Melihat tunang berulang kali

Assalamualaikum ustaz,

Apakah dibolehkan atau diharuskan untuk melihat bakal isteri berulang kali?

wsalam.

Jawapan:

Waalaikumussalam.

Imam Nawawi berkata: Mengikut mazhab kita (Shafie), Malik, Abu Hanifah dan Jumhur ulama adalah  digalakkan melihat perempuan yang ingin dikahwini.

Pengarang kitab  `Awn al-Ma`bud syarah hadis Abu Dawud berkata:  Diharuskan melihat wajah dan tangan sahaja, kerana kedua-duanya bukan aurat. Wajah itu menunjukkan kecantikan dan tangan menunjukkan kesuburan badan.

Melihat kepada perempuan yang ingin dikahwini berdasarkan hadith:

عَنْ الْمُغِيرَة بْن شُعْبَة قَالَ : خَطَبْت اِمْرَأَة عَلَى عَهْد النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَظَرْت إِلَيْهَا ؟ قُلْت . لَا ، قَالَ : " فَانْظُرْ ، فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَم بَيْنكُمَا "

Daripada Mughirah Ibn Syu`bah: Aku bertunang dengan seorang perempuan pada zaman Nabi s.a.w. Baginda s.a.w bertanya :Adakah engkau melihatnya. Aku berkata tidak lalu Nabi saw bersabda: “Lihatlah perempuan tersebut, sesungguhnya ia boleh  mengekalkan perhubungan antara kamu berdua”.

Adapun persoalan yang diajukan berkaitan dengan melihat berulang kali. Mengikut pandangan saya ia berdasarkan kepada keperluan dan niat. Jika melihat sekali tidak  mencukupi untuk membolehkan pemilihan tersebut maka boleh dilakukan sekali lagi, sehingga tercapai maksud hadith di atas, iaitu semoga dengan melihat perempuan tersebut perhubungan kamu akan berkekalan dan kamu tidak menyesal. Sementara niat kita melihat ialah untuk membuat pemilihan. Dalam kitab al-Fiqhul Manhaji ada dinyatakan bahawa dibenarkan seseorang melihat bakal pasangannya secara berulang.

Sebagai tambahan, persoalan berkenaan dengan melihat perempuan yang ingin dikahwin mungkin  tidak begitu  menjadi masalah besar  pada masa ini,  kerana masyarakat telah berubah, terutamanya dalam masyarakat yang terbuka seperti di Malaysia.  Kaum wanita telah keluar ke dalam masyarakat, sama ada sebagai seorang pelajar atau pekerja. Bahkan mengikut statistik terbaru bilangan pelajar dan pekerja perempuan  lebih ramai  daripada lelaki. Ditambah lagi dengan  alat-alat komunikasi bertambah canggih  untuk mendekatkan perhubungan. Persoalan yang lebih besar ialah : “Adakah umat Islam mampu  mengawal perhubungan dan pergaulan mereka”?

Rujukan:
`Awn al-Ma`bud syarah hadis Abu Dawud – no. hadith 1783.

 

Disediakan oleh:
Ustaz Razali Musa
Ahli Panel MUIS

One thought on “Melihat tunang berulang kali

  • April 23, 2010 at 9:17 am
    Permalink

    Salam, Ustaz, saya kira mungkin ada baiknya jika diberi penjelasan lebih panjang terhadap persoalan yang dibincangkan terutama dalam perbincangan kitab yang dirujuk. Saya kira agak ringkas perbincanganya…
    Afwan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *