Pandangan Islam mengenai sambutan Hari Halloween
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Kita bersyukur kepada Allah atas hidayah-Nya yang telah menetapkan dan menempatkan kita dalam kalangan muslimin (beragama Islam) dan diberi petunjuk oleh Syariat Islam yang merupakan sebuah syariat datang membawa maslahat untuk manusia di dunia dan di akhirat tanpa ditinggalkan sedikit pun panduan dan petunjuk buat manusia.
Maksudnya : “Dan Kami datangkanmu (Wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” (An-Nahl : 89)
Maksudnya : “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Maidah : 3)
Seorang muslim perlulah beriltizam dengan apa yang telah diturunkan daripada hukum-hakam Allah s.w.t, sentiasa memikirkan dan mempersoalkan adakah perbuatannya, pertuturannya menepati kehendak Sang Pencipta-Nya di dalam syariat agama ini sebagaimana Allah s.w.t berfirman :
Maksudnya : “Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata.” (Al-Ahzab : 36)
Perkataan (الْخِيَرَةُ) di sini bermaksud (الِاخْتِيَارُ) dengan membawa maksud menghendaki selain daripada apa yang dikehendaki Allah (syariat) atau menghalang daripada apa yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya (daripada melaksanakan) perkara tersebut[i].
Orang yang bermaksiat telah meninggalkan jalan yang jelas kerana dia meninggalkan jalan yang lurus yang membawanya kepada kemuliaan Allah kepada selainnya daripada jalan-jalan yang membawanya kepada azab yang amat pedih[ii].
Ayat ini memberikan kita kefahaman bahawa apa yang disyariatkan oleh Allah melalui Al-Quran dan ar-Rasul melalui as-Sunnah hendaklah diikuti dan tiada pilihan padanya. Ia merupakan sikap seorang yang bergelar sebagai seorang mukmin. Memilih untuk bermaksiat pada Allah menempah kesesatan sedangkan jalan petunjuk yang lurus sudahpun jelas.
Sejarah Ringkas Halloween
Sambutan Holloween pada asalnya merupakan satu sambutan menyembah yang dipegang oleh para penyembah syaitan dan orang yang berpegang kuat dengan agama Nasrani menolak sambutan ini. Ia kebiasaannya disambut di barat dengan memakai kostum menyerupai hantu atau syaitan. Jika diamati kemabli sambutan ini, ia berasal dari pesta Romawi untuk menghormati dewi Pomona, dewi buah-buahan dan biji-bijian.
Para ahli sejarah menganggap ia adalah merupakan sebuah perayaan/festival “Samhain” yang disambut oleh bangsa ‘Celtic’ yang lama daripada Ireland. Kata “Samhain” berasal dari bahasa Ireland Lama yang bermaksud “akhir musim panas”, yang menandai berakhirnya musim panas dan awal musim dingin. Hari “Samhain” ini adalah merupakan hari pertama tahun baru bagi mereka. Sebagaimana mereka beriktikad bahawa ia adalah hari di mana roh-roh orang yang dah mati tahun tersebut dibenarkan untuk kembali semula ke bumi.
Di barat, orang Kristian akan menyambutnya dengan mengumpul makanan bagi pesta Samhain dan kadang-kadang mengenakan kostum ketika melakukannya. Halloween juga dipengaruhi hari-hari suci umat Kristian dari All Saints ‘Day yang dirayakan setiap 1 November. Ini adalah hari perayaan untuk menghormati orang-orang kudus dan hari untuk berdoa bagi yang baru meninggal. Hari All Saints diperkenalkan tahun 609M, namun pada awalnya dirayakan pada 13 Mei. Pada 835M, harinya beralih ke tanggal 1 November atas perintah Paus Gregorius IV.
Dahulu kala, Gereja Kristian merayakan peringatan hari ”All-Saints” atau ”All-Hallows” ini pada waktu siang hari 31 Oktober, dan pada malamnya mereka merayakan ”Hallows-Eve” (Malam Suci/Keramat) atau ”Halloween”. Orang Kristian mengambil beberapa warisan penyembahan dengan tetap meyakini bahawa pada malam tersebut, orang-orang mati berjalan diantara mereka dan para penyihir terbang berkeliaran di tengah-tengah mereka dan mereka memasang lilin di dalam labu, memakai kostum seperti hantu untuk menjauhkan (menakutkan) para roh yang jahat ini daripada mendekati mereka.
Pada akhir kurun ke 19, para penganut agama Nasrani yang berpegang kuat dengan akidah mereka mula menolak perayaan ini disebabkan oleh beberapa nama Tuhan yang dipercayai oleh orang yang menymbut perayaan ini dinisbahkan kepada roh-roh yang asalnya adalah merupakan kepercayaan para penyembah syaitan yang dianggap kuat dan jahat[iii].
Pendirian Syariat dan Kaum Muslimin terhadap Perayaan Ini
Mengenai perayaan Halloween dan perayaan-perayaan keagamaan yang semisalnya dengannya para ulama’ telah pun mengeluarkan fatwa berkenaan dengannya. Dan jelas untuk menyambutnya, meraikannya secara suka-suka atau sengaja adalah haram hukumnya.
Pendirian kita terhadap perayaan ini dan semisalnya dibina di atas beberapa asas dan perkara penting :
- Larangan menyerupai orang kafir terutamanya di dalam perayaan keagamaanIni berdasarkan sabda baginda s.a.w secara jelas :
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ»
Yang bermaksud : Daripada Ibnu Umar beliau berkata, telag bersabda Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dalam kalangan mereka.”[iv]
وَقَالَ الْقَارِي : أَيْ مَنْ شَبَّهَ نَفْسه بِالْكُفَّارِ مَثَلا مِنْ اللِّبَاس وَغَيْره , أَوْ بِالْفُسَّاقِ أَوْ الْفُجَّار أَوْ بِأَهْلِ التَّصَوُّف وَالصُّلَحَاء الأَبْرَار ( فَهُوَ مِنْهُمْ ) : أَيْ فِي الإِثْم وَالْخَيْر .
Berkata Al-Qari (sebagai komentar terhadap hadis di atas) : Iaitu barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan orang kafir seperti contoh di dalam pakaian dan selainnya, atau orang fasiq, atau orang yang berdosa,atau ahli tasauf dan orang yang baik dan orang yang jujur (maka dia adalah daam kalangan mereka) : iaitu di dalam dosa ataupun kebaikan.
Larangan ini memberikan isyarat agar kita sebagai seorang Islam untuk berhenti daripada menyerupai orang kuffar dan merayakan hari perayaan mereka. Ia adalah merupakan larangan qat’ie untuk menyerupai mereka apatah lagi di dalam upacara keagamaan mereka yang lebih khususnya upacara keagamaan mereka yang menyembah berhala atau syaitan ini. Walaupun pada hari ini sebahagian mereka menganggap dan mengatakan bahawa Halloween sudah tidak ada hubungannya dengan penyembahan Syaitan, namun ia tidak mengubah hukum asalnya kerana asal perayaan ini adalah upacara penyembahan syaitan yang membawa unsur syirik dan bercanggahan dengan prinsip asal akidah Islam.
- Haram merayakan perayaan orang musyrik
Yang bermaksud : “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya.” (Al-Furqan : 72)
Mujahid, ar-Rabi’ bin Anas berkata : (yang dimaksudkan dengan (الزور) di dalam ayat ini adalah hari perayaan orang musyrikin.
Ibnu Taimiyah menjelaskan kembali : “Adapun perayaan orang musyrikin maka ia mengumpulkan syubhah dan syahwat. Ia adalah batil, tidak ada manfaat padanya di sisi agama. Adapun yang padanya kelazatan yang segera, maka akibatnya kesengsaraan. Maka jadilah ia sebuah penipuan .(زورًا”
Ibnu Taimiyah menyambung : “Sekiranya Allah memuji perbuatan menyaksikan (شهود) yang bermaksud hanya menghadiri dengan melihat atau mendengar. Maka bagaimana pula dengan bersetuju dengan menambahkan lagi daripada (persetujuan tersebut) amal iaitu mengamalkannya, bukan hanya melihat?[v]”
Disokong juga oleh banyak hadis Nabis s.a.w yang menegah merayakan hari raya orang musyrik dan jahiliyyah dan menganggap ia sebagai maksiat sepertimana kisah sahabat yang bernazar ingin menyembelih di Buwanah (tempat berdekatan dengan Mekah).
Juga disokong ijma’ dengan bukti bahawa Yahudi dan Nasrani serta Majusi masih lagi meneap di dalam negara Islam dengan jizyah serta mengamalkan perayaan mereka. Akan tetapi tidak ada dalam kalangan salafusoleh yang menyertai perkara tersebut. Maka sekiranya tidak ada ada halangan yang menahan diri yang berbentuk makruh dan tegahan daripada perkara tersebut, sudah tentu akan berlaku perkara tersebut begitu banyak sekali. Juga bukti-bukti lain yang jelas menunjukkan larangan merayakan perayaan orang musyrik.
Halloween adalah sebahagian daripada perayaan yang dirayakan asalnya oleh kaum penyembah berhala daripada bangsa celtic. Merayakan sebuah perayaan yang berunsur syirik adalah haram di sisi Islam. Sebagaimana telah jelas disebutkan pada dalil di atas.
Wallahua’alam bis sowab.
Ust Luqman Afifi
Ahli Majlis Ulama ISMA Jordan
[i] Imam al-Baghawi, Tafsir Al-Bahgawi, 3/641, Dar Ihya’ At-Turath al-Arabi – Beirut
[ii] Abdurrahman as-Sa’di, Tafsir As-Sa’di, muka surat 665, Muassasah ar-Risalah
[iii] Diringkaskan dan dipermudahkan daripada beberapa sumber.
[iv] Hadis Hasan Sahih oleh al-Bani, Sunan Abu Daud 4/44
[v] Ibnu Taimiyyah, Iqtidho’ as-Sirot al-Mustaqim, m/s 231, Dar Ibnu al-Haitham – Kaherah