KolumnisWanita & Kekeluargaan

Bagaimana Nikah Muta’ah Terjadi? (Siri 2)

 

…sambungan

Bagaimana Muta'ah Berlaku

Setelah melihat kedudukan dan fadhilat nikah muta'ah di sisi syiah, maka tidak hairanlah bagi penganutnya untuk mengamalkan nikah tersebut atas nama agama. Sekarang mari kita lihat bagaimana nikah muta'ah boleh berlaku dikalangan penganut syiah. Nikah muta'ah ini boleh berlaku seperti berikut:

1) Tanpa wali, tanpa saksi dan tanpa perisytiharan. (At-Thusi,
Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal. 248,249,254, An-Nihayah hal.489).

2)Di mana-mana sahaja antara seorang lelaki dengan seorang perempuan.
(Khomeni-Tahrir AL-Wasilah,j. 2 hal.292).

3) Dengan perempuan Yahudi, Nasrani, Majusi.(Khomeni- Tahrir AL-
Wasilah,j.2 hal.292) .

4) Walaupun tidak mengetahui sama ada perempuan itu bersuami atau tidak. (Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.253, An-Nihayah hal.489).
At-Tusi meriwayatkan daripada Fadhal Maula Ahmad ibn Rasyad bahawa dia menceritakan kepada Jaafar As-Sadiq a.s, "Bahawa aku telah berkahwin dengan seorang perempuan secara muta'ah. Setelah itu timbul dalam hatiku bahawa perempuan itu mempunyai suami. Maka aku menyelidiki keadaan yang sebenarnya. Tiba-tiba aku dapati memang benar dia mempunyai suami". Dia (Jaafar) berkata:"Kenapa kamu selidiki?" (Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.253).

5) Dengan perempuan dalam lingkungan umur yang tidak tertipu iaitu 10 tahun. Abu jaafar telah ditanya tentang sekurang-kurang umur perempuan yang boleh dilakukan muta'ah. Beliau menjawab, "Iaitu kanak- kanak yang tidak tertipu. Berkata perawi, "Aku pun berkata; Semoga Allah mendamaikan anakmu, berapakah minima umur perempuan yang tidak tertipu?" "Beliau menjawab, "Sepuluh tahun". (AL-Istibshar jilid 3 hal.461, Al-Furu' min Al-Kafi j.5 hal.463). 

AL-Hulli dlm kitab Fiqhnya (Syarai' al-Islam, jilid.2 hal.186) mengatakan: "Seorang gadis cerdik yang sudah baligh mengaqadkan muta'ahnya sendiri. Walinya tidak berhak membantah, samada ia masih dara atau janda."

6) Dengan bayaran mas kahwin yang tidak terlalu besar, hanya mamadai dengan segenggam gandum, atau segenggam makanan atau buah tamar, atau satu dirham bahkan kurang dari satu dirham. (Al-Furu' min Al-Kafi jilid 5 hal.457,Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.260 ).

7) Dengan perempuan tanpa had iaitu tidak terbatas sampai empat orang sahaja. Mengikut apa yang mereka riwayatkan daripada Jaafar al-Sadiq, beliau ada berkata: "Berkahwinlah dengan mereka secara muta'ah walaupun sampai 1000 orang kerana mereka itu termasuk di antara perempuan yang disewakan." (AL-Istibshar j.3 hal.147, Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.259)

8) Untuk jangka masa tertentu seperti 2 tahun, 2 bulan, sebulan, seminggu, sehari….Sekurang- kurang tempoh bagi muta'ah itu boleh dilakukan mengikut sebagaimana yang tersebut dalam riwayat dari Ali bin Muhammad al-Jawad (Imam ke 10 di sisi Syiah) bahawa beliau pernah ditanya: "Berapa lamakah sekurang-kurangnya tempoh muta'ah itu boleh dilakukan?

Adakah harus seseorang melakukannya dengan syarat sekali persetubuhan? Beliau menjawab; "Ya, tidak mengapa tetapi bila selesai (dari persetubuhan itu) hendaklah memalingkan mukanya dan tidak memandang lagi kepada perempuan itu.
(Al-Furu' min Al-Kafi j.5 hal.460, Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.267).

9) Dengan seorang perempuan berapa kali? Perempuan itu tidak haram kepada lelaki yang telah melakukan muta'ah dengannya walau berapa kali sekalipun. Ini tersebut dalam riwayat syiah dari Aban bahawa ada orang bertanya Jaafar as-Shadiq tentang bolehkah seseorang melakukan muta'ah dengan seorang perempuan beberapa kali? Jaafar as-Shadiq menjawab: "Tidak mengapa, ia boleh melakukan muta'ah dengannya seberapa kerap yang dikehendakinya" .
(Al-Furu' min Al-Kafi j.5 hal.460, Wasaailu As-Syiah, j.14 hal.480)

Satu lagi riwayat dari Jaafar as-Shadiq bahawa beliau ditanya tentang seorang yang berkahwin dengan seorang perempuan secara muta'ah; berapa kalikah ia boleh melakukan muta'ah dengannya? Jaafar as-Shadiq menjawab: "Sebanyak yang disukainya."
(Qurbul AL-Isnad hal.109, Wasaailu As-Syiah, j.14 hal.480, Al-Furu' min Al-Kafi j.5 hal.460).

10) Dengan bayaran maskahwin secara ansuran dan tidak memberi sebahagian daripada maskahwin mengikut keadaan hari atau masa keengganan perempuan tersebut bergaul dengan lelaki yang mengadakan aqad muta''ah dengannya. Misalnya mereka mengadakan aqad muta'ah untuk 10 hari dan menentukan maskahwinnya RM100.00, tetapi si lelaki bimbang perempuan yang ia lakukan muta'ah untuk 10 hari itu tidak akan memenuhi tempoh yang dipersetujui, maka bolehlah ia mengaqad muta'ah dengan bayaran maskahwin secara beransur-ansur. Jadi jika perempuan
itu hanya memenuhi kepuasan lelaki tersebut selama 5 hari sahaja, maka lelaki itu perlu membayar RM50.00 sahaja. Ini berdasarkan riwayat mereka(syiah) daripada Umar bin Hanzalah katanya; "Aku bertanya Jaafar as-Shadiq, "Bolehkah aku mengadakan aqad muta'ah dengan seorang perempuan selama sebulan dengan tidak memberikan kepada perempuan itu sebahagian daripada maskahwinnya? Jaafar as-Shadiq menjawab: "Ya, boleh. Ambillah daripadanya sekadar masa keengganannya (untuk bergaul denganmu). Jika setengah bulan ambillah separuh, jika sepertiga bulan ambillah satu pertiga."
(Al-Furu' min Al-Kafi j.5 hal.461, Wasaailu As-Syiah, jilid 14 hal.481, Biharu AL-Anwar J.100 hal.310).

….bersambung

Disiar semula dengan adaptasi:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *