Keselesaan yang membawa kepada kecelakaan

رَضُواْ بِأَن يَكُونُواْ مَعَ ٱلۡخَوَالِفِ وَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ فَهُمۡ لَا يَفۡقَهُونَ

“Mereka meredhai diri mereka itu bersama dengan orang-orang yang terkebelakang (tidak pergi berperang) lalu Allah ‘cop’ pada hati-hati mereka, lalu jadilah mereka orang-orang yang tidak memahami”  (Surah At-Taubah : 87)

رَضُواْ بِأَن يَكُونُواْ مَعَ ٱلۡخَوَالِفِ وَطَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ فَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ 

“Mereka meredhai diri mereka itu bersama dengan orang-orang yang terkebelakang (tidak pergi berperang), lalu Allah ‘cop’ pada hati-hati mereka, lalu jadilah mereka orang-orang yang tidak mengetahui”  (Surah At-Taubah : 93)

Ayat ini turun pada zaman Rasulullah SAW, ketika umat Islam disuruh pergi berperang (yang dimaksudkan ini adalah perang Tabuk). Sikap sesetengah orang pada zaman itu ingin meminta izin untuk tidak pergi berperang tanpa sebarang keuzuran akhirnya membawa padah apabila Allah SWT telah menggolongkan beliau dalam golongan yang memilih kekufuran dan nifaq iaitu apabila mereka bersifat bersahaja dan tidak mahu ikut serta dalam peperangan.

Hati-hati manusia itu berada pada jari-jemari Ar-Rahman (tanpa penakwilan), Dia boleh membolak-balikkannya mengikut kemahuan-Nya, seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

Namun manusia mempunyai pilihan untuk mengambil sebab-sebab agar sentiasa dalam keadaan taat dan patuh, iaitu dengan menjauhi sebab-sebab bagaimana hati boleh terus disabitkan bersama golongan yang memilih untuk kufur dan nifaq.

Banyak perkara boleh diambil pengajarannya daripada dua ayat ini.

1. Apabila diajak untuk berhijrah daripada amal perseorangan yang kurang produktif kepada amal jamaie (secara berkumpulan), namun semata-mata kerana mahu bersahaja maka dia pun menolak tawaran tersebut.

2. Apabila diberi tawaran untuk lakukan tugasan dakwah yang besar, namun dia menolak tanpa sebarang keuzuran (hanya kerana mahu bersahaja dan tak mahu ambil risiko).

3. Apabila diminta oleh ketua/naqib/mas’ul untuk mengubah dirinya ke arah yang lebih baik, namun tidak diendahkan ‘arahan’ itu hanya kerana sikapnya sambil lewa dan mahu bersahaja.

4. Apabila diminta untuk serius dalam kehidupan dan memulakan alam perkahwinan yang memberi qudwah kepada umat yang sangat perlukan pedoman, namun kerana sikap yang bersahaja dan tak mahu fikir susah, maka dia pun menolak untuk memulakan urusan.

5. Apabila dirinya ditegur berkali-kali oleh Allah dalam segenap bentuk dan isyarat, sama ada daripada Al-Quran yang didengarnya, Ramadhan yang menyapanya, anak kecil pengemis yang dilihatnya, Gaza yang sedang bertarung, umat Islam yang sedang ditimpa malapetaka, berita-berita kematian yang setiap hari muncul dalam akhbar, namun dia langsung tak endahkan hanya kerana perasaan bersahaja dan tidak mahu fikir susah-susah untuk berubah.

Boleh jadi contoh-contoh perkara ini boleh mengundang ‘cop kekal’ pada jiwa kita, daripada Allah SWT hingga kita tidak lagi memahami dan mengetahui, hakikat kehidupan dan makna kebahagiaan, lalu mengabaikan konteks sebenar perhambaan kepada Tuhan.

Sesat dan leka hingga ke bibir api neraka.

Moga Allah selamatkan kita.

“Ya Allah jadikan kami daripada kalangan orang-orang yang terlepas daripada api neraka”

ust syamil

 
 
Ust Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *