Jadikan bulan Ramadan medan penyatuan ummah

 

ust ahmad zainal abidin

BANGI 21 Jun- Umat Islam digesa untuk menjadikan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai suatu medan penyatuan ummah dalam memelihara serta mendaulatkan Islam.

Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS) Ust Ahmad Zainal Abidin berkata demikian ketika mengulas mengenai ketibaan Ramadan yang semakin hampir.

“Ambillah semangat puasa di bulan Ramadan ini dengan kita kembali bersatu dalam meletakkan kepentingan  agama dan maslahat umat mengjangkaui segala kepentingan lain”

Beliau turut menambah bahawa pensyariatan puasa yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 menjadi suatu petanda bagaimana antara rahsia disebalik ibadah puasa adalah untuk menanam perasaan kesatuan antara umat Nabi Muhammad dengan umat-umat yang terdahulu.

“Bahkan jika kita lihat dalam sejarah kita dahulu, penentuan puasa dan hari raya ketika zaman dahulu adalah bergantung kepada Khalifah di Istanbul maka jika Istanbul puasa maka kita di Malaysia akan turut berpuasa”

“Itulah kesatuan yang sepatutnya lahir daripada ibadah puasa”

Katanya lagi, segala permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam khususnya di Malaysia pada hari ini antaranya adalah berpunca kepada satu masalah yang utama iaitu perpecahan dan perselisihan yang berlaku dikalangan umat Islam.

“Kita perlu sedar bahawa perselisihan dan pertelingkahan tidak akan langsung memberi keuntungan pada umat bahkan ianya akan memberi keburukan serta kerugian pada umat”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *