KolumnisUtama

Isu MAIS : Jangan Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar

bendera malaysia tegak

1. Orang-orang barat boleh membiarkan berdirinya Negara Marxist. Orang-orang komunis boleh membiarkan berdirinya Negara Liberalist, tetapi mereka tidak akan membiarkan berdirinya sebuah Negara Islam yang sebenarnya.

2. Setiap kali ada harakah Islam yang berjaya dan dikhuatirkan akan berkembang menjadi sebuah daulah , maka secepat itu semua kekuatan orang – orang kafir , yang bersifat antarabangsa dikerahkan ke sana bergabung dengan kekuatan setempat melalui berbagai-bagai cara. Belum selesai dengan satu cara , akan disusuli dengan cara yang lain, agar harakah itu tersepit dan menderita , tidak lagi menuntut dan agresif serta sentiasa beralasan ‘ semuanya kenalah berhikmah’.

3. Kekuatan yang memerangi Islam sentiasa berusaha sekuat tenaga agar daulah Islam ini tidak boleh berdiri di mana-mana penjuru dunia pun sekalipun wilayahnya kecil ndengan penduduknya yang sedikit , semiskin mana pun Negara itu.

4. Negara Malaysia perlu dipertahankan agar tidak berjenama Negara sekular yang akan memencilkan peranan agama dalam mengatur kehidupan walaupun Negara ini tidak mengamalkan keseluruhan perintah agama kerana selama mana Negara ini  tidak sekular , kita masih ada ruang untuk menyempurnakan sudut-sudut yang kurang.

5. Kalau dibaratkan Negara ini sebatang tubuh manusia , maka Negara ini telah ‘disyahadahkan’ dengan artikel 3 (1) Perlembagaan Negara “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

6. Namun masih diinsafi bahawa dari sudut menjalankan operasi kehidupan bernegara masih terdapat perkara-perkara yang tidak memenuhi criteria sebuah Negara Islam. Tetapi tidaklah sampai menanggalkan ‘Keislaman “ Negara ini ibarat seorang Muslim yang membuka aurat, minum arak dan sebagainya tetapi dia masih muslim selama mana ia tidak menghalalkan yang haram berkenaan.

7. Dari premis inilah kita perlu memahami gerak kerja tersusun mereka yang beriya-iya benar meletakkan stautus Negara ini sebagai Negara sekular. Tidak lain dan tidak bukan untuk menafikan status ‘batang tubuh’  Negara ini sebagai Islam.

8. Kalau sudah bukan Islam maka akan tercapailah cita – cita ideologi yang bertentangan dengan Islam dengan apa jenama sekali pun. Selepas itu sudah tiada ruang untuk bercakap isu hudud, isu amar makruf nahi mungkar, peruntukan khas untuk Islam akan disamaratakan dengan agama-agama lain, isu murtad sudah tidak relevan lagi dan urusan agama adalah urusan peribadi , jangan lagi dikawal oleh pemerintah. Maka rakyat akan sepuas-puasnya mengekori nafsu.

9. Oleh sebab itu agama perlu daulah yang memeliharanya. Sebelum terbentuk daulah Islamiah yang tulin, kita WAJIB memperkukuhkan kekuatan-kekuatan sedia ada , memperkasa yang lemah BUKANNYA berusaha untuk melemahkan lagi. Tidak kiralah kekuatan-kekuatan itu berbentuk undang-undang, syaukah mahupun institusi yang menjaga agama.

10. Cadangan pihak tertentu yang mempromosi sekular nya Negara ini, menghentam rapat institusi-institusi yang bertanggungjawab menjaga agama , menjadi jurucakap kepada mereka yang tidak selesa dengan Islam yang sepatutnya diperkukuhkan di Negara ini sebenarnya telah terperangkap dalam ‘permainan’ yang sangat licik sehingga menghiburkan kuasa-kuasa yang yang bermusuh dengan Islam.

11. Imam Al-Juwaini juga menerangkan tentang tugasan utama pemerintah berkaitan menjaga agama :

Kemudian apabila kita berbicara berkenaan dengan dasar agama (dalam negara), maka ianya terbahagi kepada dua iaitu (1)menjaga agama dengan seluas-luasnya keatas umat Islam dan menolak segala syubhat-syubhat yang menyesatkan.(2) mengajak dan mendesak golongan kafir dan kelompok penentang untukberpegang dengan kebenaran yang sebenar ini.

Jadi bagi memastikan agama ini terus suci daripada kekeliruan dan kekejian, dan agar terus bebas daripada segala perkara bid’ah dan hawa nafsu, maka menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melakukan pemantaun tentang  perkara-perkara tersebut; beliau perlu melakukannya  secara individu atau dengan melantik petugas-petugas (sebagai wakil-wakilnya untuk melaksanakan tugas tersebut) dan beliau hendaklah memantau mereka secara peribadi atau dengan perantaraan mereka yang beliau percayai. Pemerintah hendaklah sentiasa memantau mereka dengan pemantauan yang  dekat dan teliti dan memerhatikan tingkah laku mereka seumpamanya sesorang yang amat bakhil menjaga barang-barangnya. Pemerintah juga hendaklah memelihara mereka daripada keangkuhan hawanafsu dan  pandangan-pandangan yang menyeleweng kerana sesungguhnya mendokong sesuatu dasar itu lebih mudah daripada menyekat sesuatu perkarayang telah lama berlaku (daripada berterusan) .

12. Dengan menginsafi banyak kelemahan dalam isu menjaga agama ini oleh pemerintah namun “Jangan Marahkan Nyamuk Kelambu di Bakar”

 

ust zamri_2

 
Sahibus Fadilah Ustaz Hj.Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Tertinggi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *