Kasih sayang Allah SWT dalam pensyariatan puasa
ياأيهاالذي امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
“Wahai orang orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan keatas mereka yang terdahulu, moga moga kamu bertaqwa (dengan berpuasa)” (Surah Al-Baqarah ayat 183)
Hasan Al-Basri rahimahullah berkata ;
Apabila kita mendengar “wahai orang orang yang beriman” maka fokuskanlah mendengar, kerana tiada selepasnya melainkan arahan ataupun larangan terhadap sesuatu.
Maka fokus tatkala membaca ayat ini adalah bagaimana Allah SWT sudah memastikan hambanya bersedia mendengar arahan dari awal dengan penggunaan awal ayat “wahai orang orang yang beriman”.
Manakala Jaafar bin Sodiq menggambarkan kekuatan panggilan “Wahai orang orang yang beriman” membawa hamba Allah itu ke suatu daerah yang menghilangkan segala kepenatan ibadah tersebut.””
*Bab Fadhail Ramadhan, Al – Ghunya li-Talibi Tariq al-Haqq, Abdul Qadir Jailani 470-561h
Lantaran manisnya pengiktirafan Allah terhadap hambanya bahawa ibadah yang dilakukan adalah tanda keimanan terhadapnya. Dan kita maklum iman bukan sekadar membawa maksud yakin dan percaya terhadap Allah, tetapi interpretasi bahawa ianya membawa kecintaan hangat yang bersikap dua hala juga boleh diterima berdasarkan puluhan hadis dan ayat quran yang menggambarkan kecintaan Allah terhadapnya hambanya yang beriman.
Maka disimpulkan, lafaz “wahai orang yang beriman” sebagai mukaddimah ayat perintah berpuasa menggambarkan betapa hangatnya dan sayangnya Allah terhadap mereka yang berpuasa.
Malah lafaz ini sebenarnya mampu menjadikan seorang yang berpuasa merasa kebahagiaan dan kemesraan Allah tatkala beliau berpuasa, dengan syarat beliau memahami ayat ini dengan mendalam dan meletakkannya pada tahap dan tempat yang sepatutnya.
Seperti yang digambarkan oleh Imam Ibnu Qayyim didalam kitab Fawaid masakan seseorang itu mampu menghayati Al-Quran, kalaulah beliau tidak melayan Quran sebagai Peringatan, dan hatinya hidup (untuk menghirup manfaat quran) dan beliau mendengar (meneliti nilai bahasa dan ketinggian balaghagnya)…
Maka dimanakah kita daripada ayat yang mudah namun mendalam ini?. Maka tidak sampaikah masanya lagi untuk kita menjiwai peringatan peringatan Allah?
*dipetik dari kitab Al-Ghunya li-Talibi Tariq al-Haqq karangan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani – 1077 – 1166M dan diubah suai mengikut kehendak semasa.
*Beliau merupakan seorang Ulama’ bermazhab Hanbali(seperti Ibnu Tayimiyah) dan kuat berpegang kepada Quran dan Hadis didalam pengamalan tasauf mahupun fiqhnya seperti yang disyarah oleh beliau didalam kitab Al-Fath ar-Rabbani.
Ust Suhail Sufian Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)