Kisah disebalik kesesatan ajaran Qadiyaniah atau Ahmadiah

Pendahuluan

Ajaran Qadiyaniah (familiar dalam kalangan melayu sebagai ajaran Qadiyani) atau juga dikenali dengan ajaran Ahmadiyah diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad pada tahun 1889 di Qadiyani, India. Perkataan Qadiyaniah disandarkan kepada sebuah kampung kelahiran Ghulam Ahmad iaitu Qadiyani. Manakala Ahmadiah pula disandarkan kepada nama pengasas ajaran ini, Ahmad.

Nama beliau Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiyani bin Mirza Ghulam Murtaza. Lahir di kampung Qadiyan, daerah Gurdaspur di Punjabi pada 13 feburari, 1839 di penghujung pemerintahan Sikh. Beliau meninggal di Lahore, 6 batu dari qadiyan, 26 mei 1908, kemudian di pindahkan ke qadiyan

Mendapat pendidikan awal dengan mengaji alquran dan bahasa arab, serta beberapa buah buku parsi. Namun tidak mengaji agama mana-mana ustaz akan tetapi hanya bergantung pada dirinya sendiri. Pada umur 17 tahun beliau belajar ilmu Nahu, Mantiq dan Falsafah secara bertalaqqi. Beliau juga belajar ilmu perubatan tradisional daripada ayahnya, Ghulam Murtaza yang merupakan seorang tabib yang mahir.

Sejarah ringkas Islam di India

Pada tahun 1009, Sultan Mahmud Al Ghaznawi telah membuka negara India dan india telah diperintah oleh muslimin. Tetapi dengan toleransi Islam, pemerintahan islam ketika itu membiarkan kaum india dengan  apa yang merka anuti (majoriti beragama buddha dan barhamiah).

Islam telah mengesani pegangan (akidah) kaum india yang belum memeluk islam sehingga wujud dalam kalangan mereka yang cuba  menggabungkan ajaran islam dengan ajaran agama  hindu. Hasil dari itu, muncul lah  Guru Nanak yang telah mengasaskan agama baru yang menggabungkan dua agama tersebut yang bernama Sikh. Agama ini berkembang di  utara india. Guru Nanak telah mati pada tahun 1838.

Inggeris datang masuk ke india membawa ajaran kristian dan dakyah mereka mengesani sebilangan besar kaum india dan juga kelompok muslimin yang lemah imannya

Kurun ke 19 disifatkan sebagai fasa krisis pemikiran di timur khususnya di india di mana pertembungan berlaku antara dua tamadun; barat dan timur dan antara 2 agama; islam dan Kristian.

Pada 1857, telah meletus reformasi India terbesar. Muslimin di India kalah dan penjajah meluaskan lagi pengaruh dan kuasanya. Kristianisasi dan athisme semakin berleluasa. Kecelaruan akidah muslimin semakin kuat. Berlaku perdebatan antara para ulama’ dan paderi Kristian. Hasilnya ulama’ muslimin menang namun selepas itu kecelaruan akidah berlaku semula.

Kemudian, jurang antara mazhab dan kelompok muslimin semakin luas. Masing-masing ingin memenangkan kelompok sendiri. Berlaku pertelingkahan sesama mereka menyebabkan kecelaruan pemikiran semakin teruk dan keyakinan masyarakat pada ulama’ semakin pudar.

Selepas itu muncul pula kelompok sufi yang terpesong. Masyarakat mula berminat dengan perkara ajaib, karamah dan ghaib serta khurafat.

Masyarakat muslim mula berputus asa, marah dan keliru. Mereka mula mencari ‘penyelamat’ yang baru dan pelik. Berleluasalah penyebaran hadith palsu berkenaan fitnah akhir zaman, pengakuan sebagai nabi, ilham serta mimpi-mimpi pelik.

Punjabi adalah kawasan terbesar melandanya krisis kecelaruan pemikiran ini dan paling lemah pegangan terhadap akidah dan keilmuan.

Dari sinilah munculnya Mirza Ghulam Ahmad (akhir kurun ke 19). Keadaan dan suasana yang sangat sesuai untuk mengembangkan pemikiran dan dakyahnya. Tambahan pula wujudnya campurtangan Inggeris dalam memberikan dorongan dan semangat.

Daripada seorang penulis kepada Al-Masih

Di Daerah Gurdaspur, Mirza Ghulam Ahmad menghabiskan waktunya dengan menelaah kitab-kitab agama. Pada tahun 1880, Mirza mula mengeluarkan tulisan-tulisannya yang majoritinya berkaitan kajian agama (Milal dan Nihal), tentang nabi isa, barhamiyah serta ariyan.

Pada zaman ini, perdebatan antara agama dan aliran-aliran berlaku dengan sangat banyak, di mana agama-agama lain ingin menyebarkan dakyah meraka dan menentang agama islam.

Mirza Ghulam Ahmad terlibat di dalam  perdebatan ini bagi  memenangkan agama islam. Beliau telah menulis sebuah kitab yang besar yang dinamakan ‘Barahin Ahmad’ yang terkandung di dalamnya jawapan-jawapan dan bukti-bukti kebenaran islam. Dari tulisan ini beliau merasakan dirinya hebat. beliau mencabar mana-mana orang yang mampu menulis seperti buku ini dengan tawaran 10 ribu rupee.

Beliau juga mendakwa bahawa beliau telah diperintahkan oleh Allah untuk menegakkan hujah islam dan bersedia memuaskan hati semua orang dengan tulisannya

Akhirnya pula beliau merasa cukup sesuai untuk membuat dakwaan luar biasa ke atas dirinya iaitu mengaku sebagai Al-Masih dan Al-Mahdi. Di sinilah bermulanya penyelewengan-penyelewengan lain yang melahirkan ajaran Qadiani ini.

Siapa Al Hakim Nuruddin?

Di sebalik kesesatan yang dilakukan oleh Mirza Ghulam Ahmad, wujud susuk tubuh yang memainkan peranan penting yang mempengaruhi Ghulam Ahmad dan dipercayai merupakan penggubal gagasan Ahmadiyah dan pencorak dalam gerakan ini. Beliau adalah Al-Hakim Nuruddin alBhairawi

Beliau lahir pada 1841 di daerah Shah Pore di punjabi. Mula berkenalan dengan Ghulam Ahmad semasa Ghulam Ahmad menetap di Sialkot dan di sana bermula hubungan mereka.

Nuruddin telah menulis sebuah buku yang bertajuk “ Tasdiq Barahin Ahmadiah” yang menyokong tulisan Ahmad “Barahin Ahmadiyah”.

Beliau telah berbaiah dengan Ghulam Ahmad dan taat kepadanya sehingga beliau membenarkan kenabian ghulam Ahmad. Beliau berkata, “kalaulah Ahmad mengaku dia pemilik syariat dan membatalkan syariat alquran, aku tidak akan menafikannya”

Beliau juga menulis buku “faslul Khitab” sebagai cadangan jawapan untuk membalas tangkasan ulama’ terhadap dakwaan Ghulam Ahmad sebagai Al-Masih

Daripada Al-Masih kepada nabi

Pada tahun 1876, ayah ahmad telah jatuh sakit lalu beliau mendakwa bahawa wahyu telah turun kepadanya mengatakan ayahnya akan mati, Di sinilah bermulanya dakwaan beliau sebagai nabi yang menerima wahyu dari ilahi.

Beliau mendapat tentangan hebat dari para ulama’. Namun beliau selamat bawah peliharaan inggeris.

Kewafatan Ghulam Ahmad

Pada tahun 1905, beliau mendakwa bahawa menerima wahyu yang mengatakan ajalnya sudah hampir. Lalu beliau menulis sebuah kitab ‘wasiat’. Namun ajalnya lewat 3 tahun dari sangkaannya. Beliau meninggal dalam siri lawatannya di Lahore.

Selepas kematiannya, pengikut ajaran Qadiyani terbahagi kepada 2 kelompok:

  1. kelompok Qadiyan. Dikepalai oleh anaknya sendiri, mirza basyiruddin muhammad.
  2. kelompok lahore. Dikepalai oleh Muhammad Ali, seorang penulis islam yang menterjemahkan alquran kepada bahasa inggeris.

 

7 perkara anda perlu tahu tentang kesesatan ahmadiyah:-

  1. Mendakwa dirinya Al-Masih dan Imam Mahdi
    • Pada 24 januari 1891, Al Hakim Nuruddin telah menghantar surat kepadanya mencadangkan supaya Ghulam Ahmad mendakwa dirinya almasih, kerana ia akan memudahkannya untuk menguasai rohani masyarakat, kepimpinan dan politik.
    • Perancangan ini diyakini akan berhasil kerana Ghulam Ahmad mempunyai ilham dan mimpi yang banyak yang dapat meyakinkan dan menundukkan masyarakat
    • Ghulam Ahmad mendakwa dia telah menemui kubur Al-Masih yang terletak di kasymir. Disebabkan itu ruh Al-Masih telah masuk ke dalam tubuhnya
  2. Mendakwa dirinya nabi
    • Mereka mendakwa wahyu turun kepada Ghulam Ahmad sepertimana diturunkan kepada anbiya’ bahkan diturunkan kepada pengikutnya juga
    • Selagi mana wahyu diturunkan kepadanya, maka dia adalah nabi.
    • Juga mendakwa beliau mempunyai darjat yang lebih tinggi dari nabi-nabi yang lain termasuk nabi muhammad SAW
    • Dakwaan ini menurut beliau tidak menafikan bahawa Nabi Muhammad sebagai (Khatimun Nabiyin) kerana beliau menafsirkan (Khatimun Nabiyin) adalah setiap nabi yang datang selepas muhammad adalah ‘khatim’ (pengakhir) kepadanya.
  1. Ghulam Ahmad mempunyai mukjizat
    • Mereka mendakwa, pelepasan ahmad dari tuduhan ke atasnya, dan selamat dari serangan awam kepadanya adalah mukjizat.
    • Mendakwa mengetahui akan berlaku gerhana bulan dan matahari sebelum ia terjadi.
  1. Mengkafirkan orang yang tidak beriman dengan risalah ahmadiyah
    • Beliau mengharamkan pengikutnya solat jenazah terhadap orang yang menentang kenabian ahmad
    • Begitu juga dengan larangan kepada pengikut wanita Qadiyaniah untuk berkahwin dengan orang yang tidak beriman kepada kenabian Ghulam Ahmad.
  1. Jihad telah dimansuhkan
    • Jihad yang dimaksudkan di sini adalah jihad perang
  2. Mendakwa pimpinan qadiyani maksum
  3. Muslimin wajib menunaikan haji di Qadiyan
    • Mendakwa bahawa yang dimaksudkan dengan Masjid Al Aqsa di dalam alquran merupakan masjid di qadiyan

 

Pimpinan Jemaah Ahmadiyah

  1. Mirza Ghulam Ahmad (tahun 1908)
  2. Nuruddin Al-Bhairawi (1908-1914)
  3. Mirza Basyiruddin Mahmud, anak Ghulam Ahmad (1914-1965)
  4. Mirza Nasir Ahmad (1965-1982)
  5. Mirza Tahir Ahmad (1982-2003)
  6. Mirza Masrur Ahmad (2003-Sekarang)

Fatwa ulama’ terhadap Ajaran Qadiyaniah

Majoriti ulama’ mefatwakan bahawa ajaran Qadiyani atau dikenali sebagai Ahmadiyah ini kufur dan bertentangan dengan ajaran islam yang sebenar. Antaranya:-

  1. Syeikh Al Azhar, Al Imam Al Akbar Syeikh Muhammad Al Khidir Husein
  2. Syeikh Husnain Mahkluf (Mufti Mesir)
  3. Syeikh Muhammad Abi Zahrah (Ulama’ Al Azhar)
  4. Saad Muhammad Al Mursofi (penyarah fakulti Hadith)
  5. Syeikh Al Azhar, Al Imam Al Akbar Jaadul Haq

Begitu juga pertubuhan-pertubuhan islam yang turut  mefatwakan bahawa ajaran ini kufur:-

  1. Ikatan Islam Sedunia (Rabithah Al-Alam Al-Islami), April 1974
  2. Muktamar Muslimin di Indonesia
  3. Majlis Al-Mujamma’ Al-Fiqhi

 

Qadiyani di Malaysia

Kedatangan ajaran Qadiani ke Malaysia dipercayai pada awal tahun 1930-an.dan penyebarnya yang pertama dipercayai Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singapura 15. Melalui pengkalannya di situ beliau menyebarkan ajaran ini. Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd. Sadiq bin Barakatullah pada 22hb. Disember 1949 sebagai wakil penyebarnya di sini.

Kemasukan ajaran Qadiani ke Malaysia ini telah ditentang hebat oleh ulama-ulama Islam. Di Jeram, Selangor ketua Qadiani di situ iaitu Syed Abdul rahman bin Syed Alwi telah meminta Sultan Selangor mengadakan penyelidikan ke atas ajaran ini pada bulan Mei 1951. Pada 23hb. Julai 1951 satu majlis perbahasan telah diadakan di hadapan baginda di Istana Selangor, Kuala Lumpur. Pihak Qadiani diwakili oleh Mohd Sadiq Barakatullah dan Mohd Zuhdi Fadhli. Pihak ulama Islam diwakili oleh Sheikh Mahmud Zuhdi dan ulama-ulama di Pejabat Agama Islam Negeri Selangor. Keputusan perbincangan ialah bahawa golongan Qadiani tidak diiktiraf sebagai golongan Islam malah terkeluar dari Islam.

Sejak berlakunya dialog antara Ketua Ahmadiah/Qadiani dengan ulama-ulama tempatan yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor dalam tahun 1951 itu, ajaran ini menjadi makin lemah dan tidak mempunyai pemimpin yang benar-benar dikenali. Lebih-lebih lagi kerana ajaran ini tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam yang sebenar. Dengan demikian, ianya tidak dapat berkembang ke seluruh negara, cuma hidup di tempat yang ia telah lahir sebelum itu.

Wallahu A’lam

Sumber

  1. فتاوى كبارعلماء الأزهر الشريف في البهائية والقاديانية, Syeikh Abu Alhasan Ali AnNadwi
  2. القاديني والقادينية دراسة وتحليل, Syeikh Abu Alhasan Ali AnNadwi
  3. تاريخ مذاهيب الإسلامية, Syeikh Muhammad Abu Zahrah
  4. http://www.islamahmadiyya.net
  5. https://ar.wikipedia.org/wiki/القاديانية
  6. Qadiyani atau Ahmadiyah Satu Ajaran, kajian Fatin Mailin

 

Ust Ismail bin Muhammad Juffri

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 405 access attempts in the last 7 days.