Mengapa umat Islam di Malaysia tegas menolak SIS dan IRF?

irf-sis

Golongan Islam liberal pada hari ini mempersoalkan tindakan umat Islam di Malaysia yang secara tegas menolak kefahaman yang dibawa oleh Sisters in Islam (SIS), Islamic Renaissance Front (IRF) serta yang berfahaman selari dengan kelompok ini. Mereka menyebut umat Islam di Malaysia sepatutnya terbuka untuk menerima kepelbagaian mazhab serta melihat kewujudan IRF dan SIS dalam kerangka tersebut. Bagi mereka seperti mana ulama terdahulu mengiktiraf kewujudan pelbagai mazhab begitu juga umat Islam di Malaysia hendaklah menerima kefahaman yang cuba dibawa oleh SIS dan IRF ini.

Hakikatnya pandangan ini jelas menunjukkan mereka tidak memahami Islam yang sebenar. Islam yang indah seperti yang diturunkan kepada Baginda SAW serta yang dijelaskan oleh salafussoleh dan ulama selepas itu jauh daripada apa yang mereka perkatakan. Suatu sistem yang hadir untuk mengangkat martabat manusia dengan tunduk patuh kepada Yang Maha Kuasa.

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُ‌ۗ

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali-Imran: 19)

Pada satu sudut, benar bahawa Islam itu menerima kepelbagaian dan melihatnya sebagai suatu rahmah. Bahkan ketika Islam itu diturunkan, dunia pada waktu itu hidup dalam kegelapan yang melihat kepelbagaian itu sebagai satu bala serta ancaman, Islamlah yang mula memperkenalkan serta mengajar kepada manusia akan keindahan kepelbagaian.

Kisah sahabat yang bebas berijtihad berdasarkan kepada kata-kata Rasulullah SAW berkenaan dalam kisah Bani Quraizah jelas menunjukkan kedudukan perkara ini. Rasulullah sendiri yang membuka sebarang pandangan ketika perang Badar, Uhud, Khandak dan banyak lagi menjadi bukti bagaimana Baginda menerima peranan akal serta mengiktiraf kepelbagaian. Inilah juga yang diamalkan dan difahami oleh sahabat RA serta salafussoleh dan ulama selepas itu.

Namun pada satu sudut lain yang gagal difahami oleh kelompok ini adalah ruang lingkup kepelbagaian dalam syarak itu terhad. Ianya bukan bersifat terbuka menyeluruh pada maksud semua perkara dalam Syariat Islam boleh  dikhilafkan. Ada bahagian yang boleh dikhilafkan (selisih) serta ada bahagian lain yang mesti diitifaq (sepakati).

Ibnu Ishak menceritakan sebuah kisah ketika sebelum peperangan Badar, seorang sahabat bernama al-Habab bin al-Munzir telah lama memahami bahawa kepelbagaian itu mempunyai sempadan lalu bertanya pada Rasulullah SAW:

يا رسول الله، أرأيتَ هذا المنزل، أمنزلًا أنزلكه الله ليس لنا أن نتقدمه، ولا نتأخر عنه، أم هو الرأي والحرب والمكيدة؟

“apakah kawasan yang kita bertempat sekarang ini suatu yang sudah ditunjukkan oleh Allah hingga tidak boleh kita maju atau ke belakang selangkah pun? Atau apakah ianya sebagai pemilihan strategi dan taktik?

Mereka faham bahawa jika ini adalah wahyu yang jelas maka yang dituntut pada kita hanyalah patuh dan taat. Mereka juga Imani tiada ruang untuk kepelbagaian pada perkara yang disebut dengan terang oleh wahyu.

Kefahaman ini tidak terhad sekadar menyatakan Aqidah adalah perkara yang diitifaq maka perkara fiqh boleh dikhilafkan tetapi kefahaman ini menjangkaui ruang pembahagian tersebut. Sebab itulah dalam usul fiqh sesuatu dalil itu akan dilihat pada dua perkara iaitu keabsahan(tsubut) dalil tersebut dan juga apa yang dikehendaki daripada dalil itu (dilalah). Kemudian dua perkara itu dinilai pada perspektif adakah ianya qatie (muktamad) atau zonni (sangkaan).

Jadi perkara yang qatie tsubut seperti bersumberkan daripada Al-Quran atau hadis Sohih serta qatie dilalah iaitu jelas apa yang ingin dimaksudkan maka perkara tersebut tidaklah boleh untuk kita khilaf. Khilaf pada perkara tersebut diistilahkan sebagai khilaf ghairu muktabar (perselisihan yang tidak diiktiraf syarak).

Dr Yusuf Al-Qardawi menyebut dalam buku beliau as-Siyasah al-Syariyyah (hlmn 165) bahawa:

Inilah perkara yang diijmakkan oleh seluruh ulama usuliyyun bahawa yang dimaksudkan dengan ruang ijtihad adalah: Pada perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam dalil qatie, maka ruang ijtihad hanya pada perkara zonni sahaja. Sebab itulah apabila ulama menyebut ijtihad maka ianya hanya merangkumi ijtihad daripada ahlinya pada tempatnya. Ahlinya adalah orang yang mencukupi syarat untuk berijtihad dan ahlinya adalah pada perkara zonni.

Kebanyakkan perkara yang tidak boleh dikhilafkan ini banyak berkait dengan perkara Aqidah namun tanpa menafikan adanya sebahagian perkara itu wujud didalam Fiqh. Hal seperti aurat rambut wanita yang membawa wajib pakai tudung, pelaksanaan undang-undang hudud, kewajipan solat 5 waktu, pembahagian harta pusaka, pemimpin utama Negara dikalangan orang Islam dan lain-lain adalah antara perkara yang tidak boleh dikhilafkan kerana ianya bersumber daripada dalil qatie tsubut dan qatie dilalah.

Maka apabila kita memahami akan perkara ini, kita akan jelas mengapa umat Islam di Malaysia hari ini bersungguh menolak fahaman yang dibawa oleh SIS dan IRF. Ini kerana kepelbagaian yang cuba dibawa oleh mereka sudah menjangkaui ruang lingkup yang dibenarkan oleh Syarak. Perjuangan mereka yang menyeru bahawa rambut bukan aurat, murtad adalah dibenarkan oleh Islam, bukan Islam boleh memimpin Negara Islam, hudud tidak wujud dalam syarak dan banyak perkara lagi jelas menunjukkan yang mereka serukan itu jelas bertentangan dengan perkara yang tidak diterima khilaf padanya.

Syiekh Muhamad Abu Zahrah menyebut dalam karangannya kitab Usul Fiqh (hlmn 277):

Masalahat (pandangan akal) seperti yang engkau saksikan tidak mempunyai kedudukan pada nas qatie iaitu qatie pada sumber (Al-Quran atau Hadis) serta qatie pada dilalah (apa yang dimaksudkan).

Penolakan kepelbagaian seperti ini bukanlah suatu perkara yang baru, atas asas inilah ulama dahulu menolak fahaman aqidah Syiah, fahaman usul khamsah Muktazilah, fahaman pemimpin yang dipegang Khawarij dan pelbagai kelompok lain lagi. Mereka ini bertindak sama dengan IRF dan SIS yang wujud hari ini iaitu melanggar perkara yang tidak boleh dikhilafkan dalam Syariat Islam.

Kepelbagaian atau khilaf dalam Syarak ini perlu difahami dengan betul, ianya tidak mudah untuk kita berkata sebarang perkara berkaitan syarak lalu kita menyatakan pandangan ini berdiri atas kepelbagaian. Kerana kepelbagaian syarak itu hanya berdiri pada perkara yang tidak disebut secara jelas (zonni) serta apabila disandarkan kepada hujah yang kukuh.

Jika kepelbagaian itu adalah seperti yang dimaksudkan kelompok Islam liberal maka sudah tentu agama ini akan berjalan mengikut hawa nafsu manusia.

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّ‌ۚ

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya  (Al-Mukminun:71)

daus

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 808 access attempts in the last 7 days.