Masyarakat tidak dibina di atas paksi undang-undang sahaja

masyarakt islam

Islam bukanlah undang-undang semata-mata. Ia merupakan akidah yang menjelaskan tentang hakikat kewujudan, ibadat yang mendidik roh, akhlak yang membersihkan jiwa, kefahaman, nilai-nilai dan adab-adab yang mengangkat martabat manusia.

Ayat-ayat yang menyentuh hukum hakam syariat tidak sampai satu persepuluh ayat-ayat al-Quran. Ianya diadun dengan akidah dan hati, amaran balasan baik dan buruk di samping dikaitkan dengan semua arahan-rahan lain dalam al-Quran.

Undang-undang semata-mata tidak boleh membina masyarakat Islam, tetapi mesti ada di sana dua unsur yang utama: dakwah dan memberi kesedaran, pengajaran dan pendidikan di samping undang-undang malah sebelum adanya  undang-undang dan peraturan.

Oleh itu, kita dapati Islam di peringkat Mekah menekankan  pengajaran dan pendidikan sebelum datangnya peringkat Madinah yang merupakan peringkat pelaksanaan undang-undang dan peraturan. Di peringkat ini juga kita dapati undang-undang berjalan seiring dengan pendidikan, ianya bagaikan jasad dan roh.

Perubahan undang-undang semata-mata tidak membina sebuah masyarakat Islam. Perubahan pada diri dan jiwa manusia adalah asas. Perkara utama yang dapat membantu perubahan diri ialah iman itu sendiri yang mampu merubah manusia menjadi makhluk yang tersendiri yang mempunyai matlamat,  prinsip dan mengambilkira balasan di dunia dan akhirat.

Islam bersifat menyeluruh. Jika kita hendak memerangi jenayah terutamanya yang melibatkan hudud, ianya tidak terbatas kepada hudud, malah hudud adalah jalan terakhir ke arah pengislahan atau pembaikan sebuah masyarakat.

Hukuman itu adalah bagi orang-orang menyimpang, dan mereka bukanlah kelompok majoriti, tetapi ia merupakan kelompok  terpencil.

Islam datang bukan hanya untuk memberi rawatan kepada orang-orang yang jahat, tetapi juga untuk menjaga orang-orang yang baik agar tidak menyeleweng.

Hukuman itu bukanlah merupakan faktor terpenting dalam rawatan jenayah pada pandangan Islam, tetapi pencegahan awal adalah faktor utama. Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati.

Jika kita melihat kesalahan jenayah zina, kita dapati al-Quran menyebut mengenai had zina hanya dalam satu ayat sahaja iaitu di permulaan surah al-Nur, yang bermaksud: (Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina maka sebatlah tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus kali sebat dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah),[1] tetapi dalam surah yang sama terdapat berpuluh-puluh ayat yang memberi panduan untuk mencegah jenayah.

Antaranya firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat”[2].

Perkara yang  paling penting ialah  mendidik orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan untuk menjaga diri dan kehormatan dengan menundukkan pandangan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya  dan memelihara kemaluannya, yang demikain itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka tidak menunjukkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya…..”[3].

Di sini terserlah satu kaedah baru dalam pencegahan zina dan jenayah seks iaitu diharamkan ke atas wanita daripada mempamirkan diri dalam bentuk yang menimbulkan keghairahan kepada kaum lelaki sehingga dinyatakan dalam ayat yang lain bermaksud: “Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan”. Seterusnya diakhiri dengan  (Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung)[4] .

Melalui ayat ini kita fahami bahawa wajib bagi kita membersihkan masyarakat daripada punca-punca yang membawa kepada unsur-unsur godaan dan fitnah.

Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memudahkan urusan ke arah ikatan perkahwinan seperti tidak meletakkan kadar mahar yang terlalu tinggi dan seumpamanya.

Tujuan penulis bukanlah untuk menyeru meninggalkan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dan memberi tumpuan kepada pendidikan semata-mata. Tetapi penulis ingin mengigatkan bahawa kedua perkara ini perlu berjalan seiring, tidak guna jika kita ada undang-undang tetapi masyarakat tidak terdidik dan tidak mungkin kita akan dapat mendidik masyarakat dengan sempurna melainkan adanya undang-undang yang menaugi masyarakat tersebut.

Pendidikan dan undang-undang adalah dua paksi asas dalam membina masyarakat!

 

ust kamaruddin

 
Ustaz Kamarudin Awang Mat
TYDP ISMA Kuala Terengganu
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

[1]Al-Nur: 2

[2]Al-Nur: 19

[3]Al-Nur: 30-31

[4]Al-Nur: 31

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *