Qunut dan Solat Sunat Rawatib
Assalamualaikum ustaz,
Saya ada beberapa soalan berhubung hal ibadah:
1. Apakah hukum membaca doa qunut ketika solat subuh? Sejak di bangku sekolah kita telah didedahkan untuk membaca doa qunut. Bolehkah kita meninggalkan doa qunut tersebut. Jika kita tinggalkan, perlukah kita ganti dengan sujud sahwi?
2. Saya agak keliru dengan solat sunat rawatib. Bolehkah ustaz jelaskan ada berapa kali solat sunat rawatib yang boleh kita kerjakan? Ada bermacam pendapat mengenai ini. Dan, adakah wujud solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat Jumaat? Memandangkan solat jumaat berbeza dengan solat subuh.
Mohon penjelasan sejelasnya, in sha’ Allah.
Wallahu’alam.
Jawapan:
Permasalahan yang anda tanya termasuk dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Sudah tentu jawaban yang diberi akan wujud perbezaan kerana ia adalah masalah yang telah lama berlaku perselisihan pandangan dikalangan ulama.
1) Hukum membaca doa qunut ketika solat subuh adalah sunat pada mazhab Shafi’e. Para ulama mazhab Shafi’e telah membawa hujah bagi menyokong pandangan mereka. Jika anda meninggalkan bacaan qunut atau terlupa, anda perlulah melakukan sujud sahwi dan jika terlupa sujud sahwi solat anda tetap sah.
2) Rawatib dalam Bahasa Arab bermaksud kerap dan berterusan. Ini bererti solat rawatib adalah solat sunat yang dilakukan oleh baginda saw secara konsisten. Sabda nabi saw:
من ثابر على ثنتي عشرة ركعة من السنَّة بنى الله له بيتا في
الجنة أربع ركعات قبل الظهر وركعتين بعدها وركعتين بعد المغرب وركعتين بعد العشاء وركعتين قبل الفجر.
Maksudnya: “ sesiapa yang menjaga 12 rakaat sunat, Allah swt menyediakan baginya rumah di dalam syurga iaitu sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum subuh 2 rakaat.”
(Al-Tirmizi : 379)
Terdapat juga dalam riwayat yang lain menyatakan 10 rakaat sunat sahaja iaitu 2 rakaat sebelum zohor. Kesimpulannya, solat sunat rawatib adalah solat sunat yang mengiringi solat fardhu samada sebelum atau selepas solat yang dilakukan secara konsisten oleh baginda saw iaitu sebelum zohor 2 atau 4 rakaat, selepas zohor 2 rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum subuh 2 rakaat. Jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 10 atau 12 rakaat. Terdapat juga dalam kalangan ulama yang menamakannya sebagai sunat muakkad (diberi penekanan). Manakala solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu tetapi tidak termasuk dalam kategori tersebut dinamakan sebagai ghair muakkad (tidak diberi penekanan) atau sunat yang tidak dilakukan secara konsisten oleh baginda saw seperti sunat sebelum Maghrib, sebelum Isyak dan sebelum Asar. Ini bukan beerti sunat-sunat tersebut tidak harus dilakukan. Secara umumnya solat sunat tersebut masih termasuk dalam gesaan nabi saw yang bermaksud: “sembahyanglah di antara dua azan” yakni di antara azan dan iqamah.
Nawafil bermaksud melakukan sesuatu melebihi fardhu. Apabila dikaitkan dengan solat nawafil maka ia merujuk kepada solat-solat sunat yang tidak dikaitkan mengiringi solat fardhu seperti solat dhuha, tahajjud, witir, aidil fitri, hajat, istikharah dan sebagainya. Sekalipun terdapat perbezaan antara istilah rawatib dan nawafil namun hakikatnya kedua-dua istilah tersebut merujuk kepada amalan atau solat yang disunatkan iaitu (ma zida ala al-fardh – tambahan daripada solat fardhu).
Adapun solat sunat sebelum solat Jumaat juga termasuk dalam permasalahan yang diperselisihkan ulama. Yang melakukannya berpandukan kepada hadis “sembahyanglah di antara dua azan” dan perbuatan sahabat Abdullah bin Mas’ud seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi. Manakala solat sunat selepas solat Jumaat berdasar hadis riwayat Imam Muslim bahawa nabi saw bersabda: “Apabila seseorang kamu mendirikan solat Jumaat maka hendaklah dia mendirikan solat (sunat) selepas itu empat rakaat.
Sekian والله أعلم
Disediakan oleh:
Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS