Kenyataan Rasmi Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkenaan Mahkamah Persekutuan Syariah

 

mahkamah syariah

Pendirian Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkenaan isu Mahkamah Persekutuan Syariah :

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

 (فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً (٥٩

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (An Nisa: 59)

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian menyokong sepenuhnya usaha kearah penambahbaikan, pemerkasaan dan penaikan taraf mahkamah Syariah di Malaysia, dan usaha kearah penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah dan mempunyai tahap bidang kuasa yang sama dengan mahkamah sivil, kerana usaha tersebut merupakan salah satu langkah kearah mendaulatkan Islam khususnya pada sudut perundangan di Negara ini. Ia juga diharap dapat mengelakkan daripada keputusan-keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah daripada dicabar di Mahkamah Sivil.

2. MUIS mengingatkan masyarakat dan pimpinan umat Islam untuk berhati-hati di dalam berbicara berkenaan dengan undang-undang Islam kerana ianya boleh berkait rapat dengan batas keimanan dan kekufuran. Jika tidak berhati-hati, penafian terhadap undang-undang Islam dan penolakan perlaksanaannya, boleh menjatuhkan seseorang individu ke dalam kekufuran. Jadikanlah ahli agama sebagai rujukan dan panduan dalam hal ini :

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُون

Bertanyalah pada mereka yang pakar jika engkau tidak mengetahui (akan sesuatu perkara) (An Nahl : 43) 

3. MUIS menyeru kepada semua umat Islam, tanpa mengira kecenderungan politik untuk bersepakat kearah memartabatkan Islam di Malaysia dan menolak segala usaha untuk menggugat kedudukan Islam oleh mana-mana pihak. Kepentingan Islam sepatutnya menjadi kepentingan yang paling diutamakan menjangkaui segala kepentingan lain.

4. MUIS juga menyeru pada semua pimpinan umat Islam untuk melihat isu penaikan taraf Mahkamah Syariah dan penubuhan Mahkamah Persekutan Syariah ini dalam kerangka kepentingan Islam dan umatnya jauh dari sebarang kepentingan lain seperti politik dan lain-lain. Justeru itu, MUIS menyeru semua pimpinan dan umat Islam agar menyokong penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah ini .

 5. Adalah menjadi suatu kewajipan kepada kesemua ahli Dewan Rakyat yang beragama Islam untuk menyokong sebarang usul yang berkaitan kepentingan Islam dan umatnya termasuklah berkaitan hal ini jika ianya dibentangkan di dalam dewan rakyat kelak. Juga menjadi suatu kewajipan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat yang beragama Islam untuk menolak sebarang usaha bagi menggugat kedudukan Islam di negara Malaysia ini.

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ

hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah (Al-Maidah: 2)

6. Kepada masyarakat dan pimpinan bukan Islam, MUIS memperingatkan dan menyeru mereka supaya menghormati Islam sebagai agama Negara seperti yang termaktub di dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Islam di Malaysia mempunyai kedudukan yang istimewa dan tersendiri maka perkara ini perlu disedari dan dihormati oleh semua pihak. Sebarang usaha mempersoalkan kedudukan Islam di Malaysia pada hakikatnya adalah suatu usaha untuk menggugat keamanan yang telah lama kita kecapi.

وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمۡرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)

 

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *