Isu ‘Princemeed’ dan Penafian Alam Ghaib
Apabila timbul isu ‘Princemeed’ berkaitan pendakwaan Dybbuk Box berhantu dan sebagainya, kebanyakan komen adalah perkara ini suatu perkara tahyul NAMUN tidak terkecuali juga yang mempercayainya.
Lebih merisaukan komen-komen yang menolak 100% urusan ghaib sehingga melihatkan kehidupan manusia di atas muka bumi tiada syaitan yang akan memesongkannya, tiada jin yang mengganggu kehidupan. Berpunca daripada tindakan segelintir yang mengejar ‘view’ memperolokkan urusan ghaib.
Arah ‘trend’ sebegini jika tidak dibendung akan membawa kepada naratif alam ghaib sebagai suatu budaya semata, seolah persamaan risalah Nabi Muhammad SAW di dalam urusan dan tindakan kita hanyalah persamaan budaya tanpa sebarang faktor aqidah yang jelas dan nyata.
Akhirnya jadilah ‘trend’ yang berlaku di dalam agama kristian, hindu dan buddha dengan diterbitkan filem-filem seolah sebagai suatu ‘ibda’ (inovasi) ataupun bentuk kreativiti terhadap sesuatu budaya. Contohnya seperti perkaitan dengan syaitan di atas, maka jadilah seperti siri-drama korea “The Uncanny Counter” yang melihatkan syaitan dan urusan ghaib sebagai suatu hasil kreatif yang komikal dan tidak releven untuk dipercayai sebagai suatu aqidah bahawa di sana wujudnya tipu daya daripada syaitan.
Kita khuatir dengan sulaman Hume melalui konsep ilmu “empirical epistemology”, yang mengakibatkan manusia sendiri mula menolak secara halus bahawa apa yang dikhabarkan oleh Quran dan Hadis sebagai suatu yang tidak ilmiah.
Ia seolah-olah apabila syaitan tidak dibuktikan secara empirikal, iaitu dilihat secara berhadapan, direkodkan, dan dilakukan ujikaji secara berulang-ulang bagi membuktikan hipotesis kewujudannya, maka jin dan syaitan itu tidak wujud.
Ia akan menyebabkan kefahaman bahawa kewujudan Syaitan dilihat tidak ilmiah, seterusnya ditolak sebagai suatu ilmu yang ingin dipelajari.
Kesannya akan lahirlah sebuah generasi yang apabila diuji dengan syaitan, seperti ;
- Apabila datangnya was-was syaitan tidak mampu melawan dengan ilmu yang betul. Lantaran pelajaran berkaitannya bolehjadi pada kadar Pendidikan Islam tingkatan 5.
- Apabila syaitan merosakkan jiwa, tiada ilmu menguatkan jiwa daripada bisikan syaitan. Lantaran boleh jadi menghayati Al-Quran adalah suatu yang tidak pernah dilalui secara berterusan dan mendalam.
- Apabila diganggu melalui sihir, tidak mempunyai kemampuan untuk merawat diri, dan perlu mencari tok bomoh atau pakar ruqyah walaupun tanggungjawab menjaga diri dari gangguan syaitan asalnya adalah tanggungjawab individu.
Semua ini berpunca daripada sebuah sistem pendidikan yang akan menganaktirikan apa-apa disiplin ilmu yang tidak berasaskan “empirical epistemology” dan naratif-naratif Comte dan Kant.
Maka lahirlah aliran pemikiran yang menganggap urusan ghaib sebagai budaya, dan hilangnya unsur aqidah dan ilmiah yang sebenar daripada jiwa umat Islam.
Suatu malapetaka yang berlaku pada hari ini, walaupun umat yang sama ketika solat sering membaca Surah An-Nas kerana mudahnya untuk dibaca walaupun jauh dari kefahamannya.
“Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang biasa bersembunyi, yang membisikkan kejahatan (was-was) ke dalam dada manusia, iaitu daripada kalangan jin dan manusia” – Surah An-Nas, ayat 4-6
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Naib Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)