Solat Ketika Peperiksaan

Assalamualaikum ustaz,

Para pelajar universiti di New Zealand akan menghadapi peperiksaan pertengahan tahun tidak lama lagi. Memandangkan New Zealand kini sedang melalui musim dingin (winter), tempoh siang menjadi lebih pendek dan tempoh malam pula menjadi lebih panjang. Oleh yang demikian, waktu-waktu solat terutamanya solat Asar, Maghrib dan Isyak menjadi lebih dekat diantara satu sama lain. Asar 2.45PM, Maghrib 4.50PM dan Isyak 6.20PM. Masalah yang timbul ialah apabila waktu peperiksaan bercanggah dengan waktu solat, dimana peperiksaan dilangsungkan ketika waktu Zuhur dan berakhir hanya pada waktu Maghrib. Kemungkinan besar solat Asar akan terlepas sekiranya peperiksaan tidak dijawab dalam jangka masa yang singkat, kerana pelajar dilarang keluar ketika sedang menduduki kertas. Adakah terdapat rukhsah mendirikan solat dalam keadaan sebegini?

Jawapan:

:الحمد لله والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Ya, terdapat rukhsah untuk mendirikan solat dalam keadaan seperti yang disebut di atas dengan cara menjamakkan solat zohor dan asar. Dalam kitab روضة الطالبين وعمدة المفتين karangan Imam Nawawi ada menyebut:

“Aku (Imam Nawawi) berkata: Pandangan yang menyatakan harus jamak kerana sakit adalah pandangan yang kuat dan terpilih. Telah thabit dalam sahih Muslim bahawa nabi saw menjamakkan solat di Madinah dalam keadaan tanpa ketakutan dan tanpa hujan.

Al-Khattabi telah meriwayatkan daripada al-Qaffal al-kabir as-Syasi, daripada Abu Ishak al-Mirwazi: Adalah harus menjamakkan solat bagi seseorang yang tinggal di sesuatu tempat (tidak bermusafir) kerana hajat (keperluan) tanpa disyaratkan kerana ketakutan, hujan dan sakit. Inilah pandangan Ibnu Munzir dari kalangan ashabuna” والله أعلم.

Pandangan di atas adalah berdasar daripada riwayat dalam sahih Muslim (1/490) dan Tirmizi (1/355) daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata: Rasulullah saw telah menjamakkan solat zuhur dan asar serta menjamakkan solat maghrib dan isyak di Madinah tanpa keadaan takut dan tanpa musafir. Abu Zubair (salah seorang perawi hadis) bertanya kepada Said bin Jubair: Kenapa baginda melakukan sedemikian? Maka aku (Said bin Jubair) bertanya kepada Ibnu Abbas mengenai soalan tersebut, lalu dijawab oleh Ibnu Abbas: Baginda ingin supaya tidak menyusahkan seseorang daripada umatnya. Maksudnya; baginda ingin supaya tidak seorang pun daripada umatnya berada dalam keadaan kesukaran atau kesempitan.

Diriwayatkan daripada Ibnu Sirin bahawa dia berpandangan adalah tidak mengapa bagi seseorang menjamakkan solat bila ada keperluan atau kerana sesuatu perkara selagimana dia tidak menjadikannya sebagai satu kebiasaan. (Rujuk: روضة الطالبين وعمدة المفتين halaman 401 juzuk pertama).

Sebagai kesimpulan, anda boleh menjamakkan solat dalam keadaan yang dinyatakan di atas kerana wujudnya hajat keperluan dan tidak boleh menjadikannya sebagai amalan kebiasaan.

Sekian والله أعلم

Rujukan:
1) روضة الطالبين وعمدة المفتين karangan Imam Nawawi.

Disedikan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *