Syarak mengambil kira suasana

masyrkaat

Perbincangan sesuatu isu dalam kerangka syarak ada dua sudut 

1. Sudut dhawabit syarak
2. Sudut realiti semasa (hakikat sesuatu isu)

Ramai yang selalu merujuk sudut pertama untuk mendapatkan jalan pintas boleh atau tidak, haram atau halal, makruh atau sebaliknya. Jalan pintas yang digunakan pula dilandasi dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan sunnah atau kata-kata ulamak dalam kitab-kitab tertentu.

Pada sudut yang kedua, itu sudut yang sebenarnya tidak kurang pentingnya. Dalam mengkaji dan menganalisis pandangan syarak, konteks keseluruhan dan tasawwur hakiki sesuatu permasalahan perlu dilihat dengan jelas. Dalam perbahasan ilmu fiqh ia disebut sebagai ‘tahqiq al-manaath’ yang bermaksud ‘memastikan wujudnya konteks hukum’ dalam sesuatu isu.

Oleh itu, pentingnya bagi pelajar-pelajar ilmu syarak ini sentiasa terdedah dengan tabiat kehidupan dan dunia, media massa, perihal isu semasa, dan apa yang berlaku di sekelilingnya, agar ilmu yang dipelajarinya di bangku-bangku universiti dan helaian-helaian kitab turath diletakkan pada situasi yang tepat dan kerangka yang sepatutnya.

Maqasid pula digunakan dalam hal ini untuk mengukur ketepatan muwazanat (perbandingan) maslahat dalam perihal fatwa-fatwa berkait rapat dengan isu-isu tertentu.

Maqasid bagi saya bukanlah kaedah yang boleh membawa kepada sesebuah hukum syarak secara terus, ia adalah ilmu mengajar cara berfikir secara konteks yang tepat dalam kerangka tasawwur sesuatu isu secara keseluruhan.

Secara umumnya, syarak akan berjalan seiring dengan sunnatullah, waima dalam diri manusia, ataupun dalam kehidupan sosial serta bernegara.

Ia tidak mungkin dipisahkan dari hidup manusia.

Apa yang berlaku pada hari ini mungkin terdapat beberapa keterlebihan dalam sesuatu sudut pandangan tadi yang menjadikan manusia hanya pasrah dengan teks-teks nas tanpa melihat hakikat isu yang sedang berlaku.

Hasilnya, manusia akan mula bergantung secara mutlak kepada kekudusan teks, tanpa melihat bahawa teks menyuruhnya untuk hidup sebagai seorang manusia yang hidup dengan jiwa merdeka, berkemahuan dan menjadi seorang khalifah yang mentadbir bumi ini.

Jika kita memahami perkara ini dengan lebih jelas, kita akan fahami bahawa, Islam ini adalah agama perjuangan. Berjuang untuk hidup, berjuang untuk memerintah, berjuang untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan berjuang untuk mengembalikan manusia secara fitrah dan jiwanya kepada Allah SWT.

Bukan agama pergantungan yang dibawa sesetengah manusia yang hidup dalam gua dan hutan, jauh daripada manusia, lalu dimomokkan sebagai satu-satunya ajaran yang disuruh Tuhan.

“Dan tidaklah Kami mengutuskan seorang Rasul pun melainkan mereka itu memakan makanan (seperti orang biasa) dan berjalan di pasar (yakni bergaul dengan masyarakat & berniaga seperti orang biasa)” – Surah Al-Furqan

Wallahua’lam.

 

ust syamil
 
 
Ustaz Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *