MuamalatSoal Jawab

Hukum mengambil buahan jiran

Assalamualaikum ustaz,apakah hukumnya jika kita mengambil buah-buahan jiran yang jatuh dihalaman rumah kita yang mana pokoknya ditanam dirumah jiran dan dahannya masuk dihalaman rumah kita

Jawapan:

:الحمدلله والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Hukum asal adalah haram mengambil atau memakan buah tersebut kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya. Perkara ini termasuk dalam kategori memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah swt seperti dalam firmannya:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah .. (al-baqarah: 188)

Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya. Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya.

Imam Nawawi telah berkata dalam kitab Majmuknya:
Hukum buah yang jatuh adalah mengikut hukum buah yang berada di atas pokok (milik tuan pokok) samada jatuh dalam halamannya atau halaman jirannya sekiranya adat sesuatu tempat tuan pokok tidak menghalalkan buah tersebut kepada orang lain… Akan tetapi jika adat sesuatu tempat tuan pokok sememangnya menghalalkannya kepada orang lain, maka pandangan yang paling sahih ia adalah halal. (Rujuk: Majmuk karangan Imam Nawawi)

Sekian والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *