antara salah faham yang berlaku juga adalah apabila kita berkata soal perundangan disisi Islam, kita selalu melihat ianya sekadar hudud, ta’zir dan qisas. Konteks perundangan di dalam Islam adalah lebih luas, hukuman itu adalah jalan terakhir dalam mendidik namun mempunyai tujuan yang sama dengan perkara-perkara yang lain sejak awal lagi, iaitu mendidik. Islam telah menggariskan beberapa perkara sebelum jatuhnya hukuman kepada penjenayah. Di sini saya sertakan beberapa kefahaman berkaitan fiqh jenayah dalam Islam:
1. Waze’ dini ( Pengawasan agama)
Sebelum jatuhnya hukuman terhadap penjenayah,Islam terlebih dahulu mensyariatkan beberapa Ibadah agar ia tumbuh subur dalam hati sehingga mampu menahan diri dari melakukan kesalahan yang dilarang oleh undang undang.
a. Pensyariatan ibadah
{وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ*مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ*إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ} (58) سورة الذاريات.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (56)Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. (57) Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Al-Dzariat: 56-58)
Ianya bukan sahaja kewajiban kepada umat islam, bahkan kepada seluruh manusia. Kitalah manusia yang telah dicipta oleh Allah tidak lain tidak bukan supaya beribadah dan meng-Esakan Allah SWT.
b. Tujuan solat
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِوَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ﴿٤٥ العنكبوت﴾
sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar (al-Ankabut:45)
Ya, akhirnya sehingga ianya mampu mencegah dari melakukan kerosakan dan kemungkaran. Hati yang teguh dan terkesan dengan ibadah solat akhirnya mampu meninggalkan bisikan-bisikan nafsu dan syaitan untuk melakukan kemungkaran dan kerosakan.
c. Puasa menyucikan jiwa
يقول ابن القيِّم ـ رحمه الله (وللصوم تأثير عجيب في حفظ الجوارح الظاهرة ، والقوى الباطنة ، وحميتها عن التخليط الجالب لها المواد الفاسدة التي إذا استولت عليها أفسدتها ، واستفراغ المواد الرديئة المانعة لها من صحَّتها ؛ فالصوم يحفظ على القلب والجوارح صحتها ، ويعيد إليها ما استلبته منها أيدي الشهوات)(زاد المعاد2/29)
Ibn al-Qayyim rahimullah berkata: “Puasa memberikan kesan yang menakjubkan dalam menjaga anggota badan yang zahir, memberikan kekuatan dalaman, dan menjaganya dari dimasuki barang barang yang rosak yang mana bila ia menguasai akan merosakkan, menmbuang marang barang yang tidak sihat yang menghalang dari sehat. dan puasa menjaga kesihatan hati dan anggota badan, dan akan memulangkan padanya apa yang telah dirampas oleh tangan tangan syahwat”
Itulah tangan tangan syahwat yang sentiasa menyeru kepada pelanggaran syariat. Tangan tangan itu sentiasa ingin berkuasa di hati kita. Dengan puasa, kuasa nafsu akan dikalahkan dengan kekuatan iman.
2. Membentuk masyarakat yang baik dan memperbaiki
Islam juga menyeru ke arah membina masyarakat yang sejahtera dengan menyeru kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran (amar ma’ruf nahi mungkar)
(وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ) (١٠٤) سورة ال عمران
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Al Imran: 104)
Tugas pendakwah juga tidak terbatas kepada membawa kebaikan kepada masyarakat bahkan, mereka juga dituntut menbuang segala unsur unsur jahat daripada menyerang masyarakat. Oleh sebab itu, antara kaedah terkenal dalam rawatan jiwa menurut ahli sufi adalah dengan pengosongan jiwa dari perkara jahiliyyah dan pengisian dengan nilai nilai islam (at takhaliyyah qabla attahaliyyah)
3. Hukuman setimpal dengan jenayah
Setelah itu, barulah Islam menjatuhkan hukuman kepada penjenayah. Iaitu apabila hati mereka tidak lagi berkuasa untuk menghalang diri dari perlakuan jenayah. Mereka perlukan hukuman yang keras sehingga jiwa mereka tidak lagi mengikuti kemahuan hawa nafsu. Islam menggariskan tiga hukuman dalam Islam:
a. Hudud
Ia adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dalam al Quran dan Hadis terhadap jenayah-jenayah yang tertentu iaitu zina, murtad, merompah(hirobah), mencuri, minum arak, dan qazaf. Hukuman ini telah ditetapkan oleh Allah kerana ianya sangat mengesani masyarakat.
b. Qisas
Qisas dan diyat iaitu hukuman berkaitan dengan hak individu mangsa atau walinya. Umpamanya setelah hakim mendapati seseorang itu bersalah kerana membunuh, wali mereka boleh memilih samada untuk meneruskan hukuman qisas atau menggantikannya dengan diyat atau memaafkannya. Hukuman ini, juga akan menghilangkan rasa dendam kepada waris terhadap penjenayah. Jenayah yang berlaku pula adakalanya melibatkan nyawa ataupun anggota badan.
c. Ta’zir
Ia adalah satu ruang yang dibuka kepada pemerintah supaya menilai hukuman yang bersesuaian dalam menghalangi jenayah. Ruang lingkupnya adalah sekitar jenayah selain hukuman terhadaphudud dan qisas, atau hukuman keatas jenayah hudud dan qisas yang tidak memenuhi syarat tertentu.
Kesimpulan
Kebiasannya golongan yang melakukan jenayah seperti zina, mencuri dll ialah golongan yang sebenarnya telah gagal dalam mendidik diri mereka juga telah memberi suatu mudhorat kepada masyarakat. Maka atas dasar itu, mereka layak dihukum, hukuman itu adalah untuk mendidik jiwa mereka kerana meraka tidak mampu untuk mendidiknya dengan tanganmereka sendiri juga didikan tersebut kerana dia telah menganggu suasana serta biah masyarakat.
Sistem perundangan ini jika kita amati sebenar-benarnya maka kita akan faham bagaimana akhirnya sistem sebegini boleh menyebabkan pemerintahan Islam bertahan ribuan tahun dalam keadaan pelbagai jenis rakyat, sebahagiannya Islam serta sebahagiannya tidak. Mereka berasa bahagia berada di bawah payung sistem Islam kerana mereka semua menikmati rahmat dengan berdaulatnya sistem perundangan Islam.
Juga berdasarkan peringkat-peringkat ini jelas menunjukkan, Islam amat memahami jiwa serta fitrah manusia itu sendiri. Islam melihat segala tindakan jahat bukanlah sekadar lahir daripada sesuatu tindakan, tetapi ianya adalah hasil apa yang ada dalam jiwa dan hati seseorang. Perkara ini juga jelas kita lihat di dalam sirah Rasulullah SAW bilamana Baginda mengambil berat soal pembentukan jiwa selama 13 tahun di Mekah sebelum melalui peringkat tegahan atau larangan secara terus.
ألا إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب” (متفق عليه).
“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.
Jika lurus ianya maka akan luruslah tindakannya!
Ust Khairul Fatihin Saedal Atas Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)