Maqasid Syarak selamanya tidak akan bertentangan dengan Nas

ust hazizi_2

BANGI 29 September- Kefahaman kita terhadap Maqasid Syarak hendaklah berpandukan dengan sumber utama nas syarak itu sendiri iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

“Ulama besar dalam Maqasid seperti As Syatibi dan Ibnu Asyur  meletakkan cara pertama dalam memahami Maqasid Syarak adalah dengan melihat kepada nas kerana nas itu selamanya tidak akan terbatal”

Ust Hazizi Abd Rahman, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkata demikian semalam sebagai mengulas keadaan suasana hari ini dimana-mana masyarakat bermudah-mudah berhujah dengan maqasid.

Ujar beliau lagi setelah seseorang itu melihat secara menyeluruh nas Quran dan As-Sunnah maka selepas itu dia hendaklah melakukan istiqra'(analisis induktif) secara menyeluruh perkara-perkara hukum hakam dalam syarak supaya dia dapat gambaran tentang tujuan syarak itu sendiri.

“Maka apabila semua perkara itu telah dilakukan barulah seseorang itu boleh berbicara soal berhujahkan Maqasid Syarak” tegasnya.

Tambah beliau sebahagian manusia pada hari ini bermudah-mudah dan adakalanya pelik, baca Al-Quran pun belum lancar, tafsir pun tidak pernah dibelek tetapi mahu bercakap soal maqasid syarak.

“Syarak itu datang untuk membawa manusia kepada maslahat serta jauh daripada mafsadah maka sudah tentu selamanya nas tidak akan bertentangan dengan Maqasid Syarak.”

Beliau berkata demikian dalam satu sesi kelas bulanan anjuran Majlis Ulama ISMA yang bertajuk “Maqasid Syarak dalam memahami Pluralisme di Malaysia”.

“Masyarakat awam perlu memahami gambaran umum tentang maqasid dengan betul bukan untuk digunakan tetapi untuk menilai setiap hujah maqasid yang timbul dengan benar”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *