Hukum melakonkan adegan syirik

Assalamualaikum ustaz,
Apa hukum berlakon melafazkan lafaz syirik spt menghina Allah dan lain-lain. Contoh seperti dalam drama penunggu gunung raya di tv3.

Jawapan:

 

وعليكم السَّلام ورحمة الله وبركاته،

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وبعد:

 

Syirik merupakan salah satu  dosa besar yang wajib dijauhi oleh setiap Muslim sebagaimana terdapat dalam sebuah hadis yang diriwaytkan oleh Abu Hurairah r.a , bahawa Nabi saw bersabda; “ Jauhilah tujuh kebinasaan, para sahabat bertanya apakah itu ya Rasulullah? Jawab baginda  iaitu mensyirikkan Allah, sihir, membunuh, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan   menuduh zina kepada wanita-wanita yang berimana. (Muttafaqun Alaih)

Sebagai Muslim hendaklah sedaya upaya berusaha menjauhi amalan dan perbuatan yang boleh membawa kepada dosa tersebut.  Mensyirikkan Allah bukan hanya dalam bentuk sembahan kepada patung, tokong, pokok  dan sebagainya tetapi syirik juga boleh berlaku dalam bentuk lafaz atau perkataan seperti menafikan kewujudan Allah Taala dan amalan atau tindakan yang meletakkan kebergantungan, pengharapan dan penyerahan selain daripada Allah seperti mengubat dengan menggunakan jin, mengharap rezeki daripada loteri atau nombor ekor  dan lain-lain. 

Manakala lakonan pada asalnya adalah harus di sisi syarak. jika dilakukan untuk tujuan mengajar, memberi teladan, pengajaran dan dakwah. Lakonan sebegini pasti akan mendapat ganjaran dan pahala di sisi Allah Taala. Begitu juga sebaliknya, jika lakonan tersebut menggalakkan kepada pendedahan aurat, pergaulan bebas, semarakan cinta dan hawa nafsu pasti akan menerima pembalasan dosa. Firman Allah;

Maksudnya :” maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

(al-Zalzalah : 7-8)

Walaupun begitu Islam memberi kelonggaran (rukhsah) bertutur kalimah kufur dalam keadaan terpaksa. Persoalannya, adakah lakonan sesuatu yang dipaksa atau sengaja dibuat plot ceritanya begitu? Jika disengajakan, adegan  perbuatan syirik dalam lakonan perlu dijauhi kerana akan mendedahkan pelakonnya kepada dosa besar. Begitu juga dalam persoalan lakonan nikah dan cerai. Jika menepati rukun dan syarat maka akan terjadilah nikah dan cerai walaupun ketika berlakon. Sabda Rasulullah saw yang  bermaksud:

“Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak atau serius iaitu: nikah, cerai dan membebaskan hamba”. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah).

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *