KolumnisUtama

Berjimat cermat di dalam bulan Ramadan dan Syawal

masyrkaat

Ramadhan datang lagi menjengah kita dengan sejuta kelebihan dan keberkatan. Bagi mereka yang saban tahun menantikan kehadiran Ramadhan, pastinya merasa sangat gembira serta melonjak-lonjak kegirangan dengan kemeriahan yang akan dilalui pada bulan pesta ibadah ini. Bulan yang penuh dengan ganjaran serta rahmat Allah swt kepada semua hambanya yang melaluinya dengan penuh ketaqwaan dan pengharapan kepada kurniaan Allah. Sudah pasti, masa-masa yang dilalui pada bulan ini merupakan masa yang sangat berharga bagi mereka yang mendambakan keberkatannya.

وَ نُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَ رَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَ لَا يَزِيْدُ الظَّالِمِيْنَ إِلَّا خَسَارًا

 “Dan Kami turunkan Al-Quran (Sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, sedangkan bagi orang-orang yang zalim hanya akan menambah kerugian.” (QS Al-Isra’ : 82)

Bulan yang diturunkan al-Quran, yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin. Ibadah dan amalan kebaikan di bulan Ramadhan disusuli dengan kebesaran mukjizat al-Quran yang diturunkan membawa kebaikan rahmat melimpah ruah kepada orang mukmin manakala kerugian yang jelas bagi mereka yang zalim dan menzalimi diri sendiri.

Menzalimi diri sendiri dengan melakukan pembaziran adalah satu bentuk kerugian yang dilalui oleh seorang Muslim di dalam kehidupannya terutama sekali di dalam mengharungi kemuliaan bulan ini. Sekadar sorotan bersama, akhbar melaporkan sebanyak 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31 %. Manakala, sehingga September 2013 sebanyak 16,306 orang diisytiharkan bankrap dan jumlah kes tersebut terus meningkat setiap tahun. Dari 2007 hingga September tahun ini pula, seramai 116,488 orang diisytiharkan bankrap. Fakta-fakta ini adalah secara umum keterlibatan masyarakat khususnya golongan bekerja di dalam pengurusan hutang terutama sekali kad kredit. Namun, ada relevannya dengan budaya jimat dan cermat ketika bulan perayaan ini kerana berkemungkinan akan menjadi penyumbang kepada sebahagian angka-angka yang disebutkan.

Berjimat-cermat bukan bermaksud tidak dibenarkan berbelanja, tetapi perlu dititikberatkan adalah tatacara dan kaedah yang  tepat untuk berbelanja secara berhemah. Bulan Ramadhan umpamanya, pelbagai juadah dan aneka jenis makanan dihidangkan terutama sekali di bazar-bazar untuk dinikmati ketika berbuka puasa. Tidak kurang juga bufet Ramadhan yang ditawarkan di hotel-hotel dan sebagainya. Jika kita lupa dan alpa, sudah pasti pembaziran akan berlaku secara berterusa. Pembaziran bukan sahaja dari sudut kewangan kerana membelanjakan wang kita untuk juadah berbuka tersebut, ditambah pula dengan pembaziran makanan yang berlebihan akibat daripada nafsu makan yang tidak dikawal. Seharusnya, Ramadhan mendidik nafsu manusia untuk tunduk dengan segala godaan, namun akhirnya tewas di saat berbuka puasa.

Hari raya adalah hari kegembiraan bagi semua umat Islam yang berpuasa, meraikan kemenangan melawan godaan nafsu dan ketaatan kepada perintah Allah swt. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk berbelanja untuk menyambut ketibaan hari kemenangan tersebut. Hakikatnya, kewangan yang dibelanjakan untuk sambutan hari raya boleh menjadi satu bebanan kepada kita jika tidak dirancang dengan baik. Perancangan untuk perbelanjaan dan barang yang diperlukan akan membantu kita lebih berhemah di hari raya. Surah al-Isra’ ayat 27, Allah swt berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Bagaimana hanya dengan membazir, kita boleh menjadi saudara Syaitan? Sedarilah bahawa dalam diri Syaitan adanya sifat takabbur, meninggi diri. Manakala perbuatan membazir itu biasanya didasari oleh perasaan merasa mempunyai kelebihan, jika membazir pun tiada apa-apa yang terkurang padanya. Perasaan itu jika dibiarkan boleh menghampiri kepada sifat meninggi diri yang sangat dilarang.

Beberapa cadangan supaya kita lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan perbelanjaan kita tidak melebih keperluan yang sepatutnya, di antaranya:

1. Azam berjimat

Terutama ketika bulan Ramadhan ini. Kebiasaannya kita akan berazam untuk mencapai berat badan yang ideal ketika bulan Ramdhan, tetapi tidak pernah berazam untuk berjimat ketika bulan ini. Contohnya, untuk setiap pembelian juadah atau apa sahaja, kita berazam untuk tidak melebihi bajet RM 10.

2. Merancang perbelanjaan harian

Perancangan boleh dilakukan secara harian atau bulanan. Bagi bulan perayaan contohnya, seharusnya kita membuat perancangan awal segala persiapan dan menyenaraikan barang-barang yang menjadi keperluan sahaja untuk dibeli untuk mengelakkan berlebihan di dalam perbelanjaan.

3. Berbuka dan bersahur secara berpatutan

Sekali sekala mungkin boleh diterima untuk merasai berbuka puasa di hotel atau dengan juadah yang agak mahal, tetapi adalah lebih baik jika berbuka di rumah atau di masjid kerana dapat berjimat malah lebih baik lagi dapat menjaga solat maghrib yang seringkali dilupai akibat leka berbuka di tempat-tempat yang enak makanannya.

4. Berbelanja mengikut keperluan

Menjelang Syawal, pastinya pelbagai perkara perlu dibelanjakan termasuklah pakaian, peralatan mencantikkan rumah dan juga perbelanjaan untuk perjalanan pulang ke kampung. Harus diingatkan supaya tidak berbelanja perkara yang tidak diperlukan. Terkadang kita terlalu leka untuk menyambut Syawal dengan meriah dan cantik sehingga membeli perkara yang tidak diperlukan. Apatah lagi jika perbelanjaan menggunakan kad kredit yang akibatnya, kita terpaksa menanggung bayarannya selepas daripada itu. Kegembiraan hanya sementara kerana akhirnya terpaksa menanggung hutang yang tidak berpenghujung.

Semoga kita sama-sama mencapai taqwa yang diharapkan di bulan Ramadhan ini dengan segala amalan kebaikan yang dilaksanakan serta tidak lupa juga sentiasa merancang perbelanjaan supaya ianya tidak menjadi beban kepada kita satu hari nanti. Jadikan hari perayaan sebagai “bench mark” untuk berjimat cermat, dan tidak lupa untuk melaburkan kewangan kita untuk akhirat dengan bersedekah dan menunaikan kewajipan zakat fitrah.

 

ust fikri

 
Ust Ahmad Fikri Mohd Paudzi
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Jabatan Pengurusan & Perancangan Korporat,CIMB Islamic Bank Berhad

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *