IlmiahSyariahUtama

Beberapa Hukum Berkenaan Babi

(i) Hukum Memakan Daging Babi

Ijma’ ulama sepakat tentang keharaman memakan daging babi kecuali dalam situasi darurat berdasarkan firman Allah SWT:

﴿حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالأزْلامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لإثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ﴾

(diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang Yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang Yang disembelih kerana Yang lain dari Allah, dan Yang mati tercekik, dan Yang mati dipukul, dan Yang mati jatuh dari tempat Yang tinggi, dan Yang mati ditanduk, dan Yang mati dimakan binatang buas, kecuali Yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan Yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib Dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik) (Surah al-Maidah:3).

Para fuqaha  dalam Mazhab Hanbali menyatakan bahawa ketika darurat, memakan daging anjing perlu didahulukan dari memakan daging babi kerana tiada nas yang jelas mengenai daging anjing. Begitu juga ketika darurat, memakan lemak babi, hati dan anggota badannya perlu didahulukan sebelum dagingnya kerana pengharaman memakan dagingnya telah turun nas al-Quran secara jelas.[1]

Para fuqaha  dalam Mazhab Maliki pula berpandangan, ketika wujud daging babi dan daging bangkai binatang yang lain, wajib memakan daging bangkai selain babi ketika darurat.[2]

(ii) Kenajisan Babi

Walaupun  fuqaha sepakat dalam pengharaman memakan daging, lemak dan seluruh anggota badan babi tetapi mereka berbeza pandangan dalam isu kenajisan babi. Berikut adalah pandangan  dalam isu kenajisan tubuh badan babi:

Pandangan pertama:

Babi merupakan najis ainiy (keseluruhan jasadnya adalah najis) sama ada ketika hidup atau setelah ia mati. Ia merupakan pandangan  Jumhur Fuqaha mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali.[3]Pandangan mereka bersandarkan dalil-dalil berikut:

a)      Allah menyifatkan babi sebagai al-Rijsu dan ia seerti dengan al-Nazasu (najis) dalam Firman Allah S.W.T:

قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٤٥)

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana Sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik. (Surah al-An’am:145).

Qias Babi dengan anjing di mana anjing telah qatie’ kenajisannya. Bahkan babi lebih teruk dari anjing kerana ia tidak boleh dimanfaatkan sama sekali berbanding anjing yang boleh dimanfaatkan untuk berburu. Maka sewajarnya babi lebih najis berbanding anjing.

Pandangan kedua:

Babi sama seperti keldai, singa dan serigala yang mana jisimnya adalah suci selagi ia bernyawa, termasuklah badan, air mata, air liur dan peluhnya. Namun apabila ia sudah mati maka hukumnya hukum bangkai dan ia menjadi najis seperti bangkai binatang yang lain. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki.[4]

(iii)  Menyamak Kulit Babi

Fuqaha berbeza pandangan mengenai kulit babi yang telah disamak, apakah ia menjadi suci seperti kulit binatang yang lain?

Pandangan pertama:

Kulit babi tidak menjadi suci dengan menyamaknya dan ia tidak boleh diguna dan dimanfaatkan sama sekali. Ini merupakan pandangan jumhur fuqaha yang bermazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.[5]

Pandangan kedua:

Kulit babi menjadi suci apabila di samak. Pandangan ini merupakan riwayat dari Abu Yusuf (Hanafi). Abdul al-Mun’im bin al-Ghars menyatakan bahawa ada pandangan lain dalam mazhab Maliki yang menyatakan bahawa kulit babi boleh digunakan setelah menyamaknya samada babi itu disembelih terlebih dahulu atau tidak disembelih.[6]

(iv)  Hukum Bulu Babi

Fuqaha berbeza pandangan mengenai kenajisan bulu babi.

Pandangan pertama:

Bulu babi adalah najis dan tidak boleh dimanfaatkan sama sekali. Ini merupakan pandangan jumhur Fuqaha. Menurut Mazhab Syafie, apabila bulu babi melekat pada kasut seseorang, ia tidak perlu disucikan kerana terlalu sedikit dan dimaafkan. Kenajisannya dimaafkan jika kasut dan bulu itu kering menurut mazhab Hanafi. Menurut mereka kalau salah satu bahagian basah ketika ia melekat, wajib disucikan tempat melekatnya bulu babi.[7]

Pandangan kedua:

Bulu babi adalah suci. Jika bulu babi digunting atau dicabut ketika babi itu hidup, harus digunakan untuk tujuan  yang bermanfaat seperti membuat berus. Ini kerana bulu bukanlah tempat letaknya nyawa dan mana-mana tempat yang bukan terletaknya nyawa tidak menjadi najis ketika ia masih hidup. Walaupun begitu sunat membasuhnya kerana dikhuatiri bulunya telah terkena najis yang lain.  Adapun apabila bulu babi dicabut setelah ia mati, ia dianggap tidak suci kerana ia telah bercampur antara bulu dan bangkainya. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki.[8]

Cara menyucikan tempat yang terkena babi:

Pandangan pertama:

Membasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan basuhan pertama mesti dicampur dengan tanah. Ini merupakan pandangan pertama dalam mazhab Syafie dan Hanbali.[9]

Dalil mereka ialah mengqiaskan babi dengan anjing di mana anjing merupakan najis seperti yang disebut dalam hadis (إذا ولغ الكلب), maka babi lebih najis dari anjing kerana keadaannya lebih buruk daripada anjing.

Pandangan kedua:

Membasuh sehingga hilang kesan babi. Tidak perlu membasuhnya sebanyak tujuh kali atau menggunakan tanah. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki, Hanafi dan pandangan kedua dalam mazhab Syafie dan Hanbali.[10]

Tarjih

Imam al-Nawawi yang merupakan salah seorang fuqaha dalam mazhab Syafie telah mentarjih pandangan yang mengatakan bahawa cukup membasuh tempat yang terkena kesan babi dengan air sehingga hilang kesan tersebut. Pandangan ini kuat dari sudut dalilnya kerana sesuatu perkara (iaitu membasuh najis babi sebanyak tujuh kali dan basuhan pertama dengan tanah) tidak diwajibkan sehingga terdapat dalil yang mewajibkannya. Dalil tersebut tidak wujud. Apatah lagi isu hukum yang dibina atas asas ibadah.[11] Mengqiaskan babi dengan anjing qias yang tidak tepat kerana hukum kedua-duanya berbeza antaranya dibenarkan orang Islam memelihara anjing untuk berburu sedangkan babi tidak dibenarkan memeliharanya sama sekali.

 

 Ust Sarip bin Adulust sarip adul
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Rujukan

[1] Al-Rahaibani. Matolib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayat al-Muntaha. 6/321

[2] Al-Dasuqi. Hasyiah al-Dasuqi. 2/116.

[3] Fath al-Qadir,  1/ 82. Badaie al-Sanaie,  1/ 63. Nihayat al-Muhtaj,  1/ 19. Kasyaf al-Qina’,  1/ 181.

[4] Al-Syarh al-Sogir,  1/43.

[5] Al-Kasanie. Badaie’ al-Sanaie’. 1/86. Al-Aini. al-Binayah syarh al-Hidayah. 1/419. Ibn Abd al-Birr. Al-Kafi fi Fiqh Ahli al-Madinah. 2/676. Al-Khurasyi. Syarh Mukhtasar khalil. 1/90.al-Muzani. Mukhtasar al-Muzani. 8/101.

[6] Hasyiah Ibn Abidin, 1/126-127. Fat al-Qadir, 1/81, Badaie al-Sanaie, 1/74. Hasyiah al-Dusuqi, 1/54-55. Mawahib al-Jaleel,  1/101, al-Majmu’, 1/217. Kasyaf al-Qina’, 1/54-55. Al-Mughni 1/66.

[7] Al-Marghinani. Al-Hidayah Syarh Bidayat al-Mubtadi. 3/46. Al-Babariti. Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah. 3/46. Al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. 1/236. Al-Bahuti. Daqaeq Uli al-Nuha Syarh Muntaha al-Iradat. 1/31.

[8] Ibn Abd al-Barr. Al-Kafi Fi Fiqh Ahli al-Madinah. 2/676. Al-Khurasyi. Syarh Mukhtasar al-Khalil. 1/83.

[9] Al-Khatib al-Syarbini. Mughni al-Muhtaj. Jil. 1, hal. 240. Ibn Qudamah.al-Mughni. Jil. 1, hal. 77.

[10] Al-Mawwaq. Al-Taj wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil. Jil. 1, hal. 258. Ibn A’Abidin. Ras al-Muhtar. Jil. 1, hal. 331. al-Khatib al-Syarbini. Mughni al-Muhtaj. Jil. 1, hal. 240. Ibn Qudamah.al-Mughni. Jil. 1, hal. 77.

[11] Al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Jil. 2, hal. 604.

One thought on “Beberapa Hukum Berkenaan Babi

  • Salam ustaz..saya nak tanya..jika saya ke kedai tayar kereta..lalu pekerja itu menggunakan berus babi untuk menyapu pada tayar saya..lalu masuk kedalam kereta untuk dipandu uji..perlukah saya sertu pintu kereta,steering yang dipegang peketja yang mmegang berus tadi?bagimana pula jika saya tidak sertu rim dan tayar lalu mencuci kereta..adakah najis berpindah ke tangan saya?t.ksih ustaz

Leave a Reply