IlmiahSyariah

Antara Sumber Pensyariatan : Masalih Mursalah

mazhabPendahuluan

Masalih Mursalah merupakan salah satu sumber pensyariatan yang tidak disepakati di kalangan ulama. Ianya bermaksud mengeluarkan sesuatu hukum bagi sesuatu perkara berdasarkan penilaian maslahat atau kebaikan perkara tersebut samada terhadap agama, nyawa, harta, maruah, aqal atau selain daripada lima maslahat tersebut. Sebahagian ulama fiqh juga memahami apabila kita berkata mengenai menjaga maslahat maka ianya secara tidak langsung membawa maksud kita menolak kefasadan (mudhorat) namun ada sebahgian lainnya melihat kedua perkara tersebut perlu dilihat secara berasingan. Atas sebab itulah, ulama yang menyeru kearah melihat kedua perkara ini secara berasingan mengeluarkan satu kaedah fiqh:

دفع المفسدة مقدم على جلب المصلحة

Menolak kefasadan (mudhorat) hendaklah didahulukan dari mencari maslahat

Jadi dalam tulisan ringkas ini kita akan melihat Masalih Mursalah dari sudut pembahagian, syarat menggunakannya, hujah ulama yang menyokong serta contoh penggunaan Masalih Mursalah dikalangan ulama fiqh. Moga tulisan ringkas ini dapat memberi gambaran pada kita bagaimana ulama fiqh melihat Masalih Mursalah dan cara menggunakannya.

Pembahagian maslahat di kalangan ulama

Ulama telah membahagikan maslahat dari sudut penerimaan dan perakuan syarak terhadap maslahat tersebut kepada tiga iaitu: Masalih Muktabarah, Masalih Mulghah dan Masalih Mursalah.

Masalih Muktabarah ialah segala maslahat yang diyakini serta diperakui oleh syarak dan banyak hukum dalam syarak telah dibina atas maslahat tersebut. Contohnya seperti maslahat hifz din (menjaga agama) dengan adanya jihad, maslahat hifz nafs (menjaga nyawa) dengan hukuman qisas apabila bunuh dengan sengaja, maslahat hifz aql (menjaga aqal) dengan hukuman bagi peminum arak, maslahat hifz nasl (memelihara maruah) dengan hukuman bagi pelaku zina dan maslahat hifz mal (menjaga harta) dengan hukuman potong tangan bagi pencuri apabila mencukupi syarat.

Berdasarkan kefahaman terhadap Masalih Muktabarah inilah akhirnya lahir qiyas iaitu menyamakan hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak disebut syarak dengan perkara yang disebut syarak apabila memenuhi persamaan dari segi illah antara keduanya. Qiyas inilah yang menjadi sumber hukum di dalam Masalih Muktabarah.

Masalih Mulghah adalah lawan kepada Masalih Muktabarah iaitu masalahat yang hanya disangka tanpa diyakini dan masalahat tersebut adalah ditolak serta tidak dinilai disisi syarak. Bukti penolakan itu berlaku dengan tidak terbinanya sebarang hukum (harus) di atas maslahat tersebut bahkan diharamkan masalahat tersebut. Contohnya ialah minum arak, memang tidak dinafikan dalam arak itu adanya maslahat seperti baik untuk ibu selepas bersalin, memanaskan badan dan lain-lain namun arak tetap diharamkan kerana masalahat yang ada pada arak adalah ditolak dan tidak dinilai disisi syarak seperti dalam firman Allah SWT:

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ‌ۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٌ۬ ڪَبِيرٌ۬ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَڪۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَا‌ۗ

Maksud: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya (Al-Baqarah : 219)

Contoh yang lain juga dapat kita lihat dalam riba, memang tidak dinafikan pada riba itu adanya masalahat sehingga membawa ramai manusia menggunakan sistem tersebut namun maslahat tersebut ditolak dan tidak dinilai disisi syarak seperti dalam firmanNya ayat 275 surah Al-Baqarah:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Maksud: Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Maka atas dasar itu, ulama semua bersepakat bahawa tidak ada sebarang hukum yang boleh berdiri atas Masalih Mulghah kerana maslahat tersebut sudah ditolak oleh syarak.

Masalih Mursalah adalah maslahat yang berada antara Masalih Mulghah dan Masalih Muktabarah. Maksud Masalih Mursalah adalah masalahat yang tidak ditegah atau ditolak oleh syarak dan dalam masa yang sama syarak tidak mengiktiraf maslahat tersebut secara terus seperti yang ada dalam Masalih Muktabarah. Ianya dinamakan masalih kerana ia menolak mudhorat dan mengumpul kebaikan dan dinamakan mursalah kerana maslahat ini tidak ditolak atau diiktiraf secara terus oleh syarak bermaksud ianya adalah maslahat yang maskut (disenyapkan).

Syarat beramal dengan Masalih Mursalah serta contoh penggunaanya

Antara syarat yang digariskan oleh mazhab Maliki (juga ulama lain yang mengiktiraf Masalih Mursalah) untuk beramal dengan Masalih Mursalah adalah seperti berikut:

Yan pertama ialah maslahat tersebut mestilah selari dengan maqasid syariah. Maka masalahat tersebut mestilah tidak boleh berlawanan dengan perkara asas di dalam agama dan tidak boleh bertentangan dengan dalil hukum yang jelas tetapi maslahat tersebut mestilah sebahagian daripada maqasid syariah atau apa yang dimaksudkan darinya.

Yang kedua ialah maslahat tersebut mestilah tidak berlawanan dengan aqal manusia. Jadi sesuatu masalahat yang berlawanan dengan logik dan akal manusia dari sudut kemaslahatan perkara tersebut maka ianya adalah tertolak walaupun ianya tidak ditegah oleh syarak.

Yang ketiga ialah maslahat tersebut hendaklah diambil dengan tujuan untuk menjaga tujuan yang lebih besar (maqasid syariah) atau untuk meringankan kesusahan seperti dalam firman Allah SWT surah Al Hajj ayat 78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِى ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٍ۬‌ۚ

Maksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama

Antara contoh penggunaan Masalih Mursalah ialah pengumpulan Al-Quran ketika zaman Khalifah Abu Bakar As Siddiq iaitu dengan tujuan menjaga maslahat agama atau hifz din atas sebab pada waktu itu ramai sahabat yang menghafaz Al-Quran syahid di dalam peperangan maka ditakuti Al-Quran akan dilupakan. Masalih Mursalah juga telah digunakan dalam ulama menetapkan hukuman bunuh qisas pada kelompok apabila dia membunuh seorang iaitu bagi menjaga maslahat masyarakt dan hifz nafs (menjaga nyawa) supaya dengan itu manusia tidak menggunakannya sebagai satu taktik untuk menggelak dari dijatuhkan hukuman qisas.

Hujah ulama yang menerima Masalih Mursalah

Masalih Mursalah adalah antara sumber hukum syara yang tidak disepakati antara ulama, ada yang menyokong dan ada yang menolaknya berdasarkan hujah masing-masing. Jadi antara hujah yang digunakan dikalangan ulama yang menyokong penggunaan masalih mursalah adalah seperti berikut:

Hujah yang pertama ialah antara perkara yang banyak disebut oleh ulama bahawa tujuan pensyariatan Islam itu sendiri adalah untuk memberi masalahat kepada manusia. Maka apabila kita mengambil penghujahan masalih mursalah sebenarnya kita membawa kepada tujuan syariat itu sendiri, tidak ada pertentangan antara keduanya.

Imam Syatibi menyebut dalam kitab Al-Muwafaqat:

“Tidak disyariatkan di dalam Islam sesuatu perkara melainkan perkara tersebut adanya kebaikan dan masalahat pada manusia samada masalahat dalam bentuk segara atau dilewatkan”

Sultan Ulama Imam Izzudin Abd Salam pula menyebut:

“Syariat Islam itu keseluruhannya adalah kebaikan : samada (kebaikan dalam bentuk) menolak kerosakan atau menarik maslahat”

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Anbiya’ ayat 107:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Jelas berdasarkan kata-kata dan ayat Al-Quran tersebut maslahat dan dan syariat Islam adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.

Hujah yang kedua adalah jika lihat dalam sejarah Islam sejak dari zaman sahabat ra dan mereka selepas itu, ramai dikalangan meraka yang apabila berijtihad terhadap sesuatu perkara yang tidak disebut hukumnya secara jelas berdasarkan nas quran dan sunnah akan menggunakan penilaian maslahat. Dalam masa yang sama, apabila ada dikalangan ulama yang mengeluarkan hukum berdasarkan hujah maslahat, kebanyakkan ulama yang lain tidak akan menolak atau menentang penggunaan hujah tersebut. Ini melambangkan mereka sepakat (ijma’) untuk menggunakan maslahat sebagai dalil dalam menggeluarkan sesuatu hukum. Contohnya seperti pengumpulan Al-Quran, menyatukan mashaf Al-Quran, dijatuhkan hukuman qisas terhadap kelompok apabila dia membunuh seorang, membuat hukuman penjara, menggangkat hukuman arak dari 40 kepada 80 sebatan dan lain-lain lagi yang kesemuanya dibuat atas dasar maslahat.

Hujah yang ketiga adalah tidak dapat dinafikan maslahat bagi kelompok manusia itu berbeza mengikut zaman, tempat dan suasana. Maka apabila kita kata Islam bersesuaian untuk setiap masa, suasana dan tempat ianya menuntut kepada satu mekanisma bagi memastikan Islam terus bersesuaian terhadap perubahan suasana tersebut. Atas dasar itulah perlu wujudnya masalih mursalah supaya dapat dikeluarkan atau diijtihadkan sesuatu hukum pada perkara yang tidak dinyatakan hukumnya secara jelas oleh syarak berdasarkan kaedah ini.

Penutup

Berdasarkan tulisan ringkas ini jelas pada kita ulama sangat berhati-hati dengan meletakkan beberapa syarat yang ketat dalam membolehkan penggunaan Masalih Mursalah. Mereka yang ingin menggunakan Masalih Mursalah perlu untuk menguasai keseluruhan ilmu fiqh dan dalil Al-Quran dan As Sunnah supaya dia tahu maslahat bagi sesuatu perkara yang ingin dijadikan hujjah tersebut adalah satu maslahat yang tidak ditolak oleh syarak supaya dengan itu dia tidak berhujah dengan Masalih Mulghah.

Dalam tulisan ringkas ini juga kita sedar bahawa mengeluarkan sesuatu hukum berdasarkan Masalih Mursalah bukanlah suatu perkara yang baru bahkan ianya sudah bermula sejak di zaman sahabat ra lagi iaitu selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Masalih Mursalah juga menjadi satu lambang bagaimana syumulnya Islam itu sendiri dalam menghadapi kepelbagaian manusia yang dipengaruhi suasana, zaman dan tempat. Maka dengan itu ianya menguatkan hujah lagi bahawa Masalih Mursalah adalah salah satu sumber pensyariatan yang penting dalam mengeluarkan sesuatu hukum fiqh.

Sumber:

  1. Al Wajiz fi Usul Fiqh oleh Dr Abd Karim Zaidan.
  2. Usul Fiqh al-Islami oleh Dr Wahbah Zuhaili.

One thought on “Antara Sumber Pensyariatan : Masalih Mursalah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *