BeritaUtama

MUIS: Tindakan JAIS bertepatan dengan Syarak

 

dr-aznan

BANGI 5 Jun- Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS), Prof Madya Dr Aznan Hasan menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut adat Hindu di Petaling Jaya sebagai satu tindakan yang bertepatan dengan syarak khususnya dalam urusan perkahwinan dalam Islam.

“Tindakan itu adalah satu siasatan bukannya serbuan seperti yang didakwa. Tindakan tersebut menepati panduan syarak dalam urusan perkahwinan.

“Bahkan ianya adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib terutama institusi agama supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan syarak iaitu perkahwinan seorang wanita Islam dengan pasangan bukan Islam,” tegasnya ketika dihubungi.

Jelas Dr. Aznan lagi, siasatan JAIS itu adalah untuk memastikan adakah wanita tersebut seorang muslimah yang sebenar atau muslimah sekadar pada nama seperti yang didakwa olehnya.

“Maka dalam kes ini, tindakan JAIS itu adalah sebagai satu saddu al-zarai (menghalang dari berlaku satu kemungkaran)” katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Prof Madya di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) turut menambah bahawa tidak dinafikan penyelesaian yang terbaik adalah siasatan itu dibuat sebelum pada majlis perkahwinan tersebut supaya tidak berlaku kekecohan, namun jika JAIS hanya baru mendapat maklumat pada waktu itu maka tindakan tersebut adalah satu perkara yang tepat dan perlu.

Dalam masa yang sama, Dr. Aznan turut membidas kenyataan NGO Islam Liberal, Sister in Islam (SIS) apabila menganggap punca hal itu berlaku adalah kerana adanya hukum syarak yang meletakkan pengislaman agama bagi anak bawah umur apabila salah seorang (satu pihak) dari ibu bapa masuk Islam.

Ujarnya, dalam kes ini, kita perlu bezakan antara hukum syarak dan kesalahan yang dilakukan oleh bapa tersebut (jika ada), jelas dalam syarak apabila salah seorang ibu bapa masuk Islam maka anak-anaknya turut akan masuk Islam.

“Tetapi dalam hal ini yang menjadi masalah adalah bapa tersebut tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang baik serta seorang bapa yang bertanggungjawab. Isunya pada bapa bukannya pada hukum syarak.

“Jadi penyelesaian dalam kes ini adalah dengan kita bersama-sama memperbaiki sistem pengurusan muallaf (orang yang baru masuk Islam).

“Ianya bagi memastikan mereka mendapat didikan dan panduan yang menyeluruh supaya mereka menjadi seorang muslim yang baik dan bertanggungjawab dengan itu kes sebigini tidak akan berulang,” ujarnya lebih lanjut.

Dalam kejadian Ahad 2 Jun yang lalu, JAIS telah melakukan tindakan ke atas sebuah majlis perkahwinan di Kuil Hindu di Petaling Jaya sebelum menahan pengantin wanita terbabit dengan tujuan soal siasat susulan menerima aduan orang awam yang mendakwa wanita itu beragama Islam yang dalam proses untuk berkahwin dengan pasangan bukan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *