Maqasid Syariah dipandu wahyu, bukan hawa nafsu

maqasid khamsah

Istilah Maqasid Syariah menjadi suatu fenomena baru dalam masyarakat Malaysia, bukan sahaja dari kalangan umat Islam namun juga selainnya. Sesiapa sahaja hari ini menyebut mengenai maqasid, dan mengaitkan apa sahaja perkara dengan maqasid. Hakikatnya perbincangan mengenai Maqasid Syariah adalah suatu perkara yang besar, ia memerlukan kepada penelitian dan penguasaan ilmu-ilmu usul sebelumnya.

Maqasid merupakan suatu ilmu untuk mencari rahsia ‘kehendak’ Allah s.w.t. dalam mensyariatkan sesuatu perkara. Dr Ahmad Al-Raisuni menyebut bahawa Maqasid Syariah bermaksud:

هي المعاني والغايات والآثار والنتائج التي يتعلق بها الخطاب الشرعي والتكليف الشرعي ويريد من المكلفين السعي والوصول إليها

“Ia adalah makna-makna, matlamat , kesan dan natijah yang berkaitan dengan al-khitab as-syar’ie (ketentuan syarak) dan juga al-khitab at-taklifi (ketentuan terhadap mukallaf), yang dikehendaki dari mukallaf untuk mencari dan sampai kepadanya.” [1]

Dalam kitab Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah, Imam Ibn ‘Asyur menerangkan bahawa terdapat tiga sumber utama dalam menentukan maqasid syariah bagi sesuatu perkara iaitu :

  1. Sumber yang paling penting adalah istiqra’ iaitu analisis konduktif terhadap syariah itu sendiri pada komponen-komponennya.
  2. Penelitian dalil-dalil Al-Qur’an yang jelas maknanya serta lemahnya kemungkinan dalam membawa maksud yang lain.
  3. Penelitian Sunnah yang mutawatir. [2]

Menentukan maqasid bagi sesuatu perkara bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan dibuat secara suka-suka, ia memerlukan kajian yang mendalam dan analisis konduktif terhadap sesuatu isu yang ingin ditentukan maqasidnya, dan tidak boleh dipisahkan dari berinteraksi dengan nas-nas yang sohih yang diambil secara keseluruhan dan bukan dipilih-pilih. Ia adalah kajian yang menyeluruh terhadap syariah itu sendiri.

Imam As-Syatibi dalam kitab Muwafaqat membahagikan tiga golongan yang mempunyai perspektif terhadap Maqasid Syariah :

  1. Sebahagiannya mengatakan : Kita tidak akan mengetahui Maqasid Syariah melainkan terdapat nas yang memberitahu. Golongan ini hanya melihat pada zahir nas (tersurat) sahaja.
  2. Sebahagian lain pula mengatakan bahawa Maqasid Syariah tidak dilihat dan difahami daripada zahir tetapi maqasid itu adalah perkara yang tersirat di sebalik nas, dan ia terpakai pada seluruh syariat Islam. Ini adalah pandangan golongan yang berniat untuk menghapuskan syariah.
  3. Berkata sebahagian yang lain : Maqasid itu diambil kira kedua-duanya (yang tersirat dan tersurat) dengan tidak meninggalkan makna yang terdapat pada nas secara zahirnya dan juga yang tersirat disebaliknya. Inilah yang diambil oleh kebanyakan ulama’. [3]

Pemahaman terhadap Maqasid Syariah mestilah berpandukan wahyu melalui kajian mendalam dan bukannya hawa nafsu. Dr Ahmad Al-Raisuni menyebut dalam kitabnya Mukhadarat fi Maqasid As-Syariah :

كل ما لا نجده ولا نجد أصله في الكتاب والسنة، فليس من مقاصد الشريعة في شيء

“Setiap perkara yang tiada dan tiada asalnya dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka tiada padanya Maqasid Syariah langsung” [4]

Maqasid tidak boleh ditentukan dengan hanya memetik beberapa ayat Al-Qur’an atau hadis yang mengikut selera seseorang. Hari ini maqasid dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk menghalalkan tindak tanduknya walaupun bertentangan dengan nas, atas nama maslahat dan ‘maqasid’.

Kesimpulannya hendaklah kita jujur dengan disiplin ilmu apabila mengatakan mengenai maqasid dan menentukannya berdasarkan kaedah-kaedah syarak yang ditetapkan. Akhirnya maqasid itu adalah kehendak Allah yang cuba difahami bukannya kehendak hawa nafsu yang ingin dituruti.

Kalaulah maqasid ini adalah berdasarkan hawa nafsu maka kita tidakan akan namakannya Maqasid Syariah tetapi disebut sebagai Maqasid Ahwa’ (maqasid hawa nafsu).

 

Ustaz Ahmad Nu’man bin Mazlan

Ijazah Sarjana Muda Kepujian Syariah, Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Yarmouk

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

[1] Al-Raisuni, Madkhol Ila Maqasid As-Syariah, hlm 10.

[2] Ibn ‘Asyur, Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah, hlm 18-21.

[3] As-Syatibi, Al-Muwafaqat, Jil 2 hlm 248.

[4] Al-Raisuni, Mukhadarat Fi Maqasid As-Syariah, hlm 39.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *