Category: Utama

  • JENAYAH LIWAT MENURUT ISLAM: ANCAMAN LAKNAT DAN HUKUMAN BERAT

    Ditulis oleh: Ustazah Dr Nur Fatin Halil (Ketua Penyelidikan MUIS)

    Sungguh jijik rasanya melihat gambar lelaki-lelaki bertuala yang ditangkap di spa songsang tempoh hari.

    Namun, tambah jijik apabila ada segolongan manusia yang menjadi pembela kepada kumpulan terlaknat ini.

    Ya, kita memang membenci ‘perlakuan’ terkutuk itu, bukan membenci ‘pelakunya’. Namun pelakunya tetap layak mendapat hukuman kerana telah melakukan larangan Allah.

    Bahkan di bawah undang-undang sivil Malaysia, Seksyen 377A Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai “persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii”, yang merujuk “mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.”

    Justeru, jelas perbuatan liwat dan homoseksual adalah satu jenayah di negara kita dan boleh dihukum.

    Namun, para pembela gejala songsang ini berusaha untuk mengabsahkan perlakuan tidak bermoral dengan memutar belit dan mentafsir semula undang-undang sivil, berhujah atas nama hak asasi manusia, ruang privasi dan sebagainya.

    Buatlah apa sahaja untuk memansuhkan bidang kuasa mahkamah Syariah dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan hukuman liwat. Yang pasti, semuanya tidak dapat memadam hakikat bahawa liwat tetap satu jenayah dan menyalahi hukum Syarak.

    Seseorang itu mungkin boleh lari daripada peraturan manusia. Tetapi seorang Muslim tidak boleh lari dan sentiasa tertakluk kepada undang-undang Syariah.

    Undang-undang Syariah adalah undang-undang dan peraturan Allah. Ia adalah berdasarkan apa yang disuruh dan dilarang oleh Allah. Jika Allah tak bagi buat, itulah undang-undangnya. Siapa yang buat juga, dia telah melakukan jenayah!

    Justeru, isu ini tidak bergantung pada wujud atau tidaknya mangsa liwat yang tampil membuat aduan, barulah pelakunya dikenakan tindakan.

    Isu ruang privasi juga tidak wujud kerana bumi ini milik Allah. Berlarilah ke mana pun untuk melakukan maksiat, secara tersembunyi atau terbuka, tetaplah dia berpijak di bumi Allah.

    Sesuatu larangan dan perintah Allah juga tidak dinilai semata-mata melalui manfaat atau mudaratnya. Seorang Muslim menjauhi perbuatan liwat bukan hanya kerana takutkan penyakit, meskipun menyedari wujudnya kesan buruk daripada perbuatan itu.

    Ini bermakna, sekiranya pada suatu hari nanti penyakit yang dikaitkan dengan perbuatan liwat seperti HIV tidak lagi wujud, atau sekalipun pakar perubatan menemui penawarnya, larangan terhadap liwat tetap kekal dan tidak dimansuhkan kerana dalil pengharamannya adalah qat’ie iaitu jelas, putus, pasti dan tidak mengandungi sebarang kemungkinan maksud lain.

    Apakah Dalil Pengharaman Liwat?

    Antara dalil pengharaman liwat adalah firman Allah SWT:

    Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (Surah al-Syu’ara’: 165-166)

    Allah SWT berfirman lagi:

    Maksudnya: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. (Surah al-Naml: 55)

    Dalam ayat Allah SWT yang lain:

    Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?” (Surah Al-A’raf :80)

    Ayat-ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa perlakuan hubungan sejenis adalah satu perbuatan keji yang melampaui batas serta mendatangkan akibat yang buruk. Lihatlah bagaimana Allah telah membinasakan kaum Lut kerana melakukan amalan songsang ini. Ini merupakan bukti kukuh bahawa liwat adalah larangan Allah yang mengundang kemurkaan-Nya.

    Al-Khattabī dalam Maʿālim al-Sunan menjelaskan bahawa kerasnya hukuman terhadap kaum Nabi Luṭ adalah kerana para ulama merujuk kepada makna yang tersirat di sebalik azab dan hukuman yang Allah timpakan ke atas mereka, iaitu batu yang dihujankan ke atas kaum Luṭ sehingga mereka hancur binasa semuanya.

    Azab kedua ialah diterbalikkan bumi tempat duduk mereka iaitu perkampungan Sadum itu. Kini tempat tersebut adalah Laut Mati di persisiran Palestin dan Jordan.

    Azab diterbalikkan itu sesuai dengan perbuatan mereka yang terbalik dan songsang. Begitulah biasanya sesuatu balasan itu mengikut jenis amal dan perbuatan.

    Dalil larangan liwat daripada hadis pula antaranya sabda Nabi SAW:

    لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، ثَلاثًا

    Maksudnya: “Allah telah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Lut, (baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (Hadis riwayat Ahmad, no. 2913)

    Menurut Imam Al-Nawawi, setiap kali perkataan ‘la’ana’ (dilaknat) muncul dalam nas atau teks syarak, ia menunjukkan ‘tahrīm’ iaitu pengharaman terhadap perkara yang dikaitkan dengan laknat itu. Oleh itu, perbuatan kaum Lut atau liwat iaitu perbuatan memasukkan zakar ke dalam dubur seseorang, sama ada lelaki atau perempuan adalah haram dan dilarang.

    Liwat juga telah menjadi satu perlakuan yang telah mencapai kesepakatan di kalangan ulama mengenai pengharamannya. Menurut Ibn Qudāmah dalam kitabnya Al-Mughnī, terdapat ijmāʿ iaitu kesepakatan atau konsensus dalam kalangan ulama mengenai pengharaman perbuatan liwat.

    Justeru, perbuatan liwat bukanlah satu jenayah yang ringan dan boleh dipandang enteng.

    Tambahan lagi, hukuman bagi pelaku liwat teramat berat.

    Apakah hukuman syarak bagi pelaku liwat?

    Benarkah peliwat boleh dihukum bunuh?

    Hukuman Syarak Bagi Pelaku Liwat

    Dalam sebuah ḥadis Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

    مَن وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

    Maksudnya: “Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Luṭ, maka bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perbuatan itu ke atasnya.” (Sunan Ibn Mājah, Kitāb al-Ḥudūd, no. 2561)

    Hadis ini menunjukkan bahawa hukuman bagi perbuatan kaum Nabi Luṭ, atau sesiapa yang melakukan liwaṭ dan perbuatan homoseksual adalah hukuman mati. Namun begitu, Abdul Rahman al-Maliki dalam kitabnya Nizam al-‘Uqubat berpendapat, terdapat khilaf iaitu perbezaan pandangan di kalangan ulama mengenai kaedah pelaksanaan hukuman mati terhadap peliwat.

    Ibn al-Qayyim pula berpendapat bahawa liwaṭ merupakan antara dosa yang paling berat di dunia dan di akhirat, serta termasuk dalam kategori dosa yang menerima hukuman paling berat.

    Perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai jenis hukuman bagi liwaṭ adalah seperti berikut:

    1. Pandangan Abu Bakr al-Siddiq, Ali ibn Abi Talib, Khalid ibn al-Walid, Abdullah ibn al-Zubayr, Abdullah ibn Abbas, Jabir ibn Zayd, Abdullah ibn Ma’mar, al-Zuhri, Rabi’ah ibn Abi Abd al-Rahman, Malik, Ishaq ibn Rahawayh dan Imam Ahmad ibn Hanbal ialah bahawa hukuman bagi liwāṭ lebih berat daripada hukuman bagi zina, iaitu hukuman mati dalam semua keadaan, sama ada pelaku itu sudah berkahwin ataupun belum.
    • Pandangan ‘Ata ibn Abi Rabah, Hasan al-Basri, Sa‘id ibn al-Musayyib, Ibrahim al-Nakha‘i, Qatadah, al-Awza‘i, Abu Yusuf dan Imam Ahmad (dalam satu riwayat lain) ialah bahawa hukuman bagi liwāṭ adalah sama seperti hukuman bagi zina.
    • Menurut al-Ḥakam dan Imam Abu Ḥanifah, hukuman bagi liwaṭ, selain daripada zina, ialah ta‘zīr. Ta‘zīr ialah hukuman yang ditentukan mengikut budi bicara hakim berdasarkan keadaan dan butiran kes.
    • Ibn Hazm juga mengklasifikasikan hukuman bagi liwāṭ sebagai ta‘zīr. Beliau menganggap homoseksual sebagai satu perbuatan yang boleh dihukum namun tidak mencapai tahap hukuman ḥudud seperti zina.
    • ʿAlī bin Abī Ṭālib RA berkata bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan liwat hendaklah dibakar dengan api.
    • Menurut ʿAbdullāh bin ʿAbbās RA, pelaku liwat hendaklah dijatuhkan dari bangunan yang paling tinggi di kawasan tersebut dengan kepala menghala ke bawah, dan apabila sampai ke tanah, mereka hendaklah direjam.
    • ʿUmar bin al-Khaṭṭāb (semoga Allah meredainya) dan ʿUthmān bin ʿAffān (semoga Allah meredainya) pula dikatakan berpendapat bahawa pelaku liwat hendaklah dihukum bunuh dengan meruntuhkan tembok ke atas mereka sehingga mati.

    Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, liwat telah dikategorikan sebagai perbuatan yang menyerupai zina dan hukumannya adalah seperti hukuman zina. Liwat dianggap seperti persetubuhan tetapi berlaku di dubur, baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan.

    Menurut mazhab Syafie, hukuman liwat adalah hukuman zina bagi pihak pelaku sekiranya wujud bukti atau pengakuan. Sekiranya pelaku seorang muhsan (telah berkahwin), dia akan direjam sehingga mati. Sekiranya pelakunya bujang, dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun.

    Berdasarkan huraian ini, kita menginsafi bahawa hukuman terhadap perbuatan laknat ini sememangnya termaktub dalam Syariah, namun penguatkuasaannya masih belum dapat dilaksanakan. Masyarakat juga belum benar-benar bersedia menerima dana memahami disebabkan tahap kesedaran yang masih rendah, di samping struktur perundangan negara yang menghadkan pelaksanaan hukuman Syariah dalam bidang kuasa yang sangat terhad.

    Pelaksanaan penuh undang-undang Syariah berhubung kesalahan seperti liwaṭ juga masih terbatas kerana bidang kuasa jenayah Syariah terhad kepada negeri-negeri dan hukuman yang dibenarkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

    Liwat merupakan kesalahan jenayah dalam peruntukan Syariah di Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Kelantan. Walaubagaimanapun, negeri Perak, Terengganu dan Pahang tiada peruntukan bagi kesalahan liwat. Manakala negeri Selangor menggunakan peruntukan kesalahan hubungan jenis antara orang yang sama jantina untuk kesalahan liwat.

    Dalam konteks semasa, beberapa peruntukan dalam undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan yang menguatkuasakan hukuman terhadap perbuatan seksual songsang seperti liwat sebenarnya sudah sejajar dengan prinsip umum Syariah yang melarang perilaku tersebut.

    Namun demikian, adalah wajar untuk diusulkan agar peruntukan undang-undang sivil di peringkat Persekutuan diperkukuhkan dan digubal hukuman yang lebih berat dan selaras dengan prinsip syariah, agar dapat dilaksanakan Syariat dalam kerangka perlembagaan sedia ada.

    Justeru, prinsip dan hukuman Islam terhadap perilaku seksual songsang kekal dapat ditegakkan dalam ruang lingkup perundangan Malaysia yang sah menurut Perlembagaan Persekutuan, selagi mana ia digubal dan dilaksanakan mengikut saluran perundangan yang ditetapkan.

    Perjuangan untuk menegakkan undang-undang Syariah perlu diteruskan agar perintah dan kehendak Allah dapat dilaksanakan di atas muka bumi ini. Dengan mematuhi ketetapan Syariah, kita berusaha menghindarkan diri daripada kemurkaan Allah, sekali gus membawa kepada kesejahteraan negara yang berada dalam naungan keredaan-Nya.

    Kemungkaran yang berlaku secara terbuka wajib dicegah agar tidak bermaharajalela. Setiap Muslim bertanggungjawab menolak dan memerangi kemungkaran ini, bukannya menganggap remeh apatah lagi membelanya.

    Takutlah terhadap azab-Nya yang apabila turun, ia menimpa seluruh masyarakat, bukan hanya golongan yang melakukan larangan tersebut. Jika kita tidak bersama memerangi perbuatan yang dilaknat ini, kita juga turut sama dibinasakan bersama mereka yang dilaknat Allah.

    Allah SWT berfirman:

    Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfal: 25)

    Buat semua Muslim yang terlibat dalam tangkapan spa songsang ini, ittaqullah! Takutlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya sementara masih ada masa dan nyawa.

    Rujukan:
    Al-Quran Al-Karim

    Abd al-Rahman Al-Mālikī. (1995). Niẓām al-ʿUqūbāt. Beirut: Dār al-Ummah.

    Al-Khaṭṭābī. (2009). Maʿālim al-Sunan Sharḥ Sunan Abī Dāwūd. Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

    Al-Khin, Muṣtafā, Muṣṭafā Al-Bughā & cAlī Al-Sharbajī. (2011). Al-Fiqh Al-Manhajī   ʿAla Madhhab al-Imām Al-Shāfiʿī. (1992).  Damyik: Dār al-Qalam.
    Al-Nawawī, Abū Zakariyā Maḥyuddīn Yaḥya bin Sharaf. (2010). Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-cArabī.

    Al-Sarakhsī, Shams al-Dīn Abī Bakr. (1993). Al-Mabsūṭ. Beirut: Dār al-Macrifah.

    Al-Shawkānī, Muḥammad bin ʿAlī. (1987). Al-Darārī al-Muḍiyyah Sharḥ al-Durar al- Bahiyyah fī al-Masā’il al-Fiqhiyyah. Dār al-Āthār.

    Ibn al-Qayyim, al-Jawziyyah. (1983). Rawḍat al-muḥibbīn wa nuzhat al-mushtāqīn.   Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.

    Ibn al-Qayyim, al-Jawziyyah. (2019). al-Dāʾ wa al-Dawāʾ: al-Jawāb al-Kāfī li-Man  Saʾala ʿan al-Dawāʾ al-Shāfī. Beirut: al-Maktabah al-ʿAṣriyyah.

    Ibn Qudāmah, cAbdullāh ibn Aḥmad. (1996). Al-Mughnī. Riyadh: Dār cAlāmul Kutub.

    Laws of Malaysia. (2015). Penal code (Act 574). Retrieved from: https://www.rcrc- resilience-southeastasia.org/wp-content/uploads/2017/12/Penal-Code-Act-             574.pdf

    Nasohah, Z., Zakaria, Z. I., & Kusrin, Z. M. (2022). Cabaran penyeragaman undang-  undang jenayah syariah di Malaysia. International Journal of Islamic             Thought22, 146-159.

  • Protes Dengan Hati Selemah-Lemah Iman

    Bayangkan… Ada seorang lelaki telah membunuh bapa saudara yang kita sayangi. Tiba-tiba lelaki itu muncul di pintu rumah kita. Adakah kita menyambutnya dengan penuh hangat dan mesra?

    Nabi kita, Nabi Muhammad SAW pernah diuji dengan kehilangan bapa saudaranya, penghulu para syuhada’ iaitu Sayyidina Hamzah R.A.

    Sayyidina Hamzah R.A. telah dibunuh dengan kejam oleh Wahsyi bin Harb Al-Habasyi dalam peperangan Uhud. Setelah Wahsyi memeluk Islam, Nabi menerimanya sebagai Muslim, namun baginda tetap berkata dengan tegas:

    “Adakah engkau Wahsyi? Adakah engkau yang membunuh Hamzah? Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 4072)

    Jangan muncul di hadapanku. Aku tidak boleh memandang wajahmu.

    Itu pendirian Nabi terhadap seorang pembunuh yang telah membunuh insan yang dicintainya. Walaupun Wahsyi telah bertaubat, luka itu tetap dirasai.

    Nabi tidak mampu melihat wajah orang yang menumpahkan darah keluarganya, meskipun dia sudah mengucap syahadah.

    Nabi memaafkan tetapi tidak melupakan.

    Nabi tidak berdendam. Tetapi Nabi berpegang teguh pada prinsip.

    Nabi tidak menormalisasi kejahatan dan tidak meraikan pelaku dosa besar walaupun dia telah bertaubat dan masuk Islam.

    Jika begitu sikap Nabi terhadap seorang Muslim yang mempunyai sejarah melakukan pembunuhan, bagaimana pula pendirian kita sebagai umat Islam terhadap orang Kafir yang terus menerus bersekongkol dalam pembantaian dan pertumpahan darah umat Palestin, membiayai penjajahan dan menghina kesucian Masjid al-Aqsa?

    Adakah wajar kita bersikap lunak dan mesra dengan pelaku kezaliman?

    Akal yang waras pastinya tidak sanggup melihat wajah pembunuh saudara kita. Apatah lagi tersenyum menyambutnya dan beramah mesra.

    Atas nama maslahat, kuasa politik dan pengaruh ekonomi, Trump telah dijulang dan disambut meriah dengan tarian.

    Malah ada ahli akademik dan cerdik pandai yang ‘try hard’ sungguh membawa segala dalil untuk mengabsahkan sambutan hangat PMX terhadap Trump.

    Tak perlu segala kata-kata hikmah yang bertujuan menyedapkan hati atas tindakan itu.

    Cukup hati nurani yang hidup, yang terluka dan tidak redha akannya.

    Bawalah segala petikan kitab dan hujah maslahat serta kepentingan politik, ia tidak sama sekali dapat memadamkan fakta bahawa tangan Trump telah berlumuran dengan darah umat.

    Andai diplomasi itu perlu demi kepentingan negara, cukup sekadar perbincangan di meja rundingan yang bermaruah dan tegas berprinsip, bukan dengan pesta sambutan yang berlebihan.

    Sambutan yang penuh keghairahan juga tidak menggambarkan bantahan dan kebencian kita terhadap genosid yang didanainya.

    Demi menjaga periuk nasi negara, kita sanggup mengendeng ngendeng, mengipas dan mengampu musuh.

    Luntur maruah dan habis segala prinsip ummah.

    Betapa lemahnya jiwa kita yang dikaburi materialistik dan dunia.

    Lemahnya kita apabila tidak memegang kuasa.

    Kita dipegang dan diperkotak-katikkan oleh mereka.

    Dalam kelemahan ini, jangan terus hilang iman.

    Tetaplah di jiwamu ada rasa resah, marah dan tidak redha.

    Nabi SAW telah bersabda:

    Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya; yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim, 49 dan Ahmad, 11514)

    Jika ada rasa resah, marah dan tidak redha, ketahuilah imanmu masih ada.

    Dalam kelemahan ini juga, tetaplah berjihad dengan segala kudrat. Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah berkata:

    “Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap ini ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam”. (Risalah Taalim)

    Jika hati rasa tenteram dan bahagia melihat keramahan dengan musuh Islam ini dan langsung tiada rasa marah dan resah, ukurlah di manakah tahap iman dan jihad kita?

    Berhujahlah semahunya untuk menjustifikasikan kemesraan dengan musuh Islam sebagai diplomasi, strategi licik dan sebagainya. Ia tetap tidak dapat memadamkan kemarahan dan sensitiviti umat.

    Senyuman diplomasi tidak sama sekali dapat membasuh darah syuhada’ yang telah tumpah membasahi bumi Palestin.

    Ingatlah firman Allah:

    “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat Kembali”. (Surah Ali Imran, ayat 28).

    Semoga tulisan ini menjadi bukti di hadapan Allah bahawa aku telah melaksanakan protes dengan hati atas apa yang telah aku lihat.

    Sesungguhnya aku memohon keampunan dari Allah atas segala kelemahanku.

    Ustazah Dr Nur Fatin Halil,

    Penyelidik MUIS

  • Istilah Maqasid Syariah SepatutnyaDigunakan Dengan Lebih Berhati-hati

    Istilah maqasid syariah sepatutnya digunakan dengan lebih berhati-hati, bukan sekadar membenarkan keputusan politik

    Mana-mana pemimpin yang mengkhianati umatnya samada dengan persekongkolan dengan pihak luar atau seumpamanya, hakikatnya telah hilang keabsahannya (mandat dan syar’iyyah) sebagai pemimpin.

    Oleh itu mana-mana keputusan yang dibuatnya ketika ini tidak akan benar-benar berdiri atas syariah, apatah lagi mendakwa ia menepati maqasid syariah.

    Keputusan yang paling menepati maqasid syariah hari ini adalah yang membawa umat kepada mendokong perjuangan umat mempertahankan jatidiri dan tanah suci mereka, tidak berkompromi dalam apa jua tawaran pihak musuh yang hanya merugikan pihak pembebasan.

    Saya sendiri berpandangan bahawa :

    “Apabila berlakunya perselisihan pandangan, maka rujuklah ahli tsughur (para mujahidin), kerana pandangan mereka lebih mendapat hidayah.

    Wallahua’lam bissawaab.

    Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
    Setiausaha Agung
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Para Ulama Adalah Nadi Pejuang Kemerdekaan

    TIDAK lama lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan negara. Ia adalah salah satu nikmat daripada jutaan nikmat Allah yang kita kecapi. Ramai pihak terbabit di dalam usaha memerdekakan negara ini daripada penjajahan. Ada yang dijulang serta dinobatkan dan ramai juga hero-hero negara yang tidak didendangkan. Semoga Allah membalas jasa mereka dengan balasan yang setimpal.

    Bagi umat Islam, membebaskan negara daripada penjajahan adalah satu kefarduan. Ramai umat Islam terinspirasi untuk menghalau penjajah disebabkan bimbingan ulama. Ulama mengajar bahawa memerdekakan negara itu adalah kewajipan agama. Sayangkan negara itu adalah satu kewajipan.

    Perjuangan golongan ulama dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan mungkin tidak begitu didendangkan. Skrip sejarah yang ditulis oleh penjajah melabelkan mereka sebagai penderhaka dan pemberontak. Terbukti fakta sejarah menuturkan betapa ulama-ulama tanah air adalah golongan terpenting dalam meniupkan semangat jihad dan Perang Sabil sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman.

    Haji Mat Hassan bin Panglima Mat Munas atau sebagai Tok Janggut salah seorang tokoh ulama yang berjihad melawan penjajah di Kelantan. Campur tangan British di Kelantan bermula berikutan Perjanjian Bangkok pada 1909. Beliau syahid di dalam perjuangan suci ini.

    Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah tokoh ulama yang terbabit secara langsung dalam gerakan menentang penjajahan British. Ini bermula apabila Penasihat British di Terengganu mengenakan pelbagai cukai yang membebankan rakyat. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati, seterusnya mencetuskan kebangkitan menentang British pada 1919. Akibatnya beliau dibuang negeri ke Mekah bagi meredakan penentangan terhadap British dan meninggal dunia di Mekah.

    Di negeri Perak telah lahir ramai insan-insan hebat yang memartabatkan agama dan bangsa. Salah seorang daripadanya ialah Syeikh Abu Bakar Al-Baqir. Suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan sangat digeruni oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tomahan-tomahan. Ia juga dituduh sebagai parti “merah” (komunis). Peranan beliau dalam mempengaruhi pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara. Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, jam 12 tengah hari apabila beliau ditangkap oleh British.

    Peranan golongan ulama tetap relevan walaupun penjajah telah keluar daripada negara ini. Ini disebabkan penjajahan berlaku bukan sahaja dalam bentuk penjajahan ketenteraan bahkan ia juga berlaku dalam bentuk penjajahan pemikiran.

    Tokoh ulama Kelantan tersohor iaitu Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusof bin Ahmad adalah contoh ulama yang berusaha membebaskan umat daripada penjajahan pemikiran penjajah. Walaupun tidak terbabit secara langsung mengangkat senjata menentang penjajah British, sebagai Tok Guru beliau berjaya meniupkan semangat jihad dan perjuangan demi mempertahankan agama dan bangsa Melayu melalui aktiviti penulisan dalam majalah Pengasuh dan majalah al-Hikmah selain berjaya mendidik ramai tokoh ulama dan ilmuwan Islam yang bertebaran di seluruh tanah air.

    Masyarakat masih memerlukan bimbingan dan nasihat ulama untuk memerdekakan pemikiran umat Islam daripada masih terkesan dengan pemikiran penjajah. Kesan penjajahan pemikiran adalah lebih dahsyat dan lebih kekal lama berbanding daripada penjajahan ketenteraan. Banyak negara umat Islam telah merdeka sejak sekian lama namun belum merdeka sepenuhnya dalam erti kata hanya mengabdikan diri kepada Allah kerana masih terikat dengan sistem sosial, ekonomi, perundangan tinggalan penjajah.

    Para ulama yang jujur tidak akan jemu untuk menyeru kepada kemerdekaan sebenar seperti yang diungkap oleh Panglima Islam Rab’I bin ‘Amir.

    Al Tabari meriwayatkan apabila Rab’i bin ‘Amir masuk ke balai pemerintahan Rustum, Panglima Parsi, Rustum bertanya: “Apa yang bawa kamu ke sini?” Rab’i menjawab: “Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada kelapangan akhirat, daripada kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam.”

    Ulama yang jujur akan terus membimbing masyarakat dan menasihati pemerintah agar mendaulatkan Islam di dalam kehidupan walaupun kadang-kadang terpaksa membayar harga yang mahal. Golongan ini sangat takut menjadi golongan yang “mengilmiyyah” pembohongan dan pendustaan yang dilakukan oleh masyarakat dan pemerintah zamannya.

    SS Dato’ Haji Zamri Hashim
    Yang Dipertua
    Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • BENDERA TERBALIK: KECUAIAN TEKNIKAL ATAU TANDA LESUNYA CINTA TANAH AIR?

    Isu pengibaran bendera Jalur Gemilang secara terbalik bukanlah perkara baru. Saban tahun, setiap kali bulan Ogos menjelang, kita mendengar berita bendera dipasang terbalik sama ada di sekolah, pejabat kerajaan, bahkan di syarikat-syarikat besar.

    Sampai bila kita mahu menormalisasikan kesilapan ini sebagai “kecuaian teknikal”? Sudah tiba masanya kita bertanya, adakah kita sedang melihat tanda awal kelonggaran patriotisme dalam jiwa rakyat Malaysia?

    Sebagai seorang yang benar-benar cintakan tanah air, mari bersama kita merenung makna kecintaan kepada tanah air daripada perspektif agama, sejarah dan semangat kenegaraan.

    Islam dan Konsep Watan (Tanah Air)

    Dalam Islam, kecintaan terhadap tanah air bukan sekadar emosi. Ia adalah tanggungjawab. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan kecintaan mendalam terhadap Makkah, tanah kelahirannya. Ketika berhijrah, Baginda berpaling ke arah Makkah lalu bersabda:

    وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ، وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ

    “Demi Allah, sesungguhnya engkau (wahai Makkah) adalah bumi Allah yang paling aku cintai, dan sekiranya kaumku tidak mengusirku daripadamu, nescaya aku tidak akan meninggalkanmu.” (Riwayat al-Tirmizi)

    Lihatlah betapa Rasulullah SAW mengaitkan cintanya kepada tanah air dengan sumpah atas nama Allah. Ini menunjukkan bahawa perasaan cinta kepada negara bukan sesuatu yang kecil, tetapi suatu nilai yang ada tempatnya dalam agama.

    Perasaan cinta dan kerinduan kepada negeri asal Adalah fitrah manusia. Bahkan, Nabi SAW sendiri mencintai tanah air, tempat tumpah darah baginda. Firman Allah SWT:

    “Sesungguhnya (Allah) yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hukum-hukum) al-Quran, benar-benar akan mengembalikan engkau ke tempat kembali.” (Surah Al-Qasas: 85)

    Menurut Tafsir Ibnu Kathir, Nabi SAW telah keluar ke suatu tempat bernama Juhfah, lalu beliau merasa rindu kepada Makkah. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai satu tasliah iaitu pujukan dan hiburan buat baginda. Diriwayatkan oleh Al-Aufi daripada Ibnu Abbas RA, makna firman-Nya: “benar-benar akan mengembalikan engkau ke tempat kembali”, bermaksud benar-benar akan mengembalikanmu (Nabi) ke Makkah, sebagaimana Dia telah mengeluarkanmu darinya.

    Bendera: Lambang Negara, Bukan Sekadar Simbol

    Dalam konteks kenegaraan moden, bendera adalah representasi rasmi dan simbol maruah negara. Mengibarkannya secara salah, apatah lagi terbalik, bukan semata-mata soal kecuaian. Ia membawa mesej yang amat besar. Berdasarkan protokol antarabangsa, bendera terbalik menandakan kecemasan, huru-hara atau pemberontakan. Maka apabila situasi ini berlaku di tanah sendiri, ia mencerminkan berlakunya kelonggaran dan kegagalan dalam memelihara maruah negara. Kesilapan seperti ini tidak boleh dianggap remeh. Keadaan ini juga menimbulkan persoalan terhadap tahap kesedaran dan semangat patriotisme pelaku terhadap lambang dan identiti negara.

    Kisah Sahabat: Ketegasan Dalam Menjaga Maruah dan Lambang

    Menelusuri sirah, kita melihat bagaimana para sahabat Rasulullah SAW begitu tegas dalam mempertahankan kehormatan agama dan negara Islam yang baru terbina.

    Peristiwa dalam Perang Mu’tah telah membuktikan keteguhan para sahabat dalam memelihara panji yang telah diamanahkan. Ketika tiga panglima utama iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar at-Tayyardan Abdullah bin Rawahah gugur syahid satu demi satu, panji Islam tidak boleh turut sama dibiarkan gugur ke bumi. Khalid bin al-Walid tampil pada saat genting itu, menggenggam panji dengan penuh tekad dan terus mengambil alih kepimpinan, agar para mujahid tidak patah semangat.

    Apa erti panji itu? Ia adalah bendera. Ia simbol kuasa. Jika panji jatuh, ini bermakna semangat tentera turut rebah. Maka, panji Islam wajib dijaga walau dengan nyawa dan darah.

    Kisah ini memberi ibrah jelas bahawa kita juga wajib mempertahankan panji negara kita iaitu Jalur Gemilang. Ia bukan sekadar kain berjalur merah putih dan bintang bersudut empat belas, tetapi simbol kedaulatan, maruah, dan perpaduan tanah air. Mengabaikannya, apatah lagi mencemarinya merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap makna kemerdekaan negara.

    Tanda Lemahnya Cinta Tanah Air

    Mengibarkan bendera secara terbalik dan hanya memohon maaf tanpa sebarang pengajaran bukanlah budaya cinta tanah air. Ia mencerminkan satu sikap lesu, acuh tak acuh, dan tidak memahami nilai kenegaraan.

    Ini menunjukkan bahawa semangat patriotisme bukan satu perasaan dalaman yang kosong, tetapi seseorang itu terikat dengan nilai amanah, tanggungjawab dan pengorbanan. Justeru, apabila bendera dikibarkan secara terbalik, ia memberi isyarat yang lebih dalam daripada sekadar kesilapan teknikal. Ia mencetuskan persoalan tentang keikhlasan terhadap semangat patriotisme dan kemungkinan wujudnya unsur sabotaj terhadap identiti negara.

    Cegah Sebelum Berulang Berkali-Kali Lagi

    Justeru, langkah pencegahan yang lebih serius dan sistematik perlu diambil agar perkara sama tidak terus berlaku dan mencalar maruah kebangsaan. Antaranya adalah:

    1. Penguatkuasaan Serius: Garis panduan pengibaran bendera perlu dikuatkuasa dengan peruntukan hukuman yang wajar, bukan hanya surat nasihat, tetapi penalti atau tindakan tatatertib bagi kecuaian berulang.
    2. Pendidikan Patriotisme Islamik: Program latihan kesedaran boleh digerakkan di sekolah-sekolah dan masjid tentang tanggungjawab terhadap tanah air dari sudut agama, bukan sekadar aspek sivil.
    3. Aplikasi Aduan Pantas: Wujudkan sistem aduan pantas melalui aplikasi atau hotline agar kes-kes bendera terbalik dapat ditangani dalam tempoh 24 jam.
    4. Audit Berkala: Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Komunikasi Kerajaan (UKK), perlu mengarahkan audit bendera setiap bulan menjelang Hari Kemerdekaan.
    5. #KibarDenganBangga: Setiap agensi Kerajaan, swasta mahupun rakyat Malaysia secara umumnya menggerakkan kempen di media sosial untuk mengangkat kembali rasa bangga mengibarkan bendera.

    Kesimpulan

    Insiden pengibaran bendera secara terbalik yang berulang-ulang kali bukan lagi boleh dianggap kesilapan kecil atau teknikal semata-mata. Ia memberi isyarat jelas bahawa ada kelompongan besar dalam kesedaran sivik dan rasa tanggungjawab terhadap simbol negara yang dijunjung tinggi.

    Rakyat Malaysia seharusnya tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap lambang negara. Maruah dan identiti kebangsaan tidak wajar dikompromi. Kesilapan yang sama berulang saban tahun tidak boleh dinormalisasikak. Pemimpin politik dan menteri tidak boleh terus memberi reaksi “kita faham, jangan politikkan”, kerana yang dipijak adalah lambang maruah negara iaitu Jalur Gemilang.

    Jika hari ini bendera boleh dipasang terbalik tanpa rasa bersalah, tidak mustahil esok lusa lagu kebangsaan turut dipersenda dan lambang negara terus dicemari. Penghinaan terhadap simbol negara selangkah demi selangkah akan menjadi semakin tidak dibendung. Maka, hari ini mesti menjadi titik perubahan dan tindakan tegas perlu diambil, demi mempertahankan maruah tanah air.

    Sebagai pemuda yang sayangkan agama dan tanah air, saya menyeru seluruh generasi muda untuk bangkit mempertahankan simbol negara dan memugar semula jiwa patriotisme yang sedang dilupakan.

    Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”
    (Surah ar-Ra’d: 11)

    Tegakkan maruah. Hormat panji. Bina bangsa yang tahu erti cinta tanah air dengan jiwa, bukan hanya bendera.

    Oleh: Meo Aksara, Penyelidik MUIS

  • MUIS MENERIMA KUNJUNGAN DARIPADA PERTUBUHAN PENJAGA AMANAH AL QUDS (UMANA’ AL-AQSA)

    BANGI- 23 Julai 2025, dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) telah menerima kunjungan daripada Pertubuhan Penjaga Amanah Al Quds (Umana’ al-Aqsa) yang terdiri daripada delegasi aktivis antarabangsa yang aktif dalam perjuangan Palestin dan usaha pembebasan Baitulmaqdis.

    Deligasi tersebut diketuai oleh Dr. Muhammad Ali Bayoud, Pengarah Eksekutif Yayasan Pemegang Amanah Al-Aqsa, yang aktif dalam usaha-usaha membangunkan pogram pengkaderan sosok tubuh pendakwah khususnya berkaitan misi pembebasan Baitul Maqdis.

    Juga tidak dilupakan, antara tetamu yang turut hadir ialah:

    Dr. Yunus Abu Jarad, Pengarah Syarikat Pengeluaran Media Qubbah, serta penulis dan pensyarah yang memilki kepakaran dalam isu-isu Palestin.
    En. Nael Saleh, Penasihat Pembangunan dan Ahli Lembaga Yayasan Antarabangsa Ihya, yang giat memperjuangkan pembangunan semula institusi Islam dan pemulihan masyarakat di Palestin.

    Pn. Arwa Khalid, Pegawai Kerja Wanita di Persatuan Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak, seorang aktivis dalam bidang hak wanita dan kanak-kanak yang terkesan dengan konflik di Palestin.

    Pn. Gulshah Yagdoglu, Pegawai Seksyen Turki di persatuan yang sama, turut berkongsi pengalaman dan inisiatif yang sedang dijalankan dari Turki.

    Dalam pertemuan dan perbincangan tersebut, pihak MUIS menzahirkan persetujuan terhadap seruan untuk memperkukuhkan kesedaran masyarakat umat Islam serantau terhadap isu Palestin dan pertembungan yang berlaku, yang terlihat semakin hanyut dengan ideologi yang menafikan arus perjuangan ini. Dr. Muhammad Ali Bayoud, dalam ucapannya menegaskan, bahawa sikap sebahagian masyarakat Islam yang memiliki kesedaran bermusim ini, seharusnya diganti dengan usaha yang berterusan, sehingga cita-cita pembebasan Baitulmaqdis bakal menjadi kenyataan.

    Pihak MUIS sekali lagi menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa yang terlibat dalam usaha yang mulia ini, sekaligus akan memainkan peranan di Malaysia dalam usaha menerapkan fahaman Islam Wasatiy, khususnya dalam memimpin masyarakat untuk menuju kearah pembebasan Baitulmaqdis.

  • Mengimbangi Antara Kalam Peradaban dan Keluh Kesah Rakyat Marhaen

    1.Antara salah satu kesan langsung daripada peradaban barat yang mendominasi dunia hari ini ialah rakyat marhaen semakin kehilangan rasa bahagia dalam kehidupan di dunia ini. Hidup serba susah , daripada soal makan minum, sampaikan nak beribadat khusus pun tidak bebas sebebasnya.

    2. Hal ini terjadi apabila berlaku dua perkara iaitu,

    -Pembuat dasar dan polisi tidak menyedari tentang ” game” sebenar pihak-pihak yang cuba mengekalkan sistem kehidupan hari ini yang tidak diuruskan mengikut syariat Allah SWT .
    -Polisi dibuat digubal di dalam bilik berhawa dingin dan duduk di atas kerusi empuk, tanpa bergelumang dengan keluh kesah rakyat marhaen serta merasai denyut nadi dan rintihan mereka.

    3. Rakyat marhaen sudah tentu tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara-perkara dasar untuk mengubah peradaban sedia ada kepada peradaban Islam kerana mereka terpaksa berfikir untuk survival hidup sehari-harian yang mendatang.

    4. Pendekatan Islam secara Wasatiy menuntut para ilmuwan, para asatizah dan penyokongnya mesti berani mengetengahkan isu-isu dasar ini dengan bahasa dan pendekatan yang mudah. Dalam masa yang sama, mereka mestilah menyeimbangkan dalam berteori iaitu dengan turun terus kepada rakyat marhaen, membantu mereka selesaikan masalah kehidupan dan jelaskan kepada mereka bahawa inilah kesan pahit yang ditelan apabila kita tidak mencari jalan ganti kepada peradaban yang ada dengan peradaban yang dikehendaki oleh Allah SWT.

    SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim
    Pengerusi
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

    17 Muharram 1447.

    Rapat Setia.

  • MEREKA MUSUH KITA DI HADAPAN ALLAH.

    Mengikuti ucapan Abu Ubadah pada malam tadi, terdapat beberapa isi dan fokus penting yang mesti diambil perhatian segera, iaitu

    1. Sesungguhnya  sedang tertanggung (ancaman Allah) di atas leher-leher kita sebagai para asatizah dan ulama jika kita bersikap tidak menyertai perjuangan mereka dengan cara apa-apa yang kita mampu.

    2. Mereka akan jadi MUSUH kita di hadapan Allah nanti akibat daripada kecuaian kita.

    3. Realiti yang berlaku di negara kita, masjid-masjid pun tidak terpimpin untuk mengadakan siri-siri pencerahan kepada isu mereka, hatta doa untuk mereka pun tidak lagi diangkat seusai solat.

    4. Pada hari ini, terdapat perhimpunan-perhimpunan besar di mana umat Islam berkumpul, samada dianjurkan secara rasmi atau tidak oleh NGO mahupun kerajaan, namun isu mereka (di Palestin) ada yang langsung tidak disentuh.

    5. Kita melihat, terdapat banyak pengajian dan kuliah di masjid-masjid dan surau-surau, maka alangkah bagusnya jika ia dijadikan sebagai ‘platform peledak’ kepada kesedaran isu ini.

    6. Isu Palestin tidak boleh  ditanggapi hanya dengan pendekatan Islam wasatiy yang disalahfahami atau disalaherti sebagai sekadar bersederhana dan seadanya, bahkan perlu bersifat agresif, berstrategi dan meletakkan ia sebagai antara perkara keutamaan pada waktu kini.

    7. MUIS akan cuba menggerakkan kesedaran di kalangan badan-badan ulama dan para asatizah dengan pendekatan Islam Wasatiy yang sebenar iaitu memimpin masyarakat ke arah halatuju memperjuangkan isu Palestin sebagai isu hidup dan mati roh perjuangan umat ini.

    SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim

    Pengerusi

    Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

    19 Julai 2025

    Rapat Setia

    IPOH.

  • Wakil MUIS Ditemu Bual NHK Japan Berhubung Isu Bon Odori

    Hari Selasa, 15 Julai 2025 bersamaan dengan 19 Muharram 1447H, Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) terus melakar pencapaian bermakna apabila salah seorang penyelidiknya diberi peluang untuk menyampaikan pandangan hukum berkaitan penyertaan umat Islam dalam sambutan Bon Odori kepada stesen televisyen antarabangsa terkemuka NHK Japan

    Temu bual eksklusif ini merupakan sebahagian daripada dokumentari khas NHK yang membincangkan pandangan rakyat Malaysia terhadap perayaan Bon Odori, sebuah acara kebudayaan Jepun yang kini semakin mendapat perhatian di negara ini. Turut ditemu bual dalam dokumentari tersebut ialah YAB Menteri Besar Selangor, menjadikan liputan ini lebih menyeluruh dan berwibawa.

    Menariknya, pihak NHK telah menemui artikel yang ditulis oleh wakil MUIS pada tahun lalu berkaitan isu ini (rujuk artikel penuh di sini: https://muis.org.my/v47/…/bon-odori-2024-toleransi-muslim…/), dan seterusnya menghubungi pihak MUIS untuk mengadakan sesi temu bual lanjut.

    Dalam sesi tersebut, wakil MUIS menjelaskan bahawa meskipun terdapat perbezaan pandangan ulama dalam isu hukum menyertai Bon Odori antara yang mengharuskan dan yang mengharamkan , umat Islam perlu bertindak dengan kesedaran dan kejelasan prinsip. Walaupun ada dakwaan bahawa unsur pemujaan roh nenek moyang tidak lagi menjadi sebahagian daripada sambutan moden Bon Odori, asas dan falsafah asal sambutan itu tetap perlu diambil kira.

    Ujarnya lagi, penyertaan umat Islam dalam acara silang budaya seperti Bon Odori hanya boleh dipertimbangkan jika tiada unsur syirik, percampuran bebas lelaki dan wanita, makanan dan minuman haram, atau hiburan melalaikan. Namun, memandangkan sukar untuk mencapai suasana ideal tersebut, beliau lebih cenderung kepada pandangan agar umat Islam menjauhi perayaan ini sebagai langkah ihtiyat bagi menjaga akidah dan identiti Muslim.

    Beliau turut menegaskan bahawa seorang Muslim sejati seharusnya memiliki jati diri dan identiti yang jelas, dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur luar yang boleh melemahkan nilai keislaman.

    MUIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NHK Japan atas ruang dialog yang diberikan, serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada wakil penyelidik atas usaha menyampaikan kefahaman Islam dengan hujah dan pendekatan wasatiyyah.

    “Setiap pandangan dan tulisan kita, walaupun ringkas, boleh memberi impak yang jauh lebih besar daripada yang disangka,” ujar beliau.

    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

  • Mengapa Mati Lemas Dianggap Syahid?

    Salam takziah buat keluarga mangsa tragedi kemalangan menyayat hati yang mengorbankan enam sekeluarga di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini.

    Semoga Allah memberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran khususnya kepada anak sulung keluarga ini yang tidak terlibat dalam kemalangan untuk menghadapi saat-saat getir.

    Mudah-mudahan mereka yang terkorban dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

    الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

    “Orang yang mati syahid itu ada lima: orang yang mati kerana taun, sakit perut, tenggelam, orang yang tertimpa runtuhan atau jatuh bangunan dan yang gugur di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Hadis ini menjelaskan bahawa terdapat golongan tertentu yang dikira sebagai syahid akhirat. Antaranya orang yang mati akibat wabak (al-mat’ʿun), mati kerana penyakit perut (al-mabtun) dan termasuk juga yang mati tenggelam atau lemas (al-ghariq).

    Mereka ini mendapat ganjaran syahid akhirat, iaitu diberi pahala syahid tetapi masih diurus seperti jenazah biasa (dimandikan, dikafankan dan disolatkan).

    Ini berbeza dengan syahid kubra (syahid sebenar dunia akhirat) iaitu mereka yang mati berperang di jalan Allah dengan niat yang Ikhlas. Mereka bukan sahaja diberi pahala syahid di sisi Allah, malah jenazahnya tidak perlu dimandikan dan dikafankan.

    Mengapa Kematian Lemas atau Tenggelam Dianggap Syahid?

    Barangkali timbul persoalan: Jika mati tenggelam diberi ganjaran syahid, mengapa terdapat doa Nabi SAW yang menyebut agar kita berlindung daripada mati tenggelam?

    Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:

    اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ، وَالْحَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

    “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kematian akibat runtuhan, terjatuh dari tempat tinggi, tenggelam, terbakar dan mati kerana gigitan (binatang berbisa).”(Riwayat Abu Daud & al-Nasa’ie)

    Menurut al-Munawi dalam Fayd al-Qadir, Nabi SAW memohon perlindungan daripada kematian-kematian yang menyayat hati ini kerana:

    • Ia menyakitkan dan mencemaskan, hingga seseorang mungkin tidak mampu mengekalkan keimanan pada saat-saat akhir.

    • Ia berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Kemungkinan tinggi seseorang tidak sempat bertaubat, menulis wasiat, menyelesaikan hutang atau mengucap syahadah.

    • Boleh jadi kematian ini menjadi laluan syaitan menghasut dan menyesatkan seseorang dalam detik sakaratul maut yang genting.

    Dari sudut sains, kematian akibat lemas berlaku kerana kegagalan sistem pernafasan mendapatkan oksigen, satu keadaan dikenali sebagai hipoksia iaitu kekurangan oksigen pada tisu badan, khususnya otak dan jantung.

    Mangsa yang tenggelam menahan nafas apabila terperangkap dalam air. Apabila tidak tahan, dia terpaksa menarik nafas, lalu air masuk ke saluran pernafasan. Ini menghalang oksigen daripada sampai ke paru-paru dan dalam beberapa minit, mangsa akan hilang kesedaran dan akhirnya mengalami kematian otak.

    Kematian ini amat menyeksakan secara fizikal dan psikologi. Dada terasa sesak, otak seperti “terbakar” dan timbul rasa panik yang melampau. Disebabkan faktor inilah yang membuatkan Rasulullah memohon perlindungan daripadanya dan Allah menjanjikan pahala syahid kepada sesiapa yang diuji dengan kematian yang sangat berat seperti ini.

    Kesimpulannya, Islam tidak menyuruh kita mencari maut secara sengaja semata-mata untuk memperoleh gelaran syahid. Bahkan, mendedahkan diri kepada bahaya adalah berdosa.

    Kita tidak berdoa agar mati lemas supaya mendapat pahala syahid, namun, jika seseorang mendapat musibah tanpa disengajakan seperti lemas dalam kemalangan, maka Allah dengan rahmat-Nya mengurniakan pahala syahid akhirat sebagai balasan atas beratnya ujian itu.

    Syahid adalah impian setiap mukmin sejati. Kita tidak dianjur untuk berdoa agar mati dengan cara tertentu, namun kita berdoa agar kematian dalam keadaan husnul khatimah.

    Justeru, Rasululllah SAW mengajar kita untuk sentiasa berniat dan berdoa agar mati dalam keadaan syahid, bukan meminta mati mengejut, tetapi mengharapkan kesudahan yang terbaik di sisi-Nya.

    Semoga Allah menerima mereka yang terkorban dalam tragedi Sungai Korok sebagai golongan yang syahid di sisi-Nya dan menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran besar buat kita yang masih hidup.

    #SehariSatuAyat

    #MUIS

    #IslamWasatiy

    Ustazah Dr. Nur Fatin Halil
    Ketua Unit Penyelidikan
    Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)