Minda PengerusiUtama

Pemimpin yang tidak layak akan membawa kehancuran

dewan rakyat

Kriteria amanah adalah sangat penting bagi sesiapa yang diberi tanggungjawab memimpin negara. Sifat amanah berupaya melindungi wakil rakyat atau sesiapa juga yang memegang jawatan didalam kerajaan untuk menjalankan tugas dengan baik, berkredibiliti, jauh dari korupsi dan salah guna kuasa yang banyak menimpa ahli-ahli politik. Inilah ciri-ciri muslim berwibawa yang kuat dalam menanggung beban amanah kepimpinan  ((القوي الأمين   Rasulullah S.A.W. pernah menolak permintaan Abu Dzar al-Ghifari yang menawarkan diri untuk menyandang jawatan kerana takut beliau tidak berupaya menjalankan amanah tersebut. Sabda baginda yang bermaksud:

عن أبي ذر قال : قلت يا رسول الله ألا تستعملني ؟ قال فضرب بيده على منكبي ثم قال (يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها ) (مسلم : كتاب الإمارة باب كراهة الإمارة بغير ضرورة)

Dari Abu Dzar dia berkata, saya berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah anda ingin melantikku?” Abu Dzar berkata, “Kemudian beliau menepuk bahuku dengan tangan beliau seraya bersabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan) dan jawatan itu merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar.” (Shohih Muslim : Kitab al-Imarah).

Ibn Taimiyyah telah menjelaskan hadis di atas adalah antara contoh yang menjadi hujah bahawa  al-wilayah (kepimpinan) itu adalah amanah yang wajib ditunaikan oleh orang yang diberi kepimpinan itu. Beliau juga menyatakan bahawa kepimpinan wajib diserahkan kepada orang yang paling baik dan paling soleh di kalangan mereka  (al-ahsan , al-aslah), bukan hanya sekadar baik tetapi yang paling baik dalam kalangan mereka. Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah :

وَقَدْ دَلَّتْ سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَنَّ الْوِلَايَةِ أَمَانَةٌ يَجِبُ أَدَاؤُهَا فِي مَوَاضِعَ… وَقَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى مَعْنَى هَذَا ؛ فَإِنَّ وَصِيَّ الْيَتِيمِ وَنَاظِرَ الْوَقْفِ وَوَكِيلَ الرَّجُلِ فِي مَالِهِ ؛ عَلَيْهِ أَنْ يَتَصَرَّفَ لَهُ بِالْأَصْلَحِ فَالْأَصْلَحِ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى : { وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ } . وَلَمْ يَقُلْ إلَّا بِاَلَّتِي هِيَ حَسَنَة (مجموع فتاوى ابن تيمية)

Ibn Taimiyyah juga menjelaskan bahawa sekiranya pemilihan kepimpinanan dilakukan atas dasar yang tidak benar seperti hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan maka sesungguhnya perbuatan tersebut adalah perbuatan khianat kepada Allah dan Rasulnya. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memilih pimpinan yang terbaik, sekiranya tiada yang paling baik  maka perlulah dipilih yang terbaik kalangan mereka. Sekiranya semua usaha dan pilihan telah dilakukan untuk memilih kepimpinan yang paling baik maka ketika itu terlepaslah tuntutan kewajiban dalam pemilihan amanah kepimpinan tersebut. Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah :

فَإِنَّ الْخَلْقَ عِبَادُ اللَّهِ وَالْوُلَاةُ نُوَّابُ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ وَهُمْ وُكَلَاءُ الْعِبَادِ عَلَى نُفُوسِهِمْ ؛ بِمَنْزِلَةِ أَحَدِ الشَّرِيكَيْنِ مَعَ الْآخَرِ ؛ فَفِيهِمْ مَعْنَى الْوِلَايَةِ وَالْوِكَالَةِ ؛ ثُمَّ الْوَلِيُّ وَالْوَكِيلُ متى اسْتَنَابَ فِي أُمُورِهِ رَجُلًا وَتَرَكَ مَنْ هُوَ أَصْلَحَ لِلتِّجَارَةِ أَوْ الْعَقَارِ مِنْهُ وَبَاعَ السِّلْعَةَ بِثَمَنِ وَهُوَ يَجِدُ مَنْ يَشْتَرِيهَا بِخَيْرِ مِنْ ذَلِكَ الثَّمَنِ ؛ فَقَدْ خَانَ صَاحِبَهُ لَا سِيَّمَا إنْ كَانَ بَيْنَ مَنْ حَابَاهُ وَبَيْنَهُ مَوَدَّةٌ أَوْ قَرَابَةٌ فَإِنَّ صَاحِبَهُ يُبْغِضُهُ وَيَذُمُّهُ وَيَرَى أَنَّهُ قَدْ خَانَهُ وَدَاهَنَ قَرِيبَهُ أَوْ صَدِيقَهُ . فَصْلٌ إذَا عُرِفَ هَذَا فَلَيْسَ عَلَيْهِ أَنْ يَسْتَعْمِلَ إلَّا أَصْلَحَ الْمَوْجُودِ وَقَدْ لَا يَكُونُ فِي مَوْجُودِهِ مَنْ هُوَ أَصْلَحُ لِتِلْكَ الْوِلَايَةِ فَيَخْتَارُ الْأَمْثَلَ فَالْأَمْثَلَ فِي كُلِّ مَنْصِبٍ بِحَسْبِهِ وَإِذَا فَعَلَ ذَلِكَ بَعْدَ الِاجْتِهَادِ التَّامِّ وَأَخَذَهُ لِلْوِلَايَةِ بِحَقِّهَا فَقَدْ أَدَّى الْأَمَانَةَ وَقَامَ بِالْوَاجِبِ فِي هَذَا (مجموع فتاوى ابن تيمية)

Ibn Taimiyyah juga menjelaskan bahawa al-Quwwah (kuat) dan al-Amanah adalah dua sifat utama bagi pemilihan kepimpinan yang paling baik (al-Aslah). Sifat al-Quwwah dinilai mengikut dan bergantung kepada tanggung jawab yang diserahkan. Sifat al-Quwwah yang perlu ada pada seorang pemimpin ketenteraan ialah berani dan mahir dalam strategi ketenteraan dan peperangan, manakala para hakim hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang paling adil dan berani menegakkan kebenaran.  Al-Amanah pula merujuk kepada sifat jujur, ikhlas, tidak mudah dipengaruhi dengan ganjaran dunia dan pujuk rayu manusia. Beliau takut kepada Allah dalam semua urusan, mencintai redhoNya semata-mata dan sentiasa muhasabah diri. Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah :

وَيَنْبَغِي أَنْ يَعْرِفَ الْأَصْلَحَ فِي كُلِّ مَنْصِبٍ فَإِنَّ الْوِلَايَةَ لَهَا رُكْنَانِ : الْقُوَّةُ وَالْأَمَانَةُ . كَمَا قَالَ تَعَالَى : { إنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ }…وَالْقُوَّةُ فِي كُلِّ وِلَايَةٍ بِحَسْبِهَا ؛ فَالْقُوَّةُ فِي إمَارَةِ الْحَرْبِ تَرْجِعُ إلَى شَجَاعَةِ الْقَلْبِ وَإِلَى الْخِبْرَةِ بِالْحُرُوبِ وَالْمُخَادَعَةِ فِيهَا… وَالْقُوَّةُ فِي الْحُكْمِ بَيْنَ النَّاسِ تَرْجِعُ إلَى الْعِلْمِ بِالْعَدْلِ الَّذِي دَلَّ عَلَيْهِ الْكِتَابُ وَالسُّنَّةُ وَإِلَى الْقُدْرَةِ عَلَى تَنْفِيذِ الْأَحْكَامِ . وَالْأَمَانَةُ تَرْجِعُ إلَى خَشْيَةِ اللَّهِ وَأَلَّا يَشْتَرِيَ بِآيَاتِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا وَتَرَكَ خَشْيَةَ النَّاسِ (مجموع فتاوى ابن تيمية)

Kepimpinan dan perlantikan pemimpin merupakan suatu amanah yang akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dalam wilayah tadbirnya. Sepertimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi, tanggungjawab khalifah adalah melibatkan pelaksanaan urusan agama dan mentadbir urusan dunia ini dengan syariat Islam. Nabi saw pernah bersabda dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ . قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ ، فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ (الْبُخَارِيُّ : باب رَفْعِ الأَمَانَةِ)

Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah bersabda sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: (Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran” (Sohih Bukhari)

Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud:

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى أَهْلِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا ، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِى مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ. (الْبُخَارِيُّ : باب الْجُمُعَةِ فِى الْقُرَى وَالْمُدْنِ)

“Dari Abdullah Bin Umar (r.a) berkata saya dengar Rasulullah (s.a.w) bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya. Seorang lelaki pemimpin kepada keluarganya dan dia bertanggungjawab ”.

Amanah kepimpinan bukanlah sesuatu kemegahan yang dikejar dan dicari, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak.

Lalu hendaklah kita sentiasa ingat apabila kita menyerahkan urusan kepimpinan kepada yang tidak layak maka kita sedang menanti sebuah kehancuran.

—————————————-
Daftar sekarang! Simposium Pemikiran Politik Islam: Gagasan Pemikiran Politik Islam Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah Dalam Realiti Malaysia. 
daftar online: http://bit.ly/sppimuis
maklumat lanjut: http://muis.org.my/simposiumpolitikislam/
 
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pegerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *