Minda PengerusiUtama

Kita menolak pemimpin yang tiada kesetiaan

jata negara

Kesetiaan kepada agenda agama dan negara  adalah perkara yang dituntut oleh syarak. Pemimpin yang hendak dipilih mestilah terbukti kesetiaannya kepada memenangkan agenda Islam dan setia mempertahankan negara dari agenda pihak-pihak asing dan musuh negara. Seorang Muslim yang baik sentiasa membuktikan bahawa beliau berupaya mempertahankan agama, setia berpegang dengan agama dan mempertahankan tali Allah (Islam). Firman Allah :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103)

 “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya” (Ali Imran : 103)

Kesetiaan kepada negara adalah satu sikap patriotik yang bertepatan dengan ajaran Islam. Sejarah mengajar bagaimana sikap kesetiaan kepada negara sangat penting dan dipuji oleh agama.

Kisah yang berlaku kepada seorang sahabat Nabi yang bernama Kaab Bin Malik wajar dijadikan teladan. Kaab bin Malik telah dipulaukan oleh masyarakat Islam di Madinah kerana kesalahan tidak menyertai perang Tabuk. Di saat beliau kesunyiaan dan bersendiriaan kerana di pulau oleh sahabat-sahabat yang lain, datanglah utusan dari raja Ghassan yang cuba untuk  membeli kesetiaan beliau.

Bagaimanapun Kaab adalah seorang muslim yang setia kepada masyarakatnya, tidak mungkin beliau mengkhianati Rasulullah dengan berpaling tadah kepada negara Kristian milik Raja Ghassan. Lantaran itu , tawaran istimewa dari raja Ghassan telah ditolak mentah-mentah oleh Kaab kerana ia menganggap tawaran tersebut sebagai “bencana” dan terus membakar surat tawaran tersebut.

Sebaliknya kisah seorang lagi sahabat perlu kita jadikan sempadan iaitu kisah Hatib bin Abi Balta‘ah. Kisah Hatib bin Abi Balta‘ah memberi pengajaran terhadap bahaya khianat kepada agenda dan perancangan Islam.  Ketika Rasulullah S.A.W bersama kaum Muslimin bersiap sedia menjelang “Fathu Mekah”, Hatib bin Abi Balta’ah telah mengutus surat kepada penduduk Mekah untuk memberitahu mereka tentang perancangan Rasulullah tersebut. Hatib menyatakan kepada mereka “Sesungguhnya Muhammad ingin memerangi kamu, maka hati-hatilah kamu sekalian”.

Perbuatan Hatib ini telah diketahui oleh Rasulullah melalui wahyu dan surat beliau berjaya dipintas dari sampai ke tangan orang Quraisyh Mekah. Bagaimanapun perbuatan beliau telah diampunkan oleh Rasulullah kerana status beliau sebagai seorang ahli perang Badar. Sehubungan dengan itu Allah telah menurunkan wahyu :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِنْ كُنْتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنْتُمْ وَمَنْ يَفْعَلْهُ مِنْكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ (1)

 “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w.) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredhaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.” (Al-Mumtahanah: 1)

Ayat di atas menegaskan bahawa dalam apa jua situasi, Islam tidak membenarkan kita mengambil orang-orang kafir sebagai pemimpin yang kita lahirkan perasaan kasih sayang, apatha lagi untuk kita berikan bantuan, sokongan dan pertolongan.  Ayat ini tetap diturunkan Allah, walaupun Hatib bin Abi Balta‘ah memberikan alasan bahawa dia bukan ingin menolong dan membantu kaum musyrikin Makkah, sebaliknya dia mahu mereka melindungi keluarganya dan melindungi harta benda orang Islam yang ditinggalkan apabila berhijrah.

Islam adalah agama yang berdiri di atas wala’ (pertalian kasih sayang, tanggungjawab dan taat setia) dan intima’ (penggabungan diri). Umat Islam, setengah mereka adalah wali kepada setengah yang lain. Setiap individu dan jamaah berintima’ (bergabung) kepada kelompok umat yang besar. Al-Quran telah menjelaskan tali perhubungan antara umat Islam:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آَمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55)

 Sesungguhnya Penolong kamu ialah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat dalam keadaan mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah). (al-Maidah : 55)

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Taubah ayat 71;

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (71)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta mentaati Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.   

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Maidah ayat 56;

وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آَمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (56)

 Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu sebagai penolongnya (maka berjayalah dia) kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah itulah yang tetap menang.

Hubungan wala’ dan intima’ inilah yang menjadi asas kepada pembentukan negara Madinah. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 72:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَـٰهَدُواْ بِأَمۡوَٲلِهِمۡ وَأَنفُسِہِمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ بَعۡضُہُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يُہَاجِرُواْ مَا لَكُم مِّن وَلَـٰيَتِہِم مِّن شَىۡءٍ حَتَّىٰ يُہَاجِرُواْ‌ۚ وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيۡڪُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۭ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَہُم مِّيثَـٰقٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬ (٧٢(

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.

Jelaslah di sini bahawa sikap taat setia kepada agenda dan perjuangan Islam serta negara adalah perkara sangat asas namun tersangat penting yang perlu ada dalam jiwa pemimpin-pemimpin kita. Hanya mereka yang mempunyai ciri-ciri ini sahaja layak menjadi pemimpin.

Dalam situasi hari ini, di mana agenda Islam ditentang hebat oleh golongan liberalis dan sekularis, umat Islam perlu memastikan bahawa pemimpin yang mereka angkat berupaya mempertahankan kedudukan Islam di negara ini. Kedudukan istimewa Islam sebagai agama persekutuan perlu dipelihara sebagai punca kuasa kedudukan istimewa agama Islam di negara ini.

Umat Islam sepatutnya bersepakat dalam menolak individu dan parti yang cenderung kepada agenda asing dan mudah tunduk dengan tuntutan orang asing kerana mereka itu tidak ada sifat kesetiaan.

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pegerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) 
 
—————————————
Daftar sekarang! Simposium Pemikiran Politik Islam: Gagasan Pemikiran Politik Islam Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah Dalam Realiti Malaysia.
daftar online: http://bit.ly/sppimuis
maklumat lanjut: http://muis.org.my/simposiumpolitikislam/

One thought on “Kita menolak pemimpin yang tiada kesetiaan

  • shafiq Labu Besar

    Info yg berguna utk semua golongan….
    Teruskan memperjuangkan agama islam…

Leave a Reply