KolumnisUtama

4 kelebihan puasa bulan Ramadan

buka puasa

Puasa bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan
berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

1. Dibuka semua pintu Syurga seluas-luasnya

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, bersabda:

Ertinya: “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Berhenti- lah, dan (yang ikhlas) kerana Allah dibebaskam daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan”.

(Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadhan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Begitu juga akan
ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan- syaitan juga akan diikat apabila tiba bulan Ramadhan.

2. Puasa penghapus dosa

Kelebihan bulan Ramadhan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan puasa juga penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda:

Ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Allah SWT sendiri akan beri ganjaran pada orang yang berpuasa

Antara keistimewaan puasa juga, Allah Subhanahu wa Taala akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah. Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda:

Ertinya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Pintu syurga khusus untuk mereka yang berpuasa

Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka, diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.”

Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi. “Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa
yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya.”

 

ust sarip adul
 
Ust Sarip bin Adul
Ahli Tertinggi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *