IlmiahSyariahUtama

Hukuman Jenayah Hudud Untuk Keharmonian Hidup Bermasyarakat- Siri 2

Jenis-jenis jenayah hudud

Para ulama berbeza pandangan dalam membahagikan jenis-jenis jenayah hudud. Terdapat beberapa jenis jenayah hudud yang disepakati oleh ulama dan beberapa jenis lagi tidak disepakati. Berikut adalah enam jenis jenayah hudud yang telah disepakati oleh para ulama:

  1. Zina
  2. Qazaf (Menuduh seseorang melakukan zina tanpa saksi)
  3. Mencuri
  4. Hirabah
  5. Minum arak
  6. Murtad

Adapun jenayah-jenayah atau kesalahan-kesalahan lain yang tidak disepakati dikalangan ulama sama ada ia termasuk dalam kesalahan hudud atau tidak ialah pemberontakan (al-baghyu), liwat, hubungan sex dengan haiwan, sihir dan beberapa kesalahan jenayah lagi.

Jenayah zina

Jenayah zina merupakan jenayah yang keji pada pandangan fitrah manusia yang sejahtera. Ia merupakan perkara yang ‘tetap’ dalam Islam dan ia tidak boleh berubah walaupun berlaku perubahan zaman atau perubahan dalam kehidupan manusia kerana ia adalah hak Allah swt. Larangan melakukan zina bukan setakat melakukan perbuatan zina semata-mata bahkan menghampiri perbuatan tersebut pun dilarang seperti maksud firman Allah swt:

Janganlah kamu menghampiri zina kerana ia perbuatan jahat dan seburuk-buruk jalan”. (al-Isra’ 17:32).

Dalam ayat yang lain Allah swt telah berfirman, maksudnya:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (al-Nuur 24: 2)

Zina bermaksud persetubuhan antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang bukan pasangan suami isteri. Juga ada ulama yang menyatakan zina adalah melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak.

Hukuman bagi kesalahan zina terbahagia kepada dua bahagian:

a) Disebat sebanyak seratus kali bagi mereka yang belum berkahwin seperti yang disebut dalam ayat 2 surah An-Nuur di atas.

b) Direjam sampai mati bagi mereka yang telah berkahwin (muhson) seperti yang disebut dalam hadis riwayat Imam Muslim, Umar berkata dan ketika itu dia duduk di mimbar Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengutus Nabi s.a.w. dengan kebenaran dan menurunkan kepadanya kitab (al-Quran). Di antara ayat-ayat yang diturunkan kepadanya yang kita semua telah membaca, mempelajari, dan memahamkannya ialah ayat al-Rajm (Ayat ini telah pun dimansukhkan bacaannya daripada al-Quran, tetapi hukumnya tidak dimansukhkan. Nabi s.a.w. telah melaksanakan hukuman rejam, (begitu pula) kami telah melaksanakan hukuman rejam selepas Baginda (wafat). Maka aku takut, jika semakin lama (masa berlalu), ada orang yang berkata: “Tidak kami dapati hukuman rejam di dalam Kitabullah.” Maka mereka itu sesat kerana meninggalkan satu kefardhuan yang diturunkan oleh Allah s.w.t.” (Riwayat Muslim)

Hukuman zina adalah hak Allah swt, iaitulah hak masyarakat dan ia bertujuan untuk menjaga maruah manusia agar tidak dicerobohi, juga untuk menjaga dan memelihara kebajikan umum agar terpelihara dengan cara menolak dan menghindarkan kerosakan kepada mereka. Oleh itu setelah disabitkan kesalahan zina, ia tidak boleh dimaafkan atau digugurkan kerana ia adalah hak Allah bukan hak bagi seorang manusia. (Dr Wahbah Zuhaili 1989)

Jenayah Qazaf

Jenayah qazaf merupakan salah satu dosa besar dalam Islam dan ia termasuk dalam perkara-perkara yang membinasakan seperti yang disebut dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “…menuduh wanita mukminat yang baik dengan zina” (Riwayat Bukhori dan Muslim).

Disegi bahasa, qazaf bermaksud melempar dengan batu atau seumpama dengannya.

Manakala di segi istilah ia bermaksud membuat tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat orang saksi.

Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan atau tuduhan secara jelas seperti mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang yang tertentu.

Hukuman bagi orang yang melakukan kesalahan qazaf adalah disebat 80 kali sebatan kecuali jika dia dapat membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang dikatakan berzina tadi dengan kesalahan zina. Ini berdasarkan maksud firman Allah swt:

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”. (al-Nuur 24:4)

Berdasarkan ayat di atas, bagi sesiapa yang membuat tuduhan qazaf, tanpa ada empat orang saksi yang boleh diterima penyaksiannya, maka hendaklah dihukum si penuduh tersebut dengan lapan puluh sebatan, manakala penyaksian si penuduh itu tidak akan lagi boleh diterima selama-lamanya sebagai hukuman tambahan kepada lapan puluh sebatan yang dinyatakan oleh Allah. Ini menunjukkan bahawa perbuatan menuduh sesorang muslim yang baik tanpa punyai bukti adalah dilarang sama sekali dan ditegah oleh agama. Ini sudah pasti untuk menjaga maruah seseorang serta kehormatan dirinya daripada dicerebohi oleh orang lain. (Abdul Rahman 2006)

Hukuman ini berasaskan kepada kepentingan menjaga kehormatan dan maruah di kalangan ahli masyarakat. Ia juga untuk memastikan tidak ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh, kerana tuduhan zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan keharmonian keluarga.

Jenayah Mencuri

Antara kesalahan yang menganggu kehidupan bermasyarakat ialah jenayah mencuri atau disebut juga sebagai as-sariqah. Jenayah mencuri atau as-sariqah ditakrifkan sebagai mengambil harta orang lain secara bersembunyi. (Dr Wahbah Zuhaili 1989)

Takrifan lain yang diberikan oleh ulama ialah memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya, tanpa persetujuan tuannya, dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaaan atau milik tuannya. (Ibrahim 1996)

Hukuman bagi kesalahan mencuri hendaklah dipotong tangan kanan pencuri tersebut.

Iaitu dipotong di bahagian pergelangan tangan pada sendi yang menyambungkan tapak tangan dengan lengan. Hukuman ini berdasar kepada maksud firman Allah swt seperti di bawah:

Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (al-Maidah 5: 38)

Syarat-syarat hukuman potong tangan boleh dikenakan apabila kesalahan mencuri memenuhi perkara-perkara berikut:

  1. Nilai harta yang dicuri itu mencukupi nisab iaitu ¼ dinar emas (9.36 gram emas) atau tiga dirham perak.
  2. Harta itu adalah bernilai menurut syara’, jadi mencuri arak, dadah dan seumpamanya tidak dikenakan hukuman hudud. Namun ia tidak terlepas kerana boleh dihukum ta’zir di atas kesalahan tersebut.
  3. Harta yang disimpan itu berada di tempat yang sesuai (selamat pada adatnya) iaitu pemiliknya mengambil langkah yang wajar untuk menjaga harta itu.
  4. Tertuduh bukan pemilik penuh ke atas harta itu.
  5. Kesalahan itu tidak dilakukan dalam keadaan amat mendesak, seperti perang, kebuluran dan bencana alam.
  6. Pencuri itu bukan keluarga pemilik barang.
  7. Tuan punya harta tidak menafikan tentang kecurian itu walau pun pesalah mengakuinya.

Berdasar kepada syarat-syarat di atas, perlu diingatkan bahawa orang yang mencuri kerana terpaksa atau mencuri pada kadar yang tidak cukup nisab dan sebagainya tidak dikenakan hukuman potong tangan kerana tidak memenuhi syarat-syarat di atas. Mereka akan dikenakan hukuman ta’zir jika sabit kesalahan mereka.

Jenayah hirabah

Jenayah hirabah atau rompakan merupakan satu jenayah yang sangat kejam, menakutkan orang ramai dan menganggu ketenteraman awam. Sebagai ajaran yang menjaga ketenteraman hidup manusia, Islam menganggap jenayah ini sebagai jenayah yang berat dan perlu dikenakan hukuman yang keras ke atas pelakunya.

Rompakan atau hirabah ditakrifkan sebagai setiap perbuatan bertujuan mengambil harta orang lain dalam keadaan mangsa tidak dapat meminta pertolongan pada kebiasaannya. (Dr Wahbah Zuhaili 1989)

Dalam takrifan lain ia adalah satu perbuatan jenayah yang merujuk kepada perbuatan seseorang atau sekumpulan yang keluar bertujuan untuk mengambil harta, atau membunuh, atau mengganggu ketenteraman awam. (Hamzah 1989)

Hirabah atau rompakan merupakan kesalahan besar dalam Islam dan perlu dihukum berdasar maksud firman Allah swt:

“Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar”. (al-Maidah 5 : 33)

Maka hukuman kepada mereka yang terlibat dengan jenayah hirabah perlu dihukum mengikut ayat di atas. Imam al-Shafie berpendapat bahawa hukuman adalah mengikut perbuatan yang dilakukan. Jika mereka itu membunuh, maka hendaklah dibunuh. Jika sekiranya mereka itu hanya mengambil harta tanpa membunuh, maka hendaklah dipotong tangan dan kakinya. Jika mereka hanya mengganggu ketenteraman awam sahaja, tanpa membunuh dan mengambil harta, maka hukumannya hendaklah dibuang negeri. (Hamzah 1989)

Jenayah minum arak

Arak terkenal dengan kesan buruknya kepada masyarakat bahkan ia disebut sebagai ibu segala kejahatan dan ia boleh menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah yang lain. Orang yang berilmu dan bijak sekalipun akan hilang kebijaksanaan dan kewarasan fikirannya disebabkan meminum arak. Itulah buruknya kesan meminum arak. Sebagai agama wahyu, tentu sekali Islam mengharamkan minuman yang merosakkan kerukunan hidup bermasyarakat. Maksud firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan.Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjay”. (al-Maidah 5 : 90)

Jenayah minum arak di sini bererti meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak. Di maksudkan dengan arak ialah sejenis minuman yang boleh memabukkan. Arak dalam bahasa Arab biasanya diertikan dengan khamar. Ia berasal dari kata khamara, yang membawa makna menutupi. Oleh itu, seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya dia akan mabuk, hilang akal fikirannya dan tertutup jalan kebenaran, dan dia juga akan melupai dirinya dan melupai Allah. Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. (Abu Zahrah 1980)

Ia adalah haram berdasar ayat di atas dan perlu dihukum berdasar hadis nabi saw bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud:

”Barangsiapa yang meminum arak, maka hendaklah disebat akan dia” (riwayat Abu Daud).

Hukuman bagi peminum arak ialah sebatan sebanyak 40 kali. Ada ulama yang menetapkan sebatan sebanyak 80 kali. Kedua-dua pendapat ini berasaskan maksud hadith berikut:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa seorang peminum arak telah dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. maka baginda memukulnya dengan pelepah tamar sebanyak 40 kali. Kata Anas: begitulah juga dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar. Apabila zaman Khalifa Umar, beliau bermesyuarat bersama para sahabat lalu Abdul Rahman bin Auf berkata bahawa, sekurang-kurangnya hukum hudud itu adalah 80 kali sebatan. Lalu Umar mengarahkan hukuman 80 kali sebatan. (Riwayat Bukhori dan Muslim)

Juga terdapat hadis-hadis lain yang menjadi punca kepada perbezaan pendapat dikalangan ulama mengenai hukum pesalah meminum arak. Uthman r.a. pernah memerintahkan agar al-Walid bin ‘Uqbah bin Abu Mu’ait disebat. Beliau disebat oleh Abdullah bin Ja’afar r.a. dan Ali r.a. mengira sehingga sampai 40. Uthman kemudian berkata: “Berhenti”. Kemudian Uthman berkata pula: “Nabi s.a.w. merotan sebanyak 40 kali, Abu Bakar merotan sebanyak 40 kali dan Umar merotan sebanyak 80 kali, semua ini adalah sunnah, tetapi saya lebih suka setakat ini”. (Riwayat Muslim).

Maksudnya Uthamn Ibn A’affan lebih suka sebatan bagi pesalah minum arak sebanyak 40 kali. Ini kerana menurutnya, jumlah ini adalah amalan Nabi s.a.w. dan lebih bersifat berhati-hati dalam menghukum agar tidak melebihi daripada yang sepatutnya sehingga tidak menzalimi pesalah. Muhammad Abu Zahrah walaubagaimanapun telah menyebut di dalam kitabnya al-Jarimah wa al- Uqubah fi al-Fiqh al-Islami bahawa pesalah yang melakukan kesalahan minum arak hendaklah disebat sebanyak 80 sebatan, sebagaimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulamak Islam. (Abu Zahrah 1980)

Jenayah murtad

Antara kesalahan besar dalam Islam ialah jenayah murtad. Ia berasal daripada perkataan arab raddada. Riddah secara bahasanya bermaksud menolak, pulang atau tidak berfaedah. Menurut pandangan fuqaha, murtad ialah seorang muslim mukallaf yang keluar daripada agama Islam sama ada dengan kepercayaan, perkataan atau perbuatan, dengan kehendaknya sendiri, tanpa paksaan dari mana-mana pihak. (al-Hafiz 2004)

Oleh itu murtad merupakan satu kesalahan besar dalam sistem jenayah Islam dan ulama bersepakat bahawa orang murtad wajib dihukum. Namun wujud perbezaan ulama dalam menghukum orang murtad sama ada dibunuh atau tidak. Perkara ini dibincangkan secara panjang lebar di dalam kitab-kitab feqah. Antara dalil yang menunjukan orang murtad perlu dihukum bunuh ialah hadis di bawah.

Telah diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Tidaklah halal darah seorang muslim kecuali ia melakukan salah satu dari tiga perkara iaitu : Kafir selepas beriman, berzina selepas muhshan (lelaki atau perempuan yang sudah berkahwin), serta membunuh orang dibawah jagaannya”. Dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas, bahawa nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa menukar agama Islam kepada kekafiran maka bunuhlah dia”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadith sahih yang dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Abu Daud dan sebagainya, menunjukkan kepada kita semua bahawa Islam telah menyediakan hukuman yang keras terhadap sesiapa yang meninggalkan agama. Dalam hal ini Abu Zahrah melalui kitabnya al-Jarimah wa al-Uqubah fi al-Fiqh al-Islami telah menjelaskan bahawa hukuman berat ini kerana apabila seseorang yang memasuki Islam dengan kefahaman bahawa Islam itu adalah hidayah Allah, maka meninggalkan Islam adalah membelakangi dan meninggalkan petunjuk Allah, maka apakah lagi yang selayaknya bagi mereka yang meninggalkan agama dan petunjuk Allah, kecuali kematian dan seksaan Allah di hari akhirat nanti. (Abu Zahrah 1980)

Namun Islam yang ditegakkan di atas dasar keadilan memberi peluang kepada pelaku jenayah murtad agar dipanggil dan diminta bertaubat, diperjelaskan kepadanya apa-apa kekeliruan yang mendorongnya untuk meninggalkan Islam. Apabila seseorang itu telah bertaubat, maka tidak ada apa-apa lagi hukuman ke atasnya.

Demikianlah undang-undang jenayah hudud dalam Islam yang diturunkan oleh Allah swt bagi memastikan kehidupan manusia berada dalam keadaan harmoni dan selamat daripada sebarang pencerobohan dan perlanggaran hak.

 

*siri 1 pengenalan undang jenayah Islam dan hukuman hudud sini

*di dalam siri ketiga kita akan membincangkan mengenai hubungan antara Hudud dan Maqasid Syariah.

 

ust-ahmad-isma-melaka
 
Ust Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply