KolumnisUtama

Hudud- Beri Implikasi Positif Kepada Masyarakat

hudud

Apabila hukuman hudud dilaksanakan, ia akan memberi  kesan kepada masyarakat melalui beberapa aspek, seperti aspek akidah, ekonomi, keamanan, sambutan dan penerimaan masyarakat serta keberkatan.

Dari sudut akidah pelaksanaan hudud akan menyuburkan nilai-nilai kesucian dalam masyarakat, menutup pintu-pintu kerosakan yang memporak-perandakan keharmonian individu dan keluarga.

Sementara dari sudut ekonomi pula ia boleh memelihara keselamatan  harta benda dan membangunkan ekonomi dan  memperkasakan bidang pekerjaan.

Adapun melalui sudut keamanan ia akan memberi keamanan kepada nyawa, maruah dan harta benda. Pelaksanaan hukuman hudud, seperti hukuman potong tangan dan sebat menyebabkan mereka yang ingin melakukan jenayah mencuri dan zina berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah tersebut. Hasilnya mereka akan merasa gerun dan sudah pasti keamanan akan terserlah.

Pelaksanaan hukuman hudud juga sudah tentu mendapat mandat dan restu rakyat yang beriman dan ikhlas melaksanakan undang-undang Allah s.w.t. Keadaan ini pastinya bertentangan dengan undang-undang ciptaan manusia.Mereka terpaksa menerima undang-undang yang berlawanan dengan akidah dan kepercayaan mereka. Masyarakat akan bersama pemimpin dan sanggup menghadapi segala kesulitan demi menegakkan perintah Allah s.w.t.  Dalam masa yang sama juga negara akan memperolehi keberkatan daripada pelaksanaan hukuman tersebut, seperti bertambahnya hasil mahsul negara, begitu juga kehidupan masyarakat berada dalam keadaan aman daripada malapetaka bencana alam dan huru hara.

Jika diperhalusi implikasi pelaksanaan hukuman hudud terhadap kesalahan jenayah, ia membawa banyak kesan positif dalam masyarakat. Sebagai contoh:

1-      Hukuman hudud terhadap kesalahan zina. Pelakuan zina pada hakikatnya menurunkan martabat  manusia yang telah dimuliakan oleh Allah s.w.t. kepada martabat binatang. Dalam masa yang sama juga ia menghancurkan institusi keluarga yang diasaskan atas dasar perasaan kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak. Oleh kerana itu hukuman yang berat dan setimpal dikenakan kepada mereka yang terang-terangan melakukannya, sama ada melalui empat orang saksi yang melihat sendiri pelakuan zina tersebut atau pengakuan yang waras daripada pelakunya.

Jenayah ini berlaku kerana dorongan nafsu kebinatangan, justeru itu untuk mengekangnya daripada berulang,  perlunya kepada hukuman yang keras supaya situasi itu tidak berulang lagi pada masa akan datang. Apabila masyarakat melihat hukuman tersebut sudah pasti akan timbul perasaan gerun dan takut untuk mendekati jenayah tersebut.

2-      Hukuman hudud terhadap peminum arak akan menyebabkan masyarakat terjaga kesihatan mental, fizikal dan spiritual, mengekalkan keharmonian keluarga, memelihara harta, membendung jenayah yang berlaku akibat mabuk dan meningkatkan produktiviti negara.

3-      Hukuman hudud terhadap pencuri akan mencegah daripada berleluasanya kes kecurian, mengerunkan mereka yang mempunyai niat untuk mencuri, memelihara harta benda, memuliakan pekerjaan yang halal, menghapuskan dosa pencuri, menyuburkan sifat pengantungan kepada diri sendiri untuk mencari harta. Semuanya itu membawa keamanan dalam kehidupan individu dan masyarakat.

4-      Hukuman hudud kepada perompak akan dapat menjaga harta benda, memelihara maruah daripada dicerobohi, mengekalkan keamanan untuk bekerja dan bergerak dalam masyarakat daripada digugat oleh mereka yang ingin memporak-perandakannya.

Kesan baik pelaksanaan hukuman hudud terhadap masyarakat dan negara adalah satu perkara yang jelas bahkan telah dibuktikan keberkesanannya berdasarkan sejarah Islam yang lalu.

Kesan baik itu jelas, juga keberkesanannya jelas.

Akhirnya persoalan yang tinggal adalah pada kehendak jiwa kita.

“Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih”

 

ust kamaruddin

 
Ustaz Kamarudin Awang Mat
TYDP ISMA Kuala Terengganu
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *