IbadahSoal Jawab

Kepentingan Solat Berjamaah

Assalamualaikum ustaz,

Saya nak minta ustaz terangkan sedikit berkenaan pernyataan dibawah iaitu:

“Kesimpulannya, hukum solat berjemaah adalah sunat muakkadah ataupun fardhu kifayah jika dilihat kepada hukumnya bagi setiap waktu sembahyang satu persatu, tetapi jika dilihat kepada hukumnya secara keseluruhan, maka hukum sembahyang berjemaah adalah fardhu ain. Ini bererti, seseorang muslim dilonggarkan untuk meninggalkan solat berjemaah sekali-sekala, tetapi tidak harus baginya untuk meninggalkannya secara berterusan, seolah-olah tidak ada sebarang ikatan antaranya dan antara solat berjemaah dan juga masjid. Kalaulah dia melakukan demikian, maka sebenarnya dia telah melakukan satu perkara yang dilarang oleh agama.

Dan berkenaan hadis Rasulullah s.a.w. mengancam untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak keluar untuk berjemaah.

Jawapan:

Mengikut kebanyakan fuqaha’, hukum solat berjemaah adalah sunat muakkadah.

Sementara Imam al-Nawawi daripada kalangan ulama Syafie mengatakan solat jamaah Fardu kifayah kepada lelaki yang bermukim tidak musafir,  kecuali solat Jumaat ia adalah fardu ain. Hukum Fardu kifayah itu berdasarkan hadis;

: ما من ثلاثة في قرية ولا بدو لا تقام فيهم الصلاة، إلا قد استحوذ عليهم الشيطان، عليك بالجماعة، فإنما يأخذ الذئب من الغنم القاصية

Terjemahan:

Setiap tiga orang  yang berada di kampung atau kawasan yang tidak melaksanakan solat (berjamaah) syaitan akan mengalahkan (menguasai dan mempengaruhi) mereka. Hendaklah kamu berjamaah, sesungguhnya serigala akan mengambil kambing yang bersendirian.

Kewajipan itu bagi menzahirkan syiar jamaah di dalam sesuatu kampung atau kawasan.

Adapun Mazhab Hanbali mengatakan solat berjamaah adalah Fadu Ain.

Berkenaan dengan hadis mengancam untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak keluar untuk berjemaah adalah satu peringatan dan amaran, kerana telah ijmak larangan membakar  orang Islam. Pada zaman Rasulullah s.a.w hanya orang munafik sahaja yang tidak berjamaah bersama Rasulullah s.a.w.

Hal ini menunjukkan kepentingan solat berjemaah wajib didirikan dalam sesuatu kawasan bagi menzahirkan syiar Islam. Kewajipan itu ditanggung secara berkelompok. Jika tidak dilaksanakan semua mereka berdosa.

Rujukan;

1) Dr Wahbah Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh.
2) Al-Iqna`
3) Islamonline

Disediakan oleh:
Ustaz Razali Musa
Ahli Panel MUIS

2 thoughts on “Kepentingan Solat Berjamaah

  • Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: "Sesiapa yang suka untuk berjumpa Allah di besok hari (qiamat) dalam keadaan muslim (selamat), maka hendaklah dia menjaga sembahyang-sembahyang fardu (dengan dilakukan berjemaah) di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada Nabi kamu sunanul huda (jalan-jalan hidayah), dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada sunanul huda. Maka jika kamu bersembahyang di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersembahyang di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat…Dan sesungguhnya kami (para sahabat) menganggap bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafiq yang jelas kemunafiqannya. Dan sesungguhnya ada seorang lelaki (di kalangan kami yang uzur) dibawa (juga untuk berjemaah) dengan dipapah oleh dua orang, (dipapah) sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf (sembahyang). [Hadis riwayat Muslim]

  • Ustaz,minta pandangan.Bagaimana pula dengan hadith2 di bawah berkenaan meninggalkan solat fardhu secara berjemaah?Adakah hukumnya masih sama walaupun terdapat ancaman2 seperti ini?
     
    Hadith 1
     
    Abdullah Bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesiapa mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya(uzur) daripada menyertai solah berjemaah maka solah yang dikerjakannya itu tidak akan diterima." Para sahabat bertanya,"Apakah uzur itu?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Takut atau sakit."
    (Hadith Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban)
     

    Hadith 2
     
    Diriwayatkan daripada Muaz bin Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda s.a.w telah bersabda,"Sungguh-sungguh zalim,kufur dan nifaq mereka yang mendengar penyeru Allah s.w.t yakni muazzin yang menyeru kepada solah tetapi mereka tidak pergi menyertai solah berjemaah.
    (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani)
     
    Hadith 3
     

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a bahawa beliau telah ditanya mengenai seorang yang berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam tetapi tidak pergi mengerjakan solah berjemaah dan solah Jumaat.Beliau menjawab,"Dia ialah penghuni neraka."
    (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *