BeritaUtama

Islam tidak akan boleh bergabung dengan Liberal

 

dr anis muafakat

KUALA LUMPUR 22 Mei- Prof Dr Anis Malik Thoha, Rektor di Universitas Sultan Agung Semarang, Indonesia menyatakan bahawa Islam tidak akan boleh bergabung dengan fahaman Liberal kerana perbezaan konsep yang sangat ketara antara keduanya.

“Islam tidak akan boleh bergabung dengan Liberal kerana konsep central (pemusatan) dalam Islam adalah ketuhanan iaitu Allah SWT sedangkan konsep central (pemusatan) dalam liberal adalah manusia ataupun humanisme. Dalam Islam al-hakim (pembuat hukum) adalah Allah SWT sedangkan dalam liberal ianya datang daripada manusia.”

Beliau yang juga bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) turut menambah bahawa serangan terhadap pemikiran Islam ini (antaranya dalam bentuk Islam Liberal) bermula secara meluas sejak berlakunya serangan WTC pada tahun 2001.

“Sejak dari serangan WTC tahun 2001, mana-mana muslim yang berpegang dengan kefahaman Islam dalam bentuk menolak kefahaman barat akan disebut sebagai muslim radikal atau ektrimis dan mana-mana muslim yang berpegang dengan Islam dalam bentuk mesra dengan fahaman barat itulah disebut Islam yang sebenar atau diberi nama istilah Islam Moderat”

Tambahnya lagi, strategi musuh Islam menarik umat Islam secara halus kearah kekufuran bukanlah strategi yang baru bahkan ianya telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran  Ayat 89 Surah An Nisa’.

“Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka.”

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Kemungkaran Fahaman Liberalisme: Perspektif Ahli as-Sunnah wa al-Jama‘ah” dalam satu  Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah Ke-6 bertema Pencerahan Tasawwur Ahli As-Sunnah Wa Al-Jama`Ah anjuran Pertubuhan Muafakat pada 20 dan 21 Mei yang lalu.

Isu berkenaan Islam Liberal menjadi hangat di Malaysia sejak kebelakangan ini akibat wujud sekelompok umat Islam yang cuba mempromosi bahawa fahaman barat seperti Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain lagi tidak bercanggah dengan Islam. Tindakan kelompok tersebut telah mendapat kecaman seluruh umat Islam samada di kalangan pimpinan negara seperti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga di kalangan rakyat Islam itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *