Memahami Malaysia Negara Islam menurut Syarak (siri 1)

PENDAHULUAN

Istilah ‘negara Islam’ adalah antara istilah syarak yang banyak dibahaskan dalam dunia Islam hari ini. Hal ini tidak terkecuali dalam perbahasan dikalangan umat Islam di Malaysia. Sesetengah pihak menyatakan Malaysia negara sekular, sebahagian lagi menyatakan Malaysia negara kafir serta sebahagian lain pertahankan Malaysia sebagai negara Islam. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk membahaskan beberapa konsep asas dalam kita memahami Malaysia sebagai sebuah negara Islam menurut perspektif syarak. Saya menggariskan tiga noktah penting yang perlu kita fahami dalam hal ini iaitu: negara Islam wajib ditegakkan, Islamnya Malaysia bukan sekadar pada kayu ukur minima syarak serta tanggungjawab Malaysia sebagai negara Islam.

NEGARA ISLAM WAJIB DITEGAKKAN

Apabila kita beriman bahawa Islam itu suatu agama yang Syumul maka perlu kita Imani ianya meliputi seluruh urusan kehidupan kita, dalaman (hati), luaran (perbuatan), individu, masyarakat sehinggalah meliputi kenegaraan. Mengabaikan peranan Islam dalam hal kenegaraan adalah satu bentuk menolak konsep kesyumulan itu sendiri yang boleh menggugat iman seseorang. Menurut Sayyid Qutb (1983) bahawa antara uslub yang digunakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bagi menggambarkan kesyumulan Islam ini adalah dengan sering digambarkan kekuasanNya yang meliputi semua perkara langit dan bumi. Antaranya firmanNya:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiadalah kami alpa akan sesuatu pun di dalam al-Kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka(untuk dihisab dan menerima balasan)”. (Surah Al-An’am: 38)

Dalam ayat ini jelas digambarkan bagaimana sebelum Allah berbicara kesempurnaan al-Quran ini, Dia mengambarkan bagaimana kekuasanNya yang meliputi seluruh isi langit dan bumi. Jadi dengan kesyumulan ini, sudah pasti Islam juga telah menggariskan konsep kenegaraan menurut Islam. Hal ini juga berasaskan asal tanggungjawab kita sebagai manusia di atas muka bumi ini iaitu menjadi khalifah iaitu mentadbir alam ini. Bagaimana mungkin kita mampu jadi khalifah tanpa kita jadi pemerintah untuk sesebuah tanah serta mempunyai manusia tunduk mengikut yang disebut sebagai negara hari ini?

Bahkan menurut Surahman Hidayat (2001) kewujudan sebuah negara Islam bukanlah sekadar berdasarkan kaedah fiqh (suatu kewajiban tidak akan sempurna, kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu tadi hukumnya menjadi wajib) yang banyak dibicarakan oleh banyak pihak, tetapi secara asasnya wujudnya negara Islam itu sendiri adalah suatu kewajipan yang perlu disempurkan seperti wajibnya solat itu sendiri. Ini jelas berdasarkan hadis Nabi SAW bagaimana Baginda meletakkan pemerintahan itu adalah sebaris dengan solat:

“Sungguh ikatan Islam akan terbuka simpulnya simpul demi simpul. Setiap satu simpul terurai maka manusia akan bergantung pada simpul berikutnya. Yang pertama sekali akan terbuka adalah pemerintahan dan yang paling akhir adalah sholat.” (Hadis riwayat Ahmad)

Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. (Surah al-Maidah: 49)

Terdapat dua pelajaran besar yang kita boleh ambil daripada ayat ini. Pertamanya arahan Allah SWT untuk menjalankan ‘hukum di antara mereka’, hakikatnya arahan ini kita tidak akan mampu laksanakan melainkan kita mempunyai kuasa kerana tanpa kuasa kita tidak akan mampu meng’hukum’ manusia. Jadi secara tidak langsung arahan ini membawa maksud umat Islam wajib mendapatkan kuasa termasuklah kuasa kenegaraan. Kedua apabila Allah SWT sebut ‘dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah’ ia bererti terdapat asas-asas kekuasaan termasuklah dalam hal negara yang telah digariskan syarak. Oleh itu ia membawa maksud bukanlah semua perkara dalam hal kenegaraan itu ijtihadi, tetapi terdapat asas-asas yang ‘telah diturunkan oleh Allah’ yang kekal dan tidak berubah (tsawabit).

FirmanNya lagi:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41)

Al-Qurtubi (2003) meriwayatkan dalam tafsirnya bahawa Sahl bin Abdullah ra apabila membaca ayat ini menyebut bahawa menunaikan amar makruf dan nahi mungkar  adalah suatu kewajipan ke atas pemerintah sesebuah negara. Ia secara tidak langsung dapat difahamai bahawa amar makruf dan nahi mungkar ini tidak dapat dilaksanakan secara sempurna melainkan dengan adanya kuasa pemerintahan.

Tindakan Nabi SAW yang mendirikan negara Islam juga adalah antara hujah wajibnya menegakkan Islam. Menurut Mahmud Helmi dalam Nizam al-Hukm al-Islami, usaha Baginda itu sudah bermula di Mekah lagi iaitu dengan dijadikan rumah al-Arqam itu sebagai pusat pemerintahan yang mengurus umat Islam di sana. Sayyid Qutb (1975) juga menyebut bahawa hijrah Habsyah, dakwah di Taif serta hijrah ke Madinah itu semuanya berasaskan untuk mendirikan sebuah negara Islam, bukan sekadar sebab lari daripada penyeksaan.

Oleh kerana perkara ini telah jelas dalam syarak dan sirah Nabi SAW, tiada siapa dikalangan ulama dahulu hinggalah hari ini yang menafikan kewajipan membangunkan negara ini. Jadi perkara ini adalah antara perkara yang disepakati (ijma’) dikalangan umat Islam. Al-Farra’ (2000)  menyebutkan iaitu saat Sahabat Nabi SAW berbincang untuk melantik khalifah pertama:

ولم يوجد من الصحابة من يقول أن هذا الأمر يصلح من غير قائم يقوم به

Bahawa tiada seorang sahabat pun menyatakan bahawa urusan ini boleh diuruskan tanpa perlu melantik orang yang menguruskannya

Ini bermaksud semua Sahabat Nabi SAW bersepakat bahawa wajib melantik pemimpin atau boleh diertikan sebagai wajib mendirikan negara dalam menguruskan urusan umat Islam. Yang mereka khilaf hanyalah pada siapa yang akan dilantik menjadi khalifah pertama. Bahkan Ibnu Taimiyah (1971) mengambarkan menegakkan negara itu adalah antara kewajipan yang besar dalam Islam:

أَنَّ وِلَايَةَ أَمْرِ النَّاسِ مِنْ أَعْظَمِ وَاجِبَاتِ الدِّينِ ; بَلْ لَا قِيَامَ لِلدِّينِ وَلَا لِلدُّنْيَا إلَّا بِهَا

Kita hendaklah mengetahui bahawa mewujudkan wilayah (negara) yang menguruskan urusan manusia adalah antara kewajipan yang besar di dalam agama. Ini kerana urusan agama dan urusan dunia tidak tertegak melainkan dengannya (wilayah)

Kata-kata ini juga jelas menunjukkan bahawa peranan pemerintah dalam sebuah negara Islam bukanlah sekadar dalam urusan dunia semata-mata. Tetapi ianya meliputi serta menghubungkan kedua unsur tersebut iaitu dunia dan akhirat.

Berdasarkan semua hujah di atas, jelas disini bahawa mendirikan negara Islam adalah kewajipan yang wajib disempurnakan oleh setiap daripada kita sebagai umat Islam. Tuduhan bahawa kononnya istilah ‘negara Islam’ tiada asas dalam syarak adalah pandangan yang langsung tidak ada asas. Terlalu banyak hujah berasaskan al-Quran, al-Sunnah, sirah Nabi SAW, ijma’ serta hujah akal sendiri yang mengambarkan perlu dan wajibnya berdiri sebuah negara Islam. Kesepakatan (ijma’) ini bukan sekadar ahlu sunnah wa jamaah semata-mata tetapi kelompok Mu’tazilah serta Khawarij sendiri mengiktiraf kewajipan berdirinya negara Islam. Jadi hujah berasaskan apa yang digunakan kelompok ini?

Jika mereka ingin bermain dengan istilah, sebutlah dengan apa sahaja istilah sama ada wilayah, dar al-Islam, dawlah Islam atau apa sahaja  tetapi mempunyai maksud yang sama iaitu wajib mendirikan sebuah negara yang ada padanya pemerintah Islam yang meletakkan syarak sebagai asas dalam pemerintah.

(akan bersambung ke siri 2)

Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Penyelidik MUIS

 

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

Abi Tib, Muhammad Sidiq bin Hasan. 1988. Al-Ibrah mimma Ja’a fi al-Ghazwa wa al-Syahadah wa al-Hijrah. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

al Juwayni, I.A.H. and bin Abd Allah, A.A.M., 1979. Ghiyath at-Umam fi Iltiyath al-Zulam. Matbaah Nahdah.

Al-Farra’, al-Qadhi Abi Ya’la. 2000. Al-Ahkam al-Sultaniyah. Dar al-Kutub al-Ilmiyah

Al-Jawziyyat, Ibnu Qayyim., 1996. Ahkam ahl al-Dhimmat. Matbaah Jami’.

Al-Mawardi, A.A.H.A., 1996. Al-ahkam al-sultaniyah wa al-wilayat al-diniyah. Dar al-Qalam.

Al-Nawawi, Yahya ibn Sharaf. 1992. Raudhah al-Talibin. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah

Al-Qurtubi, Abi Abdullah Muhd Ahmad. 2003. al-Jāmi’li Aḥkām al-Qurān. Dar al-Kotob al-‘Ilmiyah.

Al-Ramli, M.B.S., 2012. Nihayatul Muhtaj. Al-Kaherah: Maktabah Taufiqiyah.

Al-Subki, Tajuddin. 1986. Muid al-Niam wa Mubid al-Niqam. Muassash al-Kutub al-Tsaqafiyah

Dasuki, Muhammad Ibnu Arafa., 1980. Hashyatul Al Dasuki Ala Sharhi Al-Kabir.

Ghadban, Muhammad Munir. 1994. Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawi. Pustaka Mantiq, Solo.

Hai’ah al-Sham al-Islamiyyah. 2016. https://islamicsham.org/fatawa/3036

Ibn Rejab, Zain al-Din Abd al-Rahman. 1996. Fathul Bari Sharah Sohih al-Bukhari. Maktabah al-Ghuraba’

IbnTaimiyyah, A., 1971. Al-Siyasah al-Syar „iyyah fi Islah al-Ra „i wa‟ l-Ra „iyya. Dar al-Sha’ab

Quṭb, Sayyid. 1975. Fī ẓilāl al-Qurʼān. Dār al-Shurūq;

Qutb, Sayyid. 1983. Khosais Tasawur Islami wa Muqawwamatuhu. Dār al-Shurūq;

Surrahman Hidayat. 2001. Al-Taayush al-Silmi baina al-Muslimin wa Ghairahum. Dar al-Salam

Zuhaily, Wahbah., 2007. Tafsir al-munir. Intel Multimedia and Publication

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 252 access attempts in the last 7 days.