Soal JawabWanita & Kekeluargaan

Adil Dalam Poligami

Adakah sama hak isteri1 dgn isteri 2/3/4 terhadap seorg suami?sekiranya isteri 1mempunyai anak-anak yg ramai e.g 7org(8thn-20thn)dan isteri 2 anak(2) yg masih kecil,siapakah yg patut suami utamakan dalam masaalah menyediakan rumah yg sesuai dgn bilangan ahli keluarga tersebut? Dalam soal membawa Dan mengerjakan Ibadah Haji,boleh kah diutamakan isteri 1 dahulu? adakah suami berdosa sekiranya tidak membawa kedua-duanya sekali.?

Jawapan :

Seorang suami yang telah berkahwin lebih dari satu hendaklah berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Allah swt menyebut di dalam Surah An Nisa ayat 3,

“Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (apabila kamu mengahwininya) maka kahwinilah perempuan (lain) yang kamu senangi ;dua, tiga ,atau empat.tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil maka(nikahilah) seorang saja atau hanba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.”

Ayat tersebut menjelaskan kewajipan seorang suami memberikan hak dengan adil terhadap isteri-isterinya.Namun jika lelaki tersebut mengkhuatiri tidak mampu berlaku adil, maka adalah lebih baik untukknya mengahwini seorang wanita sahaja. Hikmah larangan ini adalah supaya tidak berlaku kezaliman dan penganiayaan terhadap isteri-isteri yang dinikahi.

Berlaku salah faham dalam masyarakat terhadap maksud adil yang sebenar.Orang kebanyakan menyangka maksud adil ialah sekadar membahagi sesuatu secara sama rata. Contohnya jika anak lelaki dibelikan mainan kereta, maka anak perempuan juga perlu diberikan permainan kereta.

Sebenarnya sifat adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Atas sebab itulah lawan kepada adil ialah zalim iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil meletakkan penilaian berdasarkan hak, bukan sekadar sama rata.

Jika anak lelaki dibelikan permainan kereta maka anak perempuan perlu diberi permainan anak patung dan sebagainya. Maka dengan itu ibubapa telah memberikan hak yang sepatutnya terhadap anak-anaknya.

Begitu juga didalam kehidupan suami isteri. Suami wajib memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya secara adil. Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.

Namun adakalanya ada perkara yang perlu dilebihkan kepada isteri tertentu dan ada yang perlu dikurangkan pada isteri yang lain.Keadilan bukanlah memberi yang sama pada setiap masa. Contohnya jika pada suatu hari, seorang anak kepada isteri kedua jatuh sakit dan telah dimasukkan ke hospital. Si suami perlulah memainkan peranan dengan memberikan lebih masa kepada keluarga isteri kedua kerana di waktu itu, isteri dan anaknya sangat memerlukan sokongan suaminya. Di waktu inilah, iseri-isteri yang lain perlu bertimbang rasa agar suami mampu menjalankan tugasnya dengan baik.

Di dalam masalah yang diutarakan, suami perlu memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri pertama dan isteri-isteri yang lain. Jika anak kepada isteri pertama lebih ramai maka sepatutnya suami perlu menyediakan kediaman yang bersesuaian dan lebih selesa kepada isteri dan anak-anaknya.Mungkin rumah untuk isteri pertama lebih besar dari rumah untuk isteri kedua, tetapi ia adalah bersesuaian dengan situasi dan keadaan kedua-dua isteri dan anak-anak.

Adapun dalam masalah Ibadah Haji, perkara ini perlu dilihat lebih mendalam kerana kewajipan ibadat tersebut bergantung kepada kemampuan. Jika suami memang tidak mampu adalah tidak berdosa jika tidak membawa isteri-isterinya mengerjakan haji. Namun jika dia mampu wajib keatasnya membawa isteri-isterinya.

Kepada suami (yang berpoligami) perlu ingat bahawa Allah SWT Maha Mengetahui adakah suami tersebut sedaya upaya cuba bersifat adil atau adakah dia bersifat zalim terhadap isteri-isterinya. Ingatlah akan hadis Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

Sunnah Rasulullah SAW bukalah sekadar pada poligami tetapi juga meliputi bersifat adil dalam poligami. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA yang menjadi saksi sendiri keadilan Rasulullah SAW dalam poligami :

Bahawa Rasulullah (s.a.w.) selalu berlaku adil dalam mengadakan pembahagian antara isteri-isterinya. Dan beliau berkata dalam doanya: “Ya Allah, inilah kemampuanku membahagi apa yang ada dalam milikku. Ya Allah, janganlah aku dimarahi dalam membahagi apa yang menjadi milikku dan apa yang bukan milikku.”

Apa pun bagi saya, perkara yang paling penting dalam perkahwinan samada seorang isteri atau lebih dari satu (poligami) adalah perbincangan yang tulus secara baik antara suami dan isteri-isterinya.

Wallahu a’lam

suhaili

Ustazah Suhaili binti Noredan
Ahli Majlis Ulama ISMA
BA(Hons) Syariah Universiti Al-Azhar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *