JAKIM perlu terus dihormati dan diletakkan kepercayaan.
BANDAR BARU BANGI, 26 Mei- Ahli Tertinggi Majlis Ulama ISMA (MUIS) Ust Soberi Awang dalam satu kenyataan hari ini menggesa umat Islam untuk menghormati dan terus meletakkan kepercayaan pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan isu wujudnya DNA babi dalam 2 produk Cadbury.
“Bagi saya, isu halal adalah satu perkara yang sensitif dan tidak mudah untuk kita pertikaikan. Dalam Jakim sendiri adanya prosuder tersendiri bagi memastikan perkara ini (halal) terus terpelihara seperti pemeriksaan secara mengejut dan lain-lain jadi apabila isu ini terjadi kita tidak patut salahkan Jakim”
“Ada banyak kemungkinan yang boleh kita letakkan dalam isu ini termasuk kemungknan ianya telah terjadi secara tidak sengaja dan lain-lain. Kita perlu menunggu hasil siasatan ini” katanya apabila ditanya oleh wartawan MUIS.
Beliau turut menambah, sikap yang patut ada pada umat Islam apabila datangnya sesuatu isu adalah bertanya dan merujuk pada mereka yang pakar (lebih mengetahui) seperti yang disebut dalam Surah Al-Anbiya’ ayat ketujuh.
“Setiap bidang itu ada mereka yang pakar untuk kita rujuk, jadi dalam isu ini Jakim lah tempat untuk kita rujuk dan ambil pandangan, kita tidak patut betindak terburu-buru. Institusi agama perlu terus dihormati dan diletakkan kepercayaan oleh semua pihak khususnya umat Islam”
Beliau turut mengulas berkanaan umat Islam yang sebelum ini telah termakan produk ini yang berkemungkinan adanya DNA babi tersebut.
“Dalam Islam, Allah SWT tidak akan membebankan kita dengan perkara yang tidak kita ketahui. Perkara ini jelas disebut dalam sebuah hadis : Diangkat kalam (tidak dinialai amalan) orang yang melakukan sesuatu perkara kerana lupa atau dengan tidak sengaja”
24 Mei yang lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam dikesan mengandungi DNA khinzir.
Kemudian semalam Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata Jakim akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini berkenaan isu tersebut dan akan memanggil syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung perkara itu.