Hukum Melakonkan Watak Nabi dan Sahabat
Assalamualaikum ustaz,
saya ada satu kemusykilan,sememangnya saya sendiri pernah membaca mengenai hukum melakonkan watak sahabat dan Nabi itu haram,tetapi x berapa jelas,sebab menjadi keliru pada saya apabila ada yang bertanya kepada saya,untuk tontonan ramai memang x boleh,tetapi untuk mengambil pengajaran antara kita(maksudnya apabila sesuatu pogram seperti malam kebudayaan perkhemahan yang memerlukan lakonan kisah2 dalam al-quran) itu x mengapa,betul ke ustaz?
Jawapan:
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين
Berlakon ialah bermain atau berlagak dalam sandiwara. Berpura-pura menunjukkan sesuatu kelakuan, menunjukkan kelakuan yang bukan sifat sebenar(Kamus Dewan). Di dalam bahasa arab ia disebut sebagai Tamthil yang membawa maksud “menggambarkan” ataupun “menyerupakan” sesuatu (Lisanul Arab).
Merujuk kepada soalan saudara, terlebih dahulu kita membezakan antara perbuatan melakonkan perbuatan dan melakonkan watak.
Adapun melakonkan perbuatan , ia adalah diharuskan contohnya seorang guru melakonkan perbuatan Nabi saw ketika mengambil wudu’ atau solat dan sebagainya .
Dalilnya ialah seperti mana Saidina Usman r.a melakonkan semula perbuatan wudu’ mengikut apa yang dilihatnya daripada perbuatan wudu’ Nabi saw. Ini dijelaskan dalam hadith berikut:
عن حمران مولى عثمانبن عفان : أنه رأى عثماندعا بوضوء ، فأفرغ على يديه من إنائه فغسلهما ثلاث مرات ، ثم أدخل يمينه في الوضوء ، ثم تمضمض واستنشق واستنثر ، ثم غسل وجهه ثلاثا ويديه إلى المرفقين ثلاثا ، ثم مسح برأسه ، ثم غسل كل رجل ثلاثا ، ثم قال : رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتوضأ نحو وضوئي هذا ، وقال : من توضأ نحو وضوئي هذا ، ثم صلى ركعتين لا يحدث فيهما نفسه ، غفر الله له ما تقدم من ذنبه .
الراوي:عثمان بن عفانالمحدث:البخاري – المصدر:صحيح البخاري – الصفحة أو الرقم:164
خلاصة حكم المحدث:[صحيح]
Jadi jika melakonkan semula perbuatan Nabi SAW itu untuk tujuan pengajaran dan tujuan-tujuan lain yang baik maka diharuskan berdasarkan kaedah الأمور بمقاصدها“setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada niatnya”
Adapun melakonkan watak Nabi saw , banyak badan fatwa sedunia dan ulama’ yang mengharamkannya , sebagai contoh :
- Pusat Fatwa Kebangsaan Mesir (1980)
- Lajnah Fatwa Kementerian Wakaf Kuwait
- Dr Yusuf al-Qardhawi
Tiada dalil yang khusus mengenai pengharaman itu samada ia berbentuk Dilalah Ibarah/mantuq (dalil spesifik seperti dalil yang mengharamkan judi, dalil yang mengharamkan zina) mahupun Dilalah Nas /mafhum (dalil yang tidak langsung dan tidak spesifik berkaitan sesuatu perkara, namun ianya dapat difahami samada secara tersirat mahupun tersurat seperti haramnya memukul ibubapa difahami dari larangan meninggikan suara di hadapan keduanya)
Dalil yang digunakan dalam isu ini adalah dalil-dalil yang berbentuk dilalah iqtidha’ (tidak langsung daripada dalil, namun kesan daripada perlakuan kepada sesuatu perkara akan membawa kepada perbuatan yang haram, maka perbuatan tersebut dikira haram.)
Perbuatan melakonkan watak Nabi saw akan menyebabkan kesan-kesan berikut:
- Menghina Rasul
- Menipu atas nama Rasul
- Memperlekeh Rasul
Mustahil kita akan menemui pelakon yang menyerupai watak dan akhlak Baginda saw bahkan dikhuatiri akan menyebabkan celaan kepada peribadi Rasul saw hasil dari gagalnya pelakon berkenaan menampilkan watak yang sesuai dengan peribadi Rasul samada di dalam lakonan mahupun diluar lakonan. Perbuatan ini termasuk dalam larangan menyakiti dan mencerca Rasul saw.
“Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah akan melaknati nya di dunia dan di akhirat, dan (Allah) menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan”.( surah al-Ahzab (33): ayat 57)
“Dan mereka yang menyakiti kaum Mukminin dan Mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka mereka telah berbohong dan melakukan dosa yang nyata”.(ayat 58)
Berdasarkan kaedah Sadd al-Dhara i’ (menutup pintu-pintu kejahatan), maka lakonan watak Nabi dan Rasul adalah haram kerana ia membuka ruang untuk mereka yang berniat jahat menggunakan peluang berkarya dalam filem , menghina Islam dan para anbiya’
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Disediakan oleh:
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS
camne pula dengan sahabat???? boleh x melakonkan watak sahabat??? ( Abu Bakar ra, Umar al-Khatab, dan lain-lain)